TERKINI :

Thursday, February 12, 2015

Belasungkawa: Datuk Hasbullah Awang (1952 - 2015)

PEMERGIAN Allahyarham Datuk Hasbullah Awang, hari ini cukup terasa. Sukan tanah air bagai kehilangan satu ikon pengulas sukan tersohor yang sukar dicari ganti.

Apa yang unik atau mudah membuat peminat sukan mengenalinya adalah 'suara emas' yang didengar pada setiap acara siaran langsung - baik perlawanan bola sepak antarabangsa membabitkan skuad negara, Piala Malaysia atau pun Sukan SEA, umpamanya - ketika ditonton di kaca televisyen.

Suara milik allahyarham cukup memukau tontonan. Tidak dinafikan dia memiliki aura tersendiri dengan intonasi suara yang sesungguhnya seronok didengar pada setiap ulasan.

Ulasannya mudah, bersahaja dan bergaya sehingga jika pun ada kesilapan ia pantas ditampung dengan pemilihan kata-kata terbaik membuat penonton mudah mengikuti. Ada yang menunggu kehadirannya di televisyen - semata-mata kerana suara yang membuat tontonan mereka selesa dan terhibur.

Antara perkataan kerap kali ditutur oleh beliau ketika membuat ulasan adalah seperti "Oh.. Tidak", "Mengatur Gerak", "Tenang Mempertahankan Kubu" atau "Hantaran Panjang". Ia sudah menjadi sinomim kepada peminat segenap usia sehingga ada yang meniru perkataan ini ketika berbual mengenai bola sepak.

Populariti beliau memuncak ketika zaman bola sepak Malaysia memasuki era Semi-Pro pada awal 1990-an. Belia juga pernah menyumbangkan suara untuk filem Sumolah arahan Afdlin Shauki.

Kalangan peminat sukan menganggap beliau sebagai antara pengulas terbaik yang pernah dilahirkan negara - sebaris nama-nama besar lain seperti Datuk Rahim Razali.

Kejayaan memenangi anugerah Pengulas TV Terbaik Sri Angkasa pada 1989, 1991 dan 2004 sekadar menceritakan betapa dia menjadi satu tarikan peminat pada era berkenaan.

Allahyarham memulakan kerjaya penyiaran pada 1974 sebagai Pembantu Siaran Tingkat 4 ​di RTM Kuantan, Pahang sebelum berpindah ke Angkasapuri Kuala Lumpur pada 1980.

Bersara awal pada 1992 sebelum menyertai TV3 sehingga 1994 tetapi kembali menyertai semula RTM sebagai Penyampai dan Pengacara Sambilan.

Pernah juga menjadi DJ di RTM Kuantan dan Rangkaian Nasional Angkasapuri selama 10 tahun. Sebagai hos MHI TV3 dan SPM RTM selain ditugaskan sebagai pengulas siaran langsung liputan televisyen. Sejak 1980 terbabit dalam siaran dan liputan sukan sehingga menjadi pengulas sukan Astro Arena bermula 2014.

Hasbullah meninggal dunia, hari ini akibat komplikasi jantung. Alahyarham menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Koronari (CCU), Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 12.20 tengah hari.

Jenazah akan dibawa pulang ke rumahnya di Seksyen 32, Bukit Naga Shah Alam jam 3 petang ini dan dijangka disemadikan selepas Asar atau pagi, esok.

INFO

NAMA: Datuk Hasbullah Awang

UMUR: 63 tahun

TARILH LAHIR: 9 September 1952

ASAL: Teluk Intan, Perak

ALAMAT: Lot 2975, Kampung Bukit Naga,

Seksyen 32, 40460, Shah Alam, Selangor

ANTARA LIPUTAN DAN ANUGERAH

Sukan Olimpik 1988 - Seoul

Sukan Olimpik 1992 - Barcelona

Sukan Olimpik 1996 - Atlanta

Sukan Olimpik 2000 - Sydney

Sukan Olimpik 2004 - Athens

Sukan Olimpik 2008 - Beijing

Sukan Olimpik 2012 - London

Sukan Komanwel 1998 - Kuala Lumpur

Sukan Komanwel 2002 - Manchester

Sukan Komanwel 2010 - New Delhi

Sukan Asia 1986 - Seoul

Sukan Asia 1990- Beijing

Sukan Asia 2006 - Doha

Sukan Asia 2010 - Guangzhou

Sukan SEA 1985 - Bangkok

Sukan SEA 1989 - K Lumpur

Sukan SEA 1991 - Manila

Sukan SEA 1997 - Jakarta

Sukan SEA 1999 - Bandar Seri Begawan

Sukan SEA 2001 - K Lumpur

Sukan SEA 2003 - Hanoi

Sukan SEA 2005 - Manila

Sukan SEA 2007 - Korat

Anugerah Penyiar Serba Boleh 1988

Pengulas TV Terbaik Sri Angkasa 1989

Pengulas TV Terbaik Sri Angkasa 1991

Pengulas TV Terbaik Sri Angkasa 2004

Darjah-Pingat

Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP)

Ahli Memangku Perak (AMP)

Ahli Mangku Pahang (AMP)

Pingat Pangkuan Negara (PPN)

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...