SHAH ALAM 1 Okt. - Kerajaan Selangor mengumumkan akan mengkaji semula kadar kenaikan gaji dan elaun Menteri Besar, Speaker, Timbalan Speaker dan Exco negeri yang diberikan sebelum ini.
Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, kajian mengenai kenaikan itu kemudiannya akan dibentangkan ke Dewan Undangan Negeri (DUN), November ini.
Beliau yang mempengerusikan mesyuarat mingguan Exconya yang pertama di sini, bagaimanapun berkata, kenaikan elaun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak berubah.
Sebelum ini, gaji Menteri Besar dinaikkan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota Exco daripada RM6,109.29 kepada RM20,250; Speaker DUN (RM6,109.29 kepada RM22,500); Timbalan Speaker (RM3,327.50 kepada RM15,750) dan ADUN (RM6,000 kepada RM11,250).