TERKINI :

Wednesday, December 24, 2014

Banjir tak halang usul 'hudud', kata MB

Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob berkata banjir teruk yang melanda Kelantan tidak akan menggugat iltizam PAS negeri untuk mengadakan sidang dewan khas bagi meminda rang undang-undang hudud pada 29 Disember ini.

"Banjir ini adalah kejadian yang berlaku tiba-tiba. Namun, cadangan sidang dewan negeri ini adalah sebahagian daripada pentadbiran awam negeri.

"Walaupun ada banjir, kita masih perlu bekerja," katanya seperti dilaporkan harian Sin Chew Daily hari ini.

Sementara itu, Umno yang mutakhir ini menyokong rencana PAS untuk melaksanakan undang-undang itu di Kelantan berharap PAS tidak membuat pusingan-U pada saat akhir akibat desakan DAP dan PKR.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Puad Zarkashi dilaporkan akhbar Sinar Harian sebagai berkata yang PAS perlu "teguh dengan pendirian mereka".

Pendirian itu kata Puad, perlu dipegang PAS walaupun parti komponen Pakatan Rakyat lain terus menentang pelaksanaan hudud di Kelantan.

Beliau turut berharap agar PAS tidak terus menangguhkan pelaksanaan undang-undang itu.

Akhbar sama turut melaporkan MP Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin sebagai menyokong usul itu.

Beliau berharap agar PAS tidak berganjak seinci pun daripada pendirian mereka.     

Kelantan akan mengadakan sidang dewan khas pada 29 Disember untuk membentangkan pindaan terhadap Rang Undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993.

Banjir makin buruk: 60,000 mangsa dipindah

Keadaan banjir bertambah serius menyebabkan 58,705 penduduk di Pahang, Kelantan, Terengganu, Perak, Perlis dan Sabah terpaksa berpindah.

Kelantan mencatat jumlah mangsa banjir paling tinggi melibatkan 24,765 orang, diikuti Terengganu (21,606), Pahang (10,825), Perak (1,030), Sabah (336) dan Perlis (143).

Di KELANTAN jumlah mangsa meningkat kepada 3,164 orang sebelah pagi berbanding 21,601 orang malam tadi.

Sebanyak 18 pusat pemindahan baharu dibuka kepada 96 buah semalam.

Peningkatan jumlah mangsa melibatkan sembilan jajahan iaitu Gua Musang, Jeli, Kota Baharu, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah, Tumpat dan Kota Baharu.

Jumlah mangsa tertinggi dicatat di Pasir Mas iaitu 8,754 orang, diikuti Gua Musang (5,259) dan Kuala Krai (4,608).

Sebanyak 23 laluan turut ditutup yang 17 daripadanya laluan ditutup kepada semua lalu lintas manakala enam ditutup kepada kenderaan ringan.

'Laporan polis tiada kaitan dengan Najib, Umno'

Naib Ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, yang membuat laporan polis mengenai isu firma pelaburan 1MDB, berikrar akan terus melawan "kemungkaran secara habis-habisan" dalam apa jua keadaan demi kepentingan rakyat.
 
Beliau turut menyindir Pemuda Pulau Pinang dan Kedah untuk "membodek" sesiapa sahaja kerana mendesak kepimpinan parti menyiasat dan mengambil tindakan displin kerana dianggap menjatuhkan imej parti.
 
"(Tetapi) tindakan mereka hanya akan membuatkan ramai rakyat semakin jelak dengan Umno," katanya dalam kiriman SMS kepada Malaysiakini
 
"Atas nama perjuangan, saya akan  teruskan wadah dan tanggungjawab ini sebagai satu fardhu kifayah serta akan terus berpegang kepada prinsip membela kepentingan rakyat," katanya lagi.
 
Khairuddin mengulas desakan Ketua Umno Pulau Pinang Rafizal Abdul Rahim supaya Umno negeri bertindak dan mengadakan mesyuarat khas membincangkan isu Khairuddin yang didakwa menggunakan portal "propembangkang" untuk menyerang Umno.
 
Menyokong perkara itu, Ketua Pemuda Umno Kedah Datuk Saiful Hazizy Zainol Abidin pula mendesak Jawatankuasa Pengurusan dan lembaga disiplin parti segera mengadakan siasatan terhadap Khairuddin yang mengkritik kepimpinan Umno Pulau Pinang yang didakwanya "tidur".
 
Mengulas lanjut, Khairuddin berkata laporan polis berhubung syarikat pelaburan itu hanya meminta pihak berkuasa itu menjalankan siasatan lembaga pengarah dan ketelusan pentadbiran dana dan kewangannya.
 
Katanya, laporan polis itu tidak ada kena mengenai dengan Najib sebagai perdana menteri, presiden Umno atau menteri kewangan.
 
"Kerana dasar saya sayangkan Umnolah, saya mengambil tindakan nekad ini untuk membersihkan nama perdana menteri dan menteri kewangan Malaysia. 
 
"Isu 1MDB tiada kaitan langsung dengan Umno serta presiden Umno," katanya sambil menyifatkan Pemuda Umno Pulau Pinang dan Kedah "amat kurang cerdik".

Amar: Hudud lebih penting dari tawan Putrajaya

Menawan Putrajaya merupakan perkara kedua selepas pelaksanaan hudud, kata Timbalan Ketua Menteri Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau juga mendakwa bahawa ia tidak kisah sekiranya PAS dikeluarkan dari Pakatan Rakyat oleh sekutunya - DAP dan PKR yang menentang hudud - asalkan matlamat parti Islam itu tercapai.
 
Menurut Amar, PAS mesti melaksanakan hudud dengan apa cara sekalipun, walaupun jika ia perlu bekerjasama dengan Umno.
 
Katanya, ini kerana tiada jaminan bahawa parti itu akan dibenarkan untuk berbuat demikian walaupun jika Pakatan memerintah kerajaan pusat.
 
"Persoalannya ialah bukan sama ada kita akan tawan Putrajaya. Ada sesetengahnya memberitahu kita bahawa jika kita berjuang untuk hudud, kita tidak akan menang Putrajaya.
 
"Tapi lihat pada 2013, kita tukar dari negara Islam kepada negara kebajikan, dan kita benarkan bukan Islam guna 'kalimah' Allah dan kita masih tak menang (Putrajaya)," katanya.
 
Sehubungan, kata Amar, dalam melaksanakan Islam, Putrajaya adalah perkara kedua.

"Jika mereka (Pakatan) berbuat demikian (keluarkan PAS dari Pakatan), kita akan menerimanya," kata Amar, yang menjadi jurucakap parti itu tentang pada hudud.

'JK pusat PAS tak pernah setuju RUU hudud'

Seorang anggota jawatankuasa pusat PAS berkata mereka tidak pernah bersetuju untuk membawa Rang Undang-undang Persendirian Kelantan berkaitan hudud ke parlimen.

Jawatankuasa pusat PAS sebaliknya dikatakan hanya bersetuju supaya Kelantan membincangkan perkara teknikal dengan kerajaan pusat pimpinan Umno.

Kerajaan Kelantan sepatutnya membentangkan kembali hasil perbincangan itu kepada jawatankuasa pusat PAS.

Anggota jawatankuasa pusat PAS Mujahid Yusof Rawa, Dr Hatta Ramli dan seorang lagi anggotanya yang enggan namanya disebut berkata, ia antara perkara yang sudah dipersetujui.

Hatta, yang juga anggota parlimen Kuala Krai, juga menolak kenyataan timbalan pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bahawa mereka mendapat restu jawatankuasa pusat.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...