Kepesatan pembangunan dan kepadatan bilangan penduduk melebihi 500,000 dikatakan sudah
memenuhi kriteria utama bagi mencapai status bandar raya.  
Kepesatan pembangunan dan kepadatan bilangan penduduk melebihi 500,000 
dikatakan sudah memenuhi kriteria utama bagi mencapai status bandar raya.

SUNGAI PETANI – Bandar Sungai Petani yang digembar-gemburkan bakal dinaiktarafkan menjadi status bandar raya pada 2015 masih lagi menjadi tanda tanya walaupun kini sudah memasuki kalendar 2015.

Menerusi kenyataan http://ms.wikipedia.org/wiki/Sungai_Petani menjelaskan bahawa Bandar Sungai Petani akan dinaiktarafkan menjadi sebuah bandar raya pada tahun ini.

Rata-rata penduduk Sungai Petani bagaimanapun sudah bersedia apabila ditanya mengenai perubahan status bandar raya yang sudah pasti satu lonjakan ke arah pembangunan dan taraf hidup rakyat.

Penjawat awam, Norain Mohd Yusof, 32, berkata, ura-ura mengatakan Sungai Petani akan dinaiktarafkan ke status bandar raya sudah lama diketahui dan boleh dikatakan tersebar luas ke seluruh bandar.

Menurutnya, antara perubahan yang dilihat ialah pertambahan bilangan bangunan tinggi termasuk kemudahan awam seperti stesen bas ekspres dan kereta api yang telah diberi wajah baharu.

“Tahun 2015 dikatakan bakal menjadi lembaran baharu apabila status Bandar Sungai Petani bertukar ke bandar raya, namun sehingga kini saya belum mendengar mana-mana pengumuman dibuat kerajaan negeri mahupun kerajaan tempatan,” katanya.

Juruteknik komputer, Muhammad Adib Mohd Hashim, 22, berkata, dia ada mendengar desas-desus melalui laman sosial Facebook sejak tahun lalu mengenai penukaran status bandar raya, namun masih belum mengetahui sejauh mana kebenarannya.

“Pendapat saya sudah tiba masanya Sungai Petani diberi pengiktirafan memandangkan pembangunan pesat berlaku di mana-mana. Dengan penukaran status ini, sudah pasti penduduk di Sungai Petani juga akan turut merasai arus kemodenan,” katanya.

Bagaimanapun, Norain Che Mohd Rodze, 22, berpendapat, sebelum mengiktiraf sebagai bandar raya, kemudahan awam seperti pengangkutan bas perlu disistematikkan terlebih dahulu begitu juga dengan Stesen Bas Jalan Petri masih lagi usang dan tiada nilai komersial.

Sementara itu, Ahli Lembaga Koperasi Usahawan Muslim Berhad, Muhammad Abdul Hamid, 35, berkata, sebagai sebuah bandar yang sudah mencapai sasaran 500,000 penduduk, sudah pasti ia sudah pun memenuhi kriteria utama untuk dijadikan bandar raya.

“Penduduk Sungai Petani harus positif di mana sukar untuk meneliti mana-mana bandar di Malaysia yang bukan ibu negeri mempunyai penduduk mencecah angka berkenaan seperti di Selangor dan Sarawak yang mempunyai lebih dari satu bandar raya, sudah pasti ia sesuatu yang membanggakan,” katanya.