TERKINI :

Tuesday, January 20, 2015

'Elak tarah bukit, pembalakan haram' - Sultan Kedah


ALOR SETAR - Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah meminta rakyat memastikan sebarang projek pembangunan yang dirancang serta kegiatan sosio-ekonomi tidak menjejaskan alam sekitar, susulan bencana bencana banjir yang berlaku d negeri-negeri Pantai Timur.

"Elakkanlah daripada menarah bukit, melakukan pembalakan haram, pembakaran terbuka dan pembuangan sampah yang tidak terkawal," titah baginda dalam istiadat menyembah tahniah dan penganugerahan darjah-darjah serta bintang-bintang kebesaran sempena keputeraan baginda yang ke-87 di Istana Anak Bukit di sini hari ini.

Titah ucapan baginda dibacakan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Sallehudin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Sultan Kedah berharap kerja-kerja tebatan banjir yang telah dirancang kerajaan negeri Kedah dan mendapat kelulusan kerajaan Persekutuan dilaksanakan dengan segera.

"Untuk melindungi nyawa dan harta benda masyarakat umum, sebahagian daripada rakyat yang menduduki kawasan berdekatan sungai perlu menerima tawaran kerajaan persekutuan dan berpindah ke kawasan lebih tinggi, sekali gus tidak menghalang kerja-kerja tebatan banjir tersebut," titah baginda.

Kedah pernah dilanda banjir besar pada 2010, menyebabkan puluhan ribu penduduk negeri ini dipindahkan. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...