Nik Aziz pernah kongsi syair bahasa Arab
ALOR SETAR - Terngiang suara bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengalunkan syair bahasa Arab, ketika kali terakhir mengunjungi Allahyarham di pejabatnya, dua bulan lalu.

Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah, Datuk Amiruddin Hamzah begitu sayu terkenangkan bait-bait indah syair itu yang antara pesanannya, supaya menghargai kesihatan dan berbuat kebaikan ketika masih sihat.

“Ketika itu, saya bersama rakan. Selesai perbincangan, arwah meminta diri untuk pulang ke rumah kerana kurang sihat. Kesihatannya ketika itu kurang memuaskan. Ketika berjalan ke arah kereta, tiba-tiba arwah berpatah balik semata-mata mahu berkongsi keindahan syair itu,” katanya.

Menurutnya, Allahyarham mahu berkongsi syair yang dipelajarinya itu ketika menuntut di luar negara, dan terus mengalunkan syair itu.

“Terjemahan syair itu membawa maksud; kesihatan umpama mahkota atas kepala, yang kita hanya akan sedar kepentingannya apabila kita hilang mahkota itu. Ini menunjukkan ketegasan arwah berkaitan kesihatan di mana ia penting, namun sering diabaikan,” katanya.

Amiruddin tidak dapat melupakan kenangan paling indah dalam hidupnya, apabila diiringi  Nik Abdul Aziz pada hari penamaan calon PRK Dun Anak Bukit, menggantikan tempat dikosongkan Presiden Pas, Datuk Fadzil Mohd Nor, yang meninggal dunia pada 23 Jun, 2002.

“Saya terharu arwah sudi iringi saya ketika dicalonkan bertanding kerusi Dun Anak Bukit, turut menemani bekas Pesuruhjaya Pas Kedah, Allahyarham Azizan Abdul Razak yang ketika itu mengadu sakit dada, sebelum dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN),” katanya.

Menurutnya, sokongan moral pemimpin kanan parti ketika itu amat perlu sebagai suntikan semangat berikutan Pas baharu sahaja kehilangan presiden yang juga ulama dalam parti.