Pemandu terima saman salah parking kereta menteri  
Rozali menunjukkan saman dari MPPP yang diterimanya kerana kesalahan meletakkan kenderaan rasmi Ketua Menteri.
GEORGETOWN - Pemandu khas Ketua Menteri Pulau Pinang tampil menjelaskan berhubung kesalahan kereta rasmi itu diparkir sebelah pili bomba yang menjadi viral dalam media sosial kelmarin.

Rozali Ishak, 54, berkata, ketika kereta itu diparkir, dia berada dalam kenderaan itu kerana semua kotak parkir di hadapan Dewan Perniagaan Cina penuh.

“Pada hari kejadian, saya menghantar Ketua Menteri ke Dewan Perniagaan Cina untuk menghadiri sebuah majlis. Bagaimanapun, semua kotak parkir berdekatan sudah penuh dan saya kemudiannya bergerak ke Lebuh King untuk parkir di sana. Saya akui, memang saya parking di sana tetapi saya tidak tinggalkan kereta di situ, saya berada di dalam kereta untuk menunggu Ketua Menteri.

“Pada waktu itu, saya nampak seseorang mengambil gambar kereta tetapi hanya membiarkan sahaja kerana saya bukannya tinggal kereta itu sebaliknya menunggu di dalam kereta,” katanya kepada media semalam.