MOHD BUKHARI MANSIN
Selesai sudah kemelut perlantikan Menteri Besar Selangor, semoga semua parti dalam Pakatan Rakyat dapat berlapang dada menerimanya.
Fokus kini pada membela nasib rakyat. Saya kira dengan pelaksanaan GST pada April tahun depan, ekonomi rakyat akan sedikit sesak nafasnya. Parti politik seperti Pakatan Rakyat perlu membulatkan tenaga untuk terus mengasak Kerajaan untuk menangguhkan GST kerana masanya tidak sesuai.
Saya faham GST ada kebaikannya, namun perlu dilihat secara lebih menyeluruh soal ketelusan, amanah dan tiada rasuah serta penyelewangan dana kerajaan untuk rakyat sebelum melaksanakn GST.
Belanjawan kerajaan Malaysia sudah banyak tahun mengalami defisit. Dalam keadaan seperti itupun, belanja mengurus pada setiap tahun meningkat. Ada peningkatannya sehingga 8 peratus.
Soalnya, pada setiap kenaikan belanja mengurus itu, gaji rakyat kebanyakan tidak juga meningkat dengan baik. Di sini yang kita hairan, kemana duit itu dibelanjakan dan dikeluarkan. Rakyat bertanya, namun jawapan kadang kadang diberi agak mengecewakan.
Laporan audit negara setiap tahun mengalami kebocoran dan ketirisan yang bukan sedikit. Beberapa tahun dahulu saya masih ingat, beberapa bulan selepas bajet dibentang, ada sebuah kementerian memohon bajet tambahan beberapa belas billion. Cepatnya duit habis!!
Saya menonton berita di TV3, wartawan mewawancara Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkenaan pelaksanaan GST, Gabenor Bank itu menjawab, kadar inflasi akan naik berkadar 3.1% hingga 3.2% dan akan mengambil masa untuk pulih dalam kadar 1-2 tahun.
Dalam keadaan seperti ini, rakyat perlu dbekalkan dengan "human empowerment" untuk menangani kadar inflasi, pengetahuan tentang soal pengurusan kewangan perlu didedahkan. Yang paling merisaukan ialah anak muda yang menanggung beban.
Penulis ialah mahasiswa fakulti Usul Fiqah.