Datuk Mukhriz Tun Mahathir 
 
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir meminta rakyat supaya berjimat dan berhemah menggunakan bekalan air ekoran paras air di tiga empangan utama di negeri ini berada pada paras berjaga-jaga.

Bagaimanapun beliau berkata, rakyat tidak perlu bimbang kerana tiada catuan akan dilakukan.

"Sekarang paras air di empangan Muda, Pedu dan Ahning sekitar 80 peratus dan jumlah ini sebenarnya masih banyak. Walaupun ada hujan turun tetapi ia tidak turun di kawasan empangan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Sementara itu beliau berkata, Kedah juga mengalami kerugian disebabkan masalah kadar kehilangan air tanpa hasil (NRW) yang tinggi.

"Kadar NRW sekarang sekitar 48 peratus yang disebabkan masalah paip bocor, paip lama dan itu tidak termasuk disebabkan kecurian. Bayangkan daripada 100,000 liter air, kita akan hilang hampir 48,000 liter disebabkan masalah ini," katanya.