Banjir
SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah dapat memulihkan 45 MW (megawatt) dari 200 MW bekalan tenaga yang masih terjejas di negeri-negeri yang masih dilanda banjir setakat jam 4 petang ini.

Pengurus Besar Kanan (Operasi Wilayah 2), Bahagian Pembahagian TNB Ir. Abdul Aziz Abdul Majid berkata, di kawasan-kawasan yang air telah mula surut dan akses yang selamat dilalui, TNB telah memulihkan operasi 625 Pencawang Elektrik (PE), di mana 358 darinya di Kelantan, 163 di Pahang, 79 di Terengganu dan 25 di Perak.

Katanya, 47 set janakuasa  bergerak dengan kapasiti 500 kiloWatt (kW) hingga 1,000 kW dan 38 set janakuasa jenis mudahalih (portable) dengan kapasiti 4 kW hingga 40 kW telah dipasang di lokasi-lokasi tertentu.

“Cabaran paling besar bagi kami adalah untuk mengembalikan bekalan ke negeri Kelantan disebabkan paras air yang masih tinggi dan akses laluan yang sangat terhad.

"Di Kelantan, sehingga jam 4 petang ini,10 set janakuasa bergerak tersebut telah dapat dioperasikan  ” katanya yang juga Ketua Koordinator Pengurusan Banjir TNB.