Shahbudin Husin,
Peguam
terkenal, Shafee Abdullah yang dilantik khusus oleh Jabatan Peguam
Negara bagi menjalankan tugas pendakwaan bagi rayuan kes liwat
melibatkan Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan telah pun menamatkan
pusingan pertama pembentangan hujah-hujahnya petang semalam.
Sebelum
itu, pihak pembela sudah pun mengemukakan hujah pembelaannya dalam
usaha memastikan sabitan lima tahun penjara keatas Ketua Pembangkang,
digugurkan.
Berikutan
kedua-duanya sudah menamatkan pusingan pertama masing-masing, pihak
pembela yang diketuai oleh Gopal Sri Ram akan membalas dan cuba
mematahkan hujah-hujah pendakwa itu di pusingan akhir pada hari Khamis
nanti. Memandangkan seramai empat peguam Anwar dijangka tampil berhujah
mengikut skop masing-masing, adalah dirasakan ia akan mengambil masa
sehari suntuk pada Khamis itu.
Selepas
itu, dijangka pada Jumaat pagi, barulah pihak pendakwa sekali lagi
tampil mempertahankan hujah pendakwaan untuk kekal mensabitkan Anwar
atas dakwaan liwat sebelum lima hakim membuat keputusannya.
Sama
ada keputusan akan dibuat sebaik saja pihak pendakwa dan pembela
menamatkan tugas masing-masing, ia bergantung kepada lima hakim
berkenaan menentukannya. Andainya fakta-fakta kes sudah diteliti
sepenuhnya, tidak mustahil keputusan akan diketahui menjelang petang Jumaat nanti.