TERKINI :

Friday, January 23, 2015

Mereka cuba burukkan Pasma dengan Pas

ALOR SETAR - Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) kesal apabila ada pihak sanggup mempersenda keuzuran Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan mengaitkan NGO itu membuat kenyataan palsu dikesan disebar melalui laman sosial.
 
Presidennya, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, kenyataan palsu didakwa dibuat oleh dirinya itu mula tersebar sejak petang kelmarin.
 
"Saya kesal dan kecewa, ada pihak sanggup menggunakan perkara seumpama itu semata-mata mahu memburukkan Pasma dan nama baik saya. Saya andaikan ini usaha untuk gambarkan Pasma seolah bermusuh dengan Pas," katanya.
 
Menurut Adun Pengkalan Kundor itu, beliau hanya mengetahui mengenai kenyataan itu mula menjadi viral di laman sosial termasuk aplikasi WhatsApp, lewat petang kelmarin melalui rakan-rakan yang menghubunginya untuk mendapatkan kesahihan.
 
"Ketika itu saya baru tiba di rumah sekitar 7.15 malam dari Kelantan, ditemani seorang rakan. Saya memandu melalui Thailand dari Rantau Panjang ke Bukit Kayu Hitam dan mengambil masa hampir lima jam," katanya.
 
Phahrolrazi berkata, sepanjang tempoh perjalanan itu, beliau tidak memeriksa telefon bimbit berikutan tiada perkhidmatan jalur lebar.
 
"Saya memandu ketika itu, bagaimana saya didakwa menulis mesej atau kenyataan itu. Ketika tiba di Bukit Kayu Hitam, saya dapati bertalu-talu panggilan dan mesej masuk, bertanyakan perkara itu," katanya.
 
Tambahnya, hanya individu yang waras dapat menilai sama ada kenyataan itu dibuat olehnya atau dirinya difitnah pihak tertentu.
 
"Orang ramai tidak wajar terima bulat-bulat perkara yang disebar di alam cyber, sebelum melakukan tabayyun yakni mendapat penjelasan daripada pihak terlibat," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...