TERKINI :

Thursday, January 8, 2015

Mahfuz - Setuju gabung demi jawatankuasa pasca banjir

 Mahfuz Omar
SHAH ALAM - Episod baharu dalam sejarah pentadbiran Pas bakal tercipta apabila Pas Pusat dikatakan menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir Kelantan bersama Kerajaan Persekutuan.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut merupakan hasil persetujuan dari kedua belah pihak antara Pas Kelantan dan Kerajaan Persekutuan.

“Hubungan erat dan kerjasama baik di peringkat ‘government to government’  ini adalah merupakan titik baharu dalam sejarah pentadbiran Pas di negeri itu sejak tahun 1990.

“Hubungan baik ini sepatutnya sudah sekian lama dibina kerana semangat federalisme itu ada termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia. Perbezaan idelogi politik parti pemerintah di peringkat pusat dan negeri tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menafikan hak rakyat yang sepatutnya dibela oleh semua pihak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun beliau mengingatkan Kerajaan Persekutuan supaya menunaikan janji mereka kepada rakyat Kelantan.
“Segala luka lama seperti penderaan terhadap rakyat Kelantan yang dinafikan hak mendapat royalti minyak, lebuh raya yang sempurna, dan pelbagai peruntukan yang disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) perlu ditunaikan dan dipenuhi dengan kadar segera.

“Jangan ulang kezaliman penarikan royalti minyak ketika Pas mentadbir Terengganu dulu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menjamin semangat fedelisme yang wujud akan membina hubungan baik tanpa menimbulkan polemik kewujudan kerajaan campuran antara Umno dan Pas di Kelantan.

“Pas dengan penuh harapan agar episod baru dalam hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri ini akan membawa rahmat kepada seluruh rakyat yang baru ditimpa musibah serta mengangkat lembaran politik baru yang lebih matang, terbuka dan demokratik,” ujarnya lagi.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan saranan agar kerajaan antara Pas Kelantan dan Umno Kelantan bergabung untuk membina semula negeri yang seakan sudah menjadi 'ground zero' setelah dilanda banjir paling dahsyat kali ini.

Sebelum ini, Penerbit Sinar Harian, Datuk  Hussamuddin Yaacub berkata, inilah masanya untuk mereka membuktikan keikhlasan bahawa perjuangan mereka berpaksikan rakyat, bukan kepentingan diri. Inilah masanya untuk mereka menunjukkan kesanggupan untuk berkorban demi rakyat.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...