TERKINI :

Thursday, February 12, 2015

'Adakah Kadar elektrik turun hanya 4 bulan kerana Permatang Pauh?'

 
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tertanya-tanya sama ada penurunan kadar tarif elektrik, mempunyai apa-apa kaitan dengan pilihan raya kecil Permatang Pauh yang bakal diadakan.

"Mengapa ia hanya untuk empat bulan? Ia sepatutnya satu tahun sekurang-kurangnya.

"Adakah pemotongan tarif elektrik yang diumumkan itu kerana pilihan raya kecil Permatang Pauh?" katanya kepada pemberita hari ini.

Jika ini benar, tambahnya, maka ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan rakyat Malaysia hadiah yang sangat baik dengan masuk ke penjara.

Anwar yang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh kerana disabitkan atas tuduhan liwat, mempunyai 14 hari untuk memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Lim berkata, mengikut undang-undang, pilihan raya kecil itu perlu diadakan dalam tempoh 60 hari jika MP Permatang Pauh itu enggan memohon pengampunan dari Yang di-Pertuan Agong, atau jika beliau gagal dalam permohonannya itu.

'Mengapa empat bulan?'
 

Mengenai tarif baru elektrik, Lim yang juga setiausaha agung DAP menggesa agar ia dikurangkan sebanyak 35 peratus, berdasarkan keuntungan yang diperolehi oleh pembekal elektrik negara, TNB, tahun lepas.

"Kami tidak meminta pemotongan 50 peratus mengikut penurunan harga minyak, yang turun dari USD105 kepada AS$50 setong," kata Lim.

"Kami mempersoalkan mengapa empat bulan sahaja untuk pengurangan kadar tarif itu apabila harga minyak dijangka kekal pada AS$50 setong - pengurangan 50 peratus," tambahnya.

Lim merujuk kepada pengumuman Menteri Air, Tenaga dan Teknologi, Datuk Maximus Ongkili bahawa kadar baru itu adalah untuk tempoh dari 1 Mac hingga 30 Jun.

Dengan kadar baru itu, kata menteri berkenaan, pengguna boleh menjimatkan antara RM13 dan RM45 sebulan bergantung kepada kadar penggunaannya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...