JITRA - Beberapa calon yang mengambil peperiksaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) secara atas talian bagi mengisi jawatan Peguasa Kastam W41, di sekitar daerah ini kecewa apabila sistem atas talian itu tidak berfungsi dengan baik.

Mereka mendakwa, keupayaan untuk mengakses ke laman web yang menyediakan soalan peperiksaan amat sukar dilakukan walaupun talian internet yang digunakan berkapasiti tinggi.

Seorang calon yang hanya mahu dikenali sebagai Khairul, 27, berkata, peperiksaan yang sepatutnya bermula jam 9 pagi itu memakan masa hampir setengah jam sebelum berjaya melayari laman web untuk menjawab soalan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kebanyakan calon tidak mempunyai masa yang cukup, malah sistem atas talian sentiasa terganggu sepanjang peperiksaan selama dua jam 25 minit itu.