TERKINI :

Thursday, January 8, 2015

"Biarlah Najib Main Golf, Muhyiddin Kan Ada"

oleh Shahbudin Husin,

http://economictimes.indiatimes.com/thumb/msid-45636403,width-640,resizemode-4/barack-obama-and-malaysian-pm-najib-razzak-play-golf.jpg
Sekali lagi media luar negara memalukan Perdana Menteri, Najib Razak. Jika dulu Washington Post mendedahkan beliau bermain golf dengan Presiden Amerika, Barack Obama di Hawaii ketika banjir mula melanda, kini Bangkok Post pula menyatakan pemergiannya ke Thailand ketika banjir sedang menggila baru-baru ini adalah juga kerana main golf.

Dalam laporannya, Bangkok Post menyatakan, Najib berada di ibu negara Thailand, Bangkok pada awal tahun baru 2015 baru-baru ini adalah untuk "bercuti dan beriadah" dengan antara aktivitinya dipenuhi acara membeli-belah dan bermain golf.

Dalam kunjungan peribadi yang diturut diambil kesempatan untuk bertemu dengan rakan sejawatannya, Perdana Menteri Thailand, Jenderal Prayudh Chan-ocha, Najib dan keluarganya juga dilaporkan menginap di Hotel Shangri-La Bangkok.

Selain percutiannya ke Hawaii yang dilakukan secara senyap-senyap, kehilangan Najib di awal tahun baru 2015 baru-baru ini turut menjadi perbualan ramai kerana ia turut dilakukan secara rahsia sehingga beliau sendiri menulis di laman sosialnya memaklumkan tentang kunjungannya ke Thailand serta mengadakan perbincangan dengan Jenderal Prayudh mengenai banjir.

Kunjungan Najib ke Thailand yang kebetulan dengan pengesahan oleh FlightRadar24 bahawa jet kerajaan 9M-NAA juga singgah di bandar itu dalam perjalanan daripada beberapa bandar besar dunia iaitu Los Angelas, New York, London, Dubai dan segera menimbulkan andaian beliau sekeluarga bercuti sekali lagi di negara jiran itu bersama keluarganya.

Dalam masa yang sama, ia juga menimbulkan misteri mengenai siapakah yang menaiki jet khas kerajaan dan menjadi "Perdana Menteri" sepanjang perjalanan itu?

Tersebarnya gambar-gambar yang menampakkan Rosmah Mansor didapati membeli-belah di Central Chidlom, Bangkok sekali lagi merancakkan perbualan ramai mengenai hobi isteri Perdana Menteri yang memang sejak dulu digambarkan gemar mengunjungi butik dan kedai-kedai mewah di seluruh dunia.

Dengan tersebarnya berita oleh Bangkok Post ini, nyata bahawa Najib sentiasa mencari masa meluangkan masa bermain golf tidak kira masa, ketika dan suasana.

Jika di Hawaii beliau didapati bermain golf ketika banjir baru mula melanda, setelah pulang dan meninjau negeri-negeri yang ditimpa musibah itu dan ketika air belum surut, Najib juga disahkan bermain golf di Bangkok pula.

Walaupun tidak disebut dengan siapa beliau bermain golf di Bangkok itu, adakah ia juga sebahagian daripada "diplomasi golf" seperti yang dilakukannya di Hawaii dengan Obama sebelum itu?

Jika sebelum ini, ramai yang mengkritiknya kerana lebih mengutamakan diplomasi golf berbanding mangsa banjir, nampaknya sekali lagi Najib tidak dapat melupakan golf dalam agenda kehidupannya.

Ini tentunya menimbulkan persoalan, apakah pemimpin negara lain tersinggung dan berkecil hati jika acara main golf itu dibatalkan semata-mata kerana keadaan banjir luar biasa sedang berlaku dalam negara?

Andainya pendedahan Bangkok Post bahawa kunjungan peribadi Najib ke Thailand baru-baru ini adalah semata-mata untuk
bertemu dengan Jenderal Prayudh, ia mungkin tidak begitu menjejaskan namanya tetapi apabila didapati turut bermain golf dan membeli-belah, gambarannya ialah beliau dilihat memang tidak sensitif dengan derita dan sengsara mangsa banjir.

Golf seolah-olah sangat penting. Di Hawaii bermain golf, di Bangkok juga main golf.

Kalau sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pernah berkata, "biarlah Najib bercuti" beliau pun manusia biasa juga" dan "saya kan ada" sebagai usaha meredakan kritikan ramai berhubung tidak sensitifnya Najib dengan keadaan banjir, kini barangkali waktu yang sesuai pula untuk rakyat mengucapkan ungkapan yang sama kepada Perdana Menteri.

"Biarlah Najib terus main golf sesuka hatinya, Muhyiddin kan ada". ( SH 07/01/2015 )

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...