GURUN: Polis hari ini mengesahkan bahawa kes letupan di sebuah rumah di Taman Ria Mesra II di sini, yang mengorbankan tiga nyawa Rabu lepas berpunca daripada peluru pelancar roket anti kereta kebal.
Pemangku Ketua Polis Kedah Datuk Zakaria Yusof berkata peluru berkenaan, "High Explosive Anti-Tank" adalah jenis yang digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Letupan itu berpunca daripada peluru pelancar roket, yang digunakan untuk memusnahkan kereta kebal," katanya.
Bercakap pada sidang media selepas melawat lokasi kejadian hari ini, beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan ATM untuk menyiasat perkara itu.
Katanya, pihaknya percaya terdapat lebih daripada satu bom yang meletup kerana kawasan kawah letupan itu luasnya kira-kira satu meter, tetapi siasatan masih dilakukan.
"Bom (peluru) itu memang digunakan oleh ATM dan mangsa yang meninggal itu cuba mengabstrak item berharga di dalam peluru," katanya.
Zakaria berkata polis kini masih mengutip serpihan daripada bom yang meletup untuk membantu siasatan selain merakam percakapan daripada penduduk taman berkenaan.
"Kita juga mendapat kerjasama baik daripada ATM demi meningkatkan SOP (Standard Operation Procedure), jika ia perlu diperbaiki.
"Kita akan teruskan siasatan untuk mengenal pasti macam mana bom (peluru) itu dibawa keluar daripada kem latihan tentera," katanya.
Sementara itu, Zakaria berkata sehingga kini polis menerima 61 laporan polis berhubung kerosakan rumah yang dialami penduduk taman terbabit.