TERKINI :

Thursday, January 8, 2015

Bantuan banjir sampai boleh buka kedai?

Longgokan pakaian terpakai yang disumbangkan pelbagai pihak untuk mangsa banjir di sebuah
bangunan di Sungai Durian, Kuala Krai  
Longgokan pakaian terpakai yang disumbangkan pelbagai pihak untuk mangsa banjir di sebuah bangunan di Sungai Durian, Kuala Krai
KUALA KRAI - [DIKEMASKINI] 'Ada yang sudah boleh buka kedai’. Itu gambaran diberi seorang penghulu sebuah kampung, di sini, mengenai pelbagai bantuan yang diterima lebih 100 keluarga yang menjadi mangsa banjir di kampungnya.

Setiausaha sebuah majlis tindakan Dun (MTD) pula menggambarkan betapa banyaknya bantuan terutama makanan diterima hingga boleh diagihkan kepada semua penduduk di Dun itu termasuk yang tidak terlibat banjir.

“Jika bantuan makanan, tidak ada mangsa banjir kebuluran kerana bekalan mencukupi, bahkan penduduk yang tidak terlibat secara langsung dengan banjir pun kita beri bantuan makanan,” katanya ketika ditemui.

Namun, dua gambaran itu tidak boleh dijadikan ukuran tahap sampainya bantuan kepada penduduk di puluhan kampung di daerah ini yang terjejas teruk akibat banjir terutama di kawasan pedalaman seperti di Dun Dabong.

Ini kerana, suasana berbeza dikatakan berlaku kepada penduduk di sebuah perkampungan di seberang Sungai Kelantan, yang dikatakan terputus bekalan makanan selepas bencana itu berakhir.

Keadaan penduduk dikatakan kelaparan itu didedahkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) selepas melawat perkampungan tersebut yang hanya boleh dihubungi melalui pengangkutan sungai.

Kenyataan NGO terbabit mungkin sukar dipercayai jika melihat kepada kehadiran ratusan kenderaan untuk misi bantuan banjir di daerah ini, sejak seminggu lalu, bahkan sehingga menyumbang kepada kesesakan laluan lintas.

Jika benar apa yang dialami penduduk di perkampungan seberang Sungai Kelantan itu, timbul persoalan ke mana ‘menghilangnya’ beratus-ratus tan bantuan termasuk makanan untuk mangsa banjir yang dikatakan ‘terlalu’ banyak itu.

Bagi setiausaha MTD, masalah bantuan tidak menyeluruh itu dipercayai berpunca daripada tindakan pihak penyumbang, terutama dari luar Kelantan yang menyalurkan sendiri bantuan itu secara terus kepada kawasan pilihan mereka.

“Mereka ini dapat maklumat kawasan yang teruk terjejas daripada laporan media dan terus hantar bantuan ke kawasan berkenaan dan bukannya dengan kerjasama agensi kerajaan atau pusat operasi banjir setempat.

“Ini menyebabkan penyumbang tertumpu di sesetengah kawasan sama, manakala mangsa di pedalaman terutama di kawasan terputus hubungan, bantuan tidak sampai kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, bantuan sama dan berulang di kawasan sama turut menimbulkan masalah termasuk pembaziran kerana berlebihan dan isu kebersihan seperti yang berlaku kepada bantuan pakaian.

Mengenai bantuan seterusnya, setiausaha MTD terbabit berkata, apa yang paling diperlukan kini ialah bantuan seperti selimut, bantal dan tikar kerana mangsa banjir sudah pulang ke rumah.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...