Keadaan tanah jerlus menyukarkan jentuai padi bergerak.  
Keadaan tanah jerlus menyukarkan jentuai padi bergerak.

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) memandang serius masalah tanah jerlus di kawasan sawah padi yang tidak mempunyai alas galas mencukupi bagi menampung penggunaan jentera pertanian.

Difahamkan, kawasan Mada pernah pertama kali menghadapi masalah tanah jerlus pada tahun 1999 di Kampung Kubang Nipah, Wilayah II dengan melibatkan keluasan 156 hektar tanah.

Bagaimanapun, masalah itu dapat diatasi dengan menjalankan kerja-kerja pembinaan parit jari, struktur kecil saliran dan rangkaian jalan ladang melibatkan kos RM300,000.

Timbalan Pengurus Besar Mada (Teknikal), Ir Hor Tek Lip berkata, pada awal tahun 2012, seluas 6,230 hektar tanah dikenal pasti mengalami masalah tanah jerlus.

Namun, pada penghujung tahun itu (penanaman padi musim 2/2012), pihaknya mendapati masalah tersebut meningkat sebanyak 30.1 peratus iaitu melibatkan tanah sawah padi seluas 8,107 hektar.