TERKINI :

Thursday, January 8, 2015

Pembangunan semula Kelantan: Hentikan segera berpolitikan sempit

Pembangunan semula Kelantan: Hentikan segera berpolitikan sempit - ABIM  
ABIM khuatir jika perbincangan perpolitikan parti politik Melayu 
mendominasi suasana muram hari ini, ia akan melambatkan proses bantuan banjir. 
 
KUALA LUMPUR: Berikut adalah kenyataan akhbar yang dikeluarkan Amidi Abdul Manan, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) hari ini :

Saranan agar PAS dan UMNO bersatu membentuk kerajaan campuran di Kelantan bagi membangunkan semula prasarana awam adalah dirujuk. Angkatan Belia Islam Malaysia ingin menyatakan kebimbangan atas obsesi umat Melayu terhadap politik kepartian.

Rakyat di negeri Kelantan amat memerlukan bantuan dari segala segi. Jumlah rumah yang musnah dan ranap akibat banjir menjangkau ribuan jumlahnya. Kerosakan fasiliti awam juga tidak terbayang.  Kemusnahan yang besar ini mengakibatkan kesan psikologi dan emosi terhadap warga Kelantan. Ia sekaligus memberi kesan yang buruk terhadap ekonomi.

ABIM amat prihatin agar proses pembangunan semula Kelantan perlu dilaksanakan dengan pantas dan berkesan. Kaedah pengurusan bantuan perlu dipertingkatkan agar tiada yang ketinggalan dalam proses ini. Bancian perlu dilaksanakan segera agar data dapat dikumpulkan bagi tindakan seterusnya.
Pengurusan bantuan adalah perkara yang diperlukan oleh rakyat Kelantan sekarang ini. Seharusnya pemimpin politik mampu mencari ikhtiar bagi menyalurkan pertolongan tanpa terikat dengan politik kepartian yang sempit.

Rakyat Kelantan telah melaksanakan tugas mereka sebagai warganegara dengan membayar cukai, malah hasil bumi Kelantan juga turut menyumbang kepada kemakmuran negara, oleh itu tiada sebab hak mereka untuk mendapat bantuan tanpa sebarang syarat dinafikan.

ABIM khuatir jika perbincangan perpolitikan parti politik Melayu mendominasi suasana muram hari ini, ia akan melambatkan proses bantuan secara teratur, sistematik dan efisyen kepada rakyat Kelantan.

Seharusnya kita insaf apabila melihat deretan kenderaan tersangkut dalam kesesakan jalanraya antara Kota Bharu dan Kuala Krai dalam usaha menghantar bantuan kerana polemik antara parti yang tiada kesudahan.

Seharusnya kedua-dua pihak PAS dan UMNO berasa terpukul dengan kerjasama rakyat yang tulus membantu sesama warga tanpa mengira bendera politik, keturunan, bangsa dan agama. Ini adalah soal kemanusiaan yang merentasi batas kekuasaan politik yang bertolak atas keinsafan yang mendalam.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
*Amidi Abdul Manan adalah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...