Muka depan akhbar Sinar Harian semalam

SHAH ALAM - Kerajaan sepatutnya menyelesaikan dua isu utama yang melibatkan penguatkuasaan dan tangga gaji sebelum bertindak mengurangkan subsidi minyak.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia (MTEM), Mohd Nizam Mashar berkata, pengumuman yang dilakukan secara mengejut itu jelas memberi kesan kepada ekonomi rakyat.

“Banyak perkara tak selesai lagi jadi apabila subsidi dikurangkan itu, ia banyak memberi kesan kepada rakyat terutama apabila ia dibuat secara mengejut.

“Isu yang perlu diselesaikan sebelum kurangkan subsidi ialah penguatkuasaan yang lebih baik. Penguatkuasaan ini maksudnya bukan saja dalam kita memastikan harga barang tak naik tapi subsidi itu diberikan kepada kumpulan yang sepatutnya terima,” katanya kepada Sinar Online, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, wujud ketidakseimbangan antara subsidi dengan cukai ke atas syarikat-syarikat asing yang menjalankan operasi di negara ini.