TERKINI :

Thursday, January 8, 2015

Lawak Apa Rosmah Buat Ni, Rumahnya Di Jalan Duta Bukan Di Tepi Jalan Pun?

oleh Shahbudin Husin,

http://bm.therakyatpost.com/wp-content/uploads/sites/4/2015/01/Najib-and-Rosmah-MAHA-M-600x360.jpg
Orang UMNO yang mengetahui dan biasa berkunjung ke rumah peribadi Najib Razak di Jalan Duta rata-rata ketawa kecil dan tersenyum simpul sambil kehairanan apabila Rosmah Mansor menyatakan beliau dan Perdana Menteri selalu tidak dapat tidur kerana gangguan bunyi bising mat rempit.

Mereka berkata, lawak apa yang sedang dipersembahkan oleh Rosmah itu atau ia sekadar mahu "menunjuk-menunjuk" keprihatinannya kerana seolah-olah turut terganggu dengan masalah yang ditimbulkan oleh kaum remaja.

Yang lain pula tidak segan-segan menyatakan ia hanyalah kaedah untuk menarik simpati setelah kembali daripada percutian dan "berjoli" dengan jet kerajaan manakala Najib pula dijangkiti e.coli yang masih misteri di mana diperolehinya jangkitan bakteria itu.

Ini kerana majoriti ahli dan pemimpin UMNO biasa benar dengan lokasi rumah Najib itu. Sepanjang masa sebelum Najib berpindah ke Seri Perdana, di rumah itu kerap sekali diadakan jamuan Hari Raya, berbuka puasa, doa selamat, tahlil dan sebagainya.

Rumah peribadi yang terletak berhampiran Kedutaan India itu bukanlah terletak di tepi jalan besar sebenarnya. Ia terletak agak ke dalam sedikit di satu lorong kecil dan boleh dikatakan agak terpencil kedudukannya.

Berdepan dengan rumah Najib itu pula ialah kediaman bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Harun Idris dan bahagian belakang rumah bekas pemimpin Selangor itulah yang sebenarnya mengadap Jalan Duta.

Tetapi rumah Harun Idris itu terletak agak tinggi di atas bukit dan jika ada mat rempit berlumba di Jalan Duta, penghuni di rumah itu pun mungkin hanya mendengar sipi-sipi saja bunyi bisingnya.

Tidak jauh daripada rumah Najib di Jalan Duta itu ialah kediaman Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor. Walaupun demikian, rumah Ku Nan itu juga agak jauh daripada tepi Jalan Duta dan tidak mungkin terganggu dengan bunyi bising mat rempit.

Berbanding rumah Harun Idris dan Ku Nan, kediaman Najib jauh lebih ke dalam daripada tepi Jalan Duta yang agak sibuk itu.

Jadi bagaimana Rosmah dan Najib boleh merasa terganggu dan sampai tak boleh tidur malam kerana gangguan mat rempit?

Dalam suatu majlis semalam yang memperkatakan masalah sosial golongan remaja, isteri Perdana Menteri itu berkata, "saya dan Najib tak boleh tidur sebab dengar bunyi bising motosikal pukul 2 pagi.

"Rumah saya di Kuala Lumpur ( Jalan Duta ) bila tengah malam dengar bunyi motosikal bukan main laju dan kuat...lama pulak tu, mestilah ramai yang berlumba di tengah jalan," katanya.

Beliau menambah lagi, "apabila dengar bunyi bising, saya fikir kita kenalah buat sesuatu sebab saya dan Najib memang tak boleh tidur sebab dengar bunyi bising motosikal."

Sehubungan itu, beliau yang baru kembali daripada bercuti dari Hawaii dan Amerika Syarikat serta Bangkok, berharap orangramai tidak mudah mengalah dan putus asa dalam mendidik remaja yang gemar berlumba motosikal pada waktu malam.

Kata ramai orang-orang UMNO lagi, tidak mungkin Rosmah dan Najib terganggu serta tak boleh tidur kerana bunyi bising motosikal mat rempit memandangkan rumahnya itu bukan terletak di tepi jalan pun, kecualilah jika "nikmat tidurnya" telah ditarik Tuhan atau kerana memikirkan terlalu banyak perkara lain.

Selain untuk menarik simpati, mungkin juga "cerita tak masuk akal" ini sengaja direka oleh Rosmah untuk mengalihkan tumpuan rakyat daripada terus bercakap berkenaan jet, golf, cuti, joli dan e.coli. (SH 08/01/2015)

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...