DATUK MAHFUZ OMAR

PAS Kedah mempertikaikan sikap Kerajaan Barisan Nasional Kedah yang berterusan menyalahkan Pakatan Rakyat dalam isu pembinaan Kampus Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Kuala Ketil.
Yang terbaru, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah mengatakan pembinaan kampus tersebut adalah kesilapan pelaburan yang dibuat oleh Kerajaan Pakatan Rakyat sebelum ini.
Hal ini jelas menampakkan BN menafikan bahawa betapa pentingnya sektor pendidikan untuk pembangunan modal insan dan BN lebih mementingkan soal untung rugi sahaja.
Ironinya, Kerajaan BN di peringkat Persekutuan dalam setiap kali pembentangan Bajet pastinya memberikan peruntukan yang tertinggi dalam sektor pendidikan. Yang terbaru untuk Bajet 2015, sebanyak RM56 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan.
Pelaburan pendidikan adalah bersifat menguntungkan untuk jangka masa panjang, maka atas aspirasi inilah yang membuatkan Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak, Menteri Besar Kedah ketika itu sanggup mengambil risiko bersusah payah untuk menaiktaraf kolej universiti tersebut. Dengan pembinaan kampus yang lebih selesa bersesuaian dengan pertambahan jurusan pengajian yang ditawarkan untuk menampung keperluan 7,000 pelajar.