TERKINI :

Saturday, August 16, 2014

[GEMPAR] Kesemua pimpinan Perkasa Pahang letak jawatan


Dr Abd Wahid (duduk, empat kiri) menunjukkan surat bertarikh 10 Julai 2014 yang didakwa Perkasa mahu menjadi sebahagian badan politik selepas satu mesyuarat tergempar, hari ini.  
Dr Abd Wahid (duduk, empat kiri) menunjukkan surat bertarikh 10 Julai 2014 yang didakwa Perkasa mahu menjadi sebahagian badan politik selepas satu mesyuarat tergempar, hari ini.

KUANTAN - Yang Dipertua Perkasa Pahang dan kesemua 19 ahli jawatankuasa (AJK) di peringkat negeri meletak jawatan hari ini selepas menghadiri satu mesyuarat tergempar.

Tindakan itu dilakukan berikutan Perkasa Pahang tidak bersetuju dengan pertubuhan itu yang didakwa mahu menjadi sebahagian dari badan politik dan terlibat dalam pembentukan pasukan khas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Yang Dipertuanya, Datuk Dr. Abd. Wahid Abd. Manap berkata, para tiga dalam surat yang ditandatangani Ketua Penerangan Perkasa, Hassan Basri bertarikh 10 Julai lalu memaklumkan ‘Presiden bersetuju supaya Perkasa membuat kajian akan keperluan mengambil bahagian dalam pilihan raya umum ke-14 sebagai ‘Kuasa Penawar’.

Permohonan maaf kepada Saari Sungib, keluarga


Saari Sungib

Merujuk kepada laporan Sinar Harian Online bertajuk "Adun Hulu Kelang Masuk IJN” pada pagi 16 Ogos 2014, Sinar Harian memohon maaf atas kesilapan tersebut.

Kami ingin menegaskan bahawa Adun tersebut, YB Saari Sungib tidak diserang sakit jantung dan masih sihat sehingga hari ini.

Dengan ini Sinar Harian memohon maaf sekali lagi kepada beliau dan keluarganya.

Nasarudin sedang menunggu notis saman Guan Eng

Nasrudin tidak terima notis saman Guan Eng

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Nasrudin Hassan berkata beliau tidak menerima sebarang notis tindakan undang-undang daripada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung dakwaannya mengenai pembinaan terowong dasar laut di negeri itu diberi kepada sebuah syarikat secara rundingan terus.

Sambil menegaskan beliau tidak akan memohon maaf kepada Lim kerana membuat kenyataan itu, Nasrudin berkata beliau juga bersedia berdepan saman itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sambutan Kemerdekaan anjuran PAS Pusat di Padang Temerloh Jaya, hari ini. Turut hadir Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata beliau membuat penjelasan berhubung kenyataannya itu dan tidak berniat membuat tuduhan kepada sesiapa.

Salahkah Perdana Menteri Bercuti Mewah?

Salahkah Perdana Menteri bercuti? Ini antara pertanyaan paling banyak dilontarkan di sebalik pendedahan laman berita Asia Sentinel mengenai percutian mewah Najib Razak ke beberapa bandar utama di Eropah sebaik saja beliau menamatkan lawatannya ke Amsterdam, Belanda pada Hari Raya ketiga lalu.

Mungkin di samping mood Hari Raya, di tambah dengan kedukaan yang berterusan mengenai tragedi pesawat MH17 serta kemelut mengenai Menteri Besar Selangor, tidak ramai yang sedar mengenai kehilangan Perdana Menteri sehinggalah ia didedahkan oleh Asia Sentinel.

Apatah lagi setelah mengumumkan pembatalan jamuan Hari Rayanya serta meminta semua rakyat sama-sama menunjukkan rasa simpati dengan menyambut lebaran ini dengan sesederhana mungkin, barangkali ramai juga beranggapan Najib hanya berehat di kediamannya saja.

Mengikut laporan Asia Sentinel itu, Najib dan isterinya telah pergi ke Paris, Sardinia di Itali, Cannes di Perancis, kemudian kembali ke Sardinia sebelum ke Rom dan London untuk bercuti. Beliau turut ditemani jutawan rambu-rambi dan playboy berasal dari Pulau Pinang, Taek Jho Low serta bekas Perdana Menteri Qatar. Di Sardinia pula, Najib dikatakan bersama dengan sekumpulan besar ahli perniagaan Cina dari Malaysia.

Kemudiannya, laman penjejak FlightRadar 24 pula mendedahkan jet kerajaan yang dinaiki oleh Najib Razak dan isterinya itu juga turut disahkan berada di beberapa bandar Eropah yang disebutkan itu.

Jika dikira daripada pemergiannya ke Amsterdam pada Hari Raya ketiga itu dan berada selama dua hari di bandar itu untuk bertemu Perdana Menteri Belanda untuk menyelesaikan beberapa isu berkaitan tragedi MH17 dan meletakkan jambangan bunga sebagai tanda bersedih kepada semua mangsa, kehilangan Perdana Menteri sudah menghampiri tempoh masa dua minggu sebenarnya.

Maklumat daripada rakan-rakan UMNO pula menyebut bahawa Najib dijangka kembali ke tanahair hujung minggu ini dan akan mula berada di pejabatnya pada hari Isnin.

Secara umumnya, tidaklah salah bagi Perdana Menteri untuk bercuti tetapi percutian kali ini nampak tidak kena dengan masa dan ketikanya. Ketika beliau mengumumkan pembatalan jamuan Hari Raya di Seri Perdana dan meminta rakyat turut bersimpati dengan keluarga mangsa MH17 serta diikuti dengan kesediaan mengadakan lawatan segera ke Amsterdam, Belanda pada Hari Raya ketiga, ramai yang memuji dan menyambut baik tindakan keprihatinan yang diambilnya.

Namun kini, semuanya terhakis. Tidak melengahkan percutiannya dan ditemani pula oleh seorang playboy Hollywood, menimbulkan persoalan sama ada perasaan simpati dan prihatin seorang Perdana Menteri kepada apa yang sedang berlaku dalam negara benar-benar ikhlas dan asli?

Meneruskan percutian mewah sambil ditemani Jho Low tidak lebih memperlihatkan bahawa Najib Razak tetap mempunyai jiwa kental seorang anak bangsawan iaitu cuti tetap cuti walau rakyat berduka, negara sengsara dan dunia mahu terbalik sekali pun.

Najib jelas berbeza dengan Mahathir Mohamad yang sanggup selama beberapa tahun tidak bercuti semata-mata untuk menyelesaikan beberapa isu mendesak dalam negara pada penghujung tahun 90an, sehinggalah kemudiannya mengambil cuti panjang selama dua bulan pada 1997. Ketika itu Mahathir telah melantik Anwar Ibrahim sebagai pemangku Perdana Menteri.

Percutian Najib juga mengikuti apa yang dilakukan oleh seorang lagi bekas Perdana Menteri, Abdullah Badawi yang turut pergi ke Melbourne bersama keluarganya beberapa hari sebelum Hari Raya untuk bercuti dan menyambut lebaran di sana.

Persoalnnya, tidak bolehkah ditangguhkan percutiannya? Atau bercuti saja di dalam negara seperti Pulau Langkawi atau Pulau Pangkor? Bukankah ianya lebih praktikal ketika negara diselubungi pelbagai bencana kalau pun mahu juga merehatkan badan dan minda?

Percutian Najib kali ini juga berlaku ketika politk Selangor gawat dengan isu pertukaran Menteri Besar. Walaupun isu ini sudah hampir ke penghujungnya, tetapi UMNO dilihat amat lembab dan tidak berperanan untuk mengambil peluang daripada krisis yang sedang berlaku ini. Selain hanya Noh Omar yang hanya ada bercakap sekali-sekala, Muhyiddin Yasin pula hanya sekali berperanan iaitu mengumumkan sokongan 12 Adun UMNO kepada Khalid Ibrahim.

Selebihnya tiada pemimpin UMNO yang melihat keadaan ini sebagai peluang keemasan dalam percaturan politik serta kelebihan untuk menambah sokongan.

Bahkan ketika UMNO dikaitkan dengan pergolakan yang berlaku ini dan seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor, Salehan Mukhyi mengatakan pendirian Pas untuk terus bersama Khalid ialah bagi memastikan dana Selangor berjumlah RM3.2 bilion tidak dibalun oleh UMNO, tiada pemimpin UMNO Pusat yang bangkit bersuara dan mempertahankan diri.

Semua mereka jelas tidak berani besuara kerana Najib sedang bercuti. Agaknya kalau dua bulan Najib bercuti, semua pemimpin UMNO turut bisu dan kaku.

Lebih memedihkan, percutian Najib bersama sekumpulan ahli perniagaa Cina juga tentunya menyinggung perasaan pejuang-pejuang UMNO peringkat bawahan yang berdegar-degar mahu melihat pembentukan kerajaan Melayu di Selangor melalui kerjasama UMNO dan Pas sambil mengutuk komuniti dan parti berasaskan kaum Cina yang dianggap tidak lagi relevan dan boleh diketepikan begitu saja.

Tetapi hakikatnya, di ketika yang sama Najib bukan saja sedang bercuti bersama sekumpulan ahli perniagaan Cina, bahkan mungkin sedang merancang hala tuju ekonomi dan politik negara bersama mereka. Penyatuan Melayu hanyalah impian di peringkat bawahan saja sebenarnya sedangkan pemimpin diatas sana tidak peduli pun mengenainya. (SH 16/08/2014)

Nukilan
Shahbudin Husin

Kenyataan bongkak PAS WP mengenai penyucian dalaman oleh ALLAH di sanggah

Sanggahan ini tidaklah terlalu akademik, tetapi lahir secara sepontan selepas saya membaca laporannya dalam Malaysiakini.

SU Perhubungan PAS WP berkata; tindakan dua ADUN PAS Selangor menyokong Wan Azizah menjadi proses penyucian PAS daripada anasir tidak sepatutnya, iaitu golongan yang memiliki kepelbagaian fikrah di dalam satu harakah Islamiyyah.

[1] Bagi saya kenyataan ini bernada sombong, menafikan sumbangan orang lain kepada PAS, berasa diri dan kumpulan sendiri lebih bersih daripada orang lain, salah tafsir terhadap maksud perjuangan serta tidak melihat keperluan perjuangan PAS dalam jangka masa panjang.

[2] Sepatutnya orang PAS menerima sesiapa sahaja yang ingin menyumbang kepada PAS. Kelainan sikap dan tindakan tidak sepatutnya menjarakkan mereka daripada PAS. Kelainan itulah yang menjadikan PAS istimewa dan kukuh serta berdayasaing untuk meneruskan perjuangan.

[3] Usah menafikan sumbangan orang lain dan berasa orang lain menjadi perosak jamaah. Tindakan mereka menyokong Wan Azizah bukan sokongan kepada individu tetapi sokongan kepada aspirasi PR. Oleh kerana PKR mencalonkan Wan Azizah sebagai MB, dan PAS memang mahukan MB daripada PR, maka sokongan itu adalah selari dengan aspirasi itu.

[4] Kepelbagaian fikrah itu apa sebenarnya? Kesatuan fikrah pula apa ertinya? Adakah kesatuan fikrah itu maksudnya semua orang mesti mempunyai idea yang sama dalam sesuatu perkara atau situasi? Kepelbagaian dalam semua perkara adalah fitrah. Dunia ini maju kerana kepelbagaian. PAS boleh bertahan sehingga kini juga kerana kepelbagaian.

[5] Apa salahnya bekas orang IRC atau JIM masuk PAS? Teruk benarkah fikrah mereka? Jika kita boleh menerima bekas orang Umno untuk masuk PAS, mengapa kita memandang serong kepada orang JIM atau IRC? Jika kita boleh menerima orang bukan Islam sebagai ahli PAS, mengapa kita memandang serong kepada orang Islam sendiri?

[7] Jangan berasa hanya diri kita paling bagus, paling bersih dan paling berjasa kepada jamaah. Juga jangan berasa hanya kita yang sayangkan jamaah, sementara orang lain semuanya perosak jamaah. Itulah perasaan ujub yang tidak selari dengan akhlak pejuang Islam.

[8] Dalam PAS ada orang tidak menunaikan kewajipan sebagai Muslim. Ada yang tidak solat, tidak puasa dan tidak tutup aurat. Mengapa mereka masih bersama PAS? Tidakkah PAS juga perlu dibersihkan daripada golongan sebegitu?

[9] Berbeza pendapat dengan pimpinan bukanlah sesuatu yang tidak dibenarkan langsung. Sahabat Nabi menunaikan solat sebelum sampai ke perkampungan Bani Quraizah. Pada hal Nabi tidak membenarkan mereka bersolat sebelum sampai ke sana. Nabi tidak menyalahkan mereka, apatah lagi menganggap mereka perosak jamaah pimpinan baginda. Kepelbagaian dalam memahami arahan asal dan melaksanakannya mengikut kefahaman masing-masing adalah perkara biasa. Sepatutnya tindakan kedua-dua ADUN itu dillihat dari sudut kepelbagaian kaedah pelaksanaan bukan pengingkaran kepada arahan pimpinan.

[10] PAS sedang bergerak dalam masyarakat yang semakin cerdik, celik, cerdas dan pantas. Kalau pemimpin PAS menganggap kecerdikan, kecelikan, kecerdasan dan kepantasan sebagai ancaman, percayalah PAS akan ditertawakan orang. Dunia akan menyisihkan PAS dan PAS akan ketinggalan dalam arus kebangkitan insan sejagat menolak kebobrokan.

[11] Pemimpin PAS terutama mereka yang menampal diri dengan panggilan ustaz mesti berlapang dada. Jika orang lain melakukan kesilapan, ustaz juga melakukan kesilapan. Usah anggap diri serba bersih dan suci. Terimalah orang lain seadanya sama seperti kita mahu orang menerima kita seadanya.

[12] PAS bukan parti milik golongan tertentu. Tidak ada sesiapa berasa dia berhak menyingkir orang lain daripada PAS termasuk Presiden. PAS milik umat. PAS milik rakyat. Jangan jadikan PAS seperti parti pinggan mangkuk yang hanya disertai oleh peminat pinggan mangkuk sahaja.

Cukuplah sedozen sanggahan santai saya sebagai membantah kenyataan SU Perhubungan WP itu. -fb Zolkharnain Abidin Al-Abyadhi

PAS kenalpasti calon alternatif untuk ganti Wan Azizah

Setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata parti itu sudah menyenaraikan beberapa lagi nama yang sesuai untuk calon menteri besar Selangor.

Laporan Berita Harian menyebut, Mustafa berkata nama berkenaan bagaimanapun tidak boleh diumumkan sebelum jawatankuasa pusat PAS bermesyuarat esok.

Calon berkenaan sebagai alternatif kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang ditegaskan oleh PKR sebagai calon tunggal untuk jawatan tersebut.

"Memang ada beberapa nama dalam fikiran kita yang dilihat sesuai, tetapi namanya saya tidak boleh sebut sekarang, kena tunggu mesyuarat parti," katanya seperti dilaporkan akhbar tersebut.

Beliau juga mengulangi pendirian PAS bahawa arahan agar empat orang exconya kekal dalam kabinetr Tan Sri Khalid Ibrahim adalah bagi memastikan Pakatan Rakyat terus mentadbir Selangor.

Justeru, beliau menuntut agar DAP dan PKR menjelaskan sikap parti itu yang berang apabila PAS mengambil tindakan demikian.

"Kita juga kena tanya dia (PKR dan DAP) atas dasar apa mereka marahkan PAS," katanya lagi seperti dilaporkan akhbar sama.

AJK PAS Pusat akan bermesyuarat esok bagi menentukan pendirian mereka berhubung krisis politik di Selangor.

Selain ke mana Khalid, ke manahkah juga Abdul Hadi Awang

DASAR RASA                                                                                   

Abdul Hadi ke manakah selepas ini?
Selain seluruh mata pemerhati politik "menyelar" ke wajah Abdul Khalid Ibrahim, sosok dan wajah Abdul Hadi Awang juga turut dicerlung oleh pemerhati politik dan umum. Perihal Khalid seakan sudah mengendur kini apabila beliau mendakwa mendapat perkenan Sultan Selangor untuk meneruskan menjabat jawatan MB.

Mungkin ramai di kalangan kita dapat membaca sepanjang mana jangka hayat seorang MB yang tidak berparti dan hanya mendapat simpati daripada seorang sultan.



Khalid juga merasa lega apabila keempat-empat orang Exco Pas telah bersamanya dan berpimpinan tangan untuk terus mentadbir kerajaan Selangor. Khalid tidak peduli apakah kerajaannya diselar atau pun tidak diikhtiraf rakyat (Perlembagaan) yang penting dia masih berada di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz (SSAA) Shah Alam dan melepaskan rasa dendam dan marahnya kepada Anwar Ibrahim and the geng.

Khalid berasakan dia menang hari ini. Dengan perkenaan Sultan dan dokongi oleh Pas dia dapat membalas dendam atau pun membela dirinya daripada serangan bekas partinya yang mahu mengnyahkan beliau dari kerusi MB sekaligus daripada persada politik tanah air ini. Untuk pusingan ini Khalid menang secara KO dengan berpengadilkan Sultan Selangor.

Berbeza dengan apa yang sedang diperhatikan kepada presiden Pas Abdul Hadi kini. Sambil menanti 17 Ogos dimana Pas dijangka akan mengadakan mesyuarat eksekutifnya, berbagai-bagai ramalan dan telahan dilemparkan terhadap Abdul Hadi. Kelambatan beliau memanggil mesyuarat bagi menghilangkan teka teki berhubung kerjasama Pas dengan PKR dan DAP dilihat kelemahan semulajadi yang ada kepada presiden Pas itu.

Keadaan ini bukan sekali dua tetapi sudah berulang. Akibat kelewatan itu menyebabkan Pas ditimpa masalah dan ada kalanya Pas mengalami kerugian bergantang-gantang disebabkan sikap dan stail presiden itu. Sebagai contohnya ialah krisis dalaman di Kedah menyebabkan Pas Kedah kehilangan sebuah kerajaan di sana. Suka atau tidak suka beliau sebagai presiden harus dipertanggungjawabkan dengan kekalahan Pas di Kedah.

Begitu juga isu-isu lain yang menghunjamkan Pas tidak mudah dileraikan kerana sikap berlengah-lengah dan ketiadaan idea dan proaktif menyelesaikan masalah ini.

Satu lagi contoh ialah mengenai gagasan atau idea untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan (Unity Government ) dengan Umno yang dicetuskan oleh beliau kemudian dihentam lumat termasuk oleh Mursyidul Am Pas Nik Abdul Abdul Aziz sendiri. Walaupun isu itu sudah menelan masa lebih tujuh tahun tetapi UG masih disebut dan didengunkan sampai ke hari ini.

Kepanjangan isu ini menyerlahkan kelemahan Abdul Hadi yang tidak mempunyai air liur masin bagi mengatasinya. Kegagalan beliau mempertahankan UG agar dilaksanakan seharusnya dipikul dengan penuh bermaruah. Malangnya bekas timbalan presiden Pas yang menjadi mediator dan agen kepada projek itu terpaksa menanggung beban asmaranya.

Hari ini perkara paling pokok ditunggu bersabit dengan Abdul Hadi ialah apakah sikap dan pendiriannya dalam mesyuarat pada 17 Ogos nanti. Ini yang sedang ditunggu. Mesyuarat kali ini menjadi perhatian begitu sekali kerana sebelum ini beliau telah awal-awal menyatakan sikap sokongannya kepada Abdul Khalid Ibrahim supaya kekal menjadi MB.

Apakah beliau akan terus mempertahankan Khalid sedang senario atau kapasiti Khalid kini sudah berubah? Khalid kini bukan lagi menjadi ahli PKR sebaliknya dia adalah Adun Bebas yang sama taraf dengan orang di Pasir Mas tidak berapa lama dulu. Orang akan mempersoalkan mengenai integriti politik Abdul Hadi dalam soal ini.

Apabila Khalid sekarang bukan Khalid "dolu-dolu" lagi apakah Abdul Hadi terus menerima Khalid? Inilah masalah dan inilah dilema yang ada dikelilingi diri Abdul Hadi. Sekiranya diikutkan "law" Abdul Hadi perlu meralat pendiriannya daripada menyokong Khalid. Atas hubungan persepakatan dengan DAP dan PKR, beliau tidak boleh lagi memberi sokongan kepada Khalid sehingga mengarahkan empat orang Exco mempertahankan Khalid, walaupun atas apa alasan sekali pun.

Tindakan dilakukan oleh empat Exco Pas hari ini boleh disifatkan tidak menghayati semangat Pakatan Rakyat. Mereka juga boleh cap sebagai pengkhinat kepada rakan sendiri dan lebih mementingkan diri sendiri. Keempat Exco itu berdolak dalih kononnya mereka mengikut apa yang diarahkan oleh parti dan parti pula menggunakan alasan untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat. Mungkin sesetengah ahli Pas terutamanya "ulama juz amma" suka dengan pendirian itu tetapi bukan rakyat banyak.

Sepatutnya mereka membuat pendirian sendiri atas kepentingan Pas Selangor. Pas Selangor harus mengambil ketetapan dan keputusan yang profesional dan bukan mengikut apa yang dikehendaki oleh Presiden secara peribadi. Ironisnya kerajaan Pakatan Rakyat telah diistyharkan oleh Khalid sebagai sudah tidak wujud lagi. Hamlau...

Apakah pendirian empat Exco itu dibuat dalam mesyuarat Badan Perhubungan Pas Selangor dan mengambil kira pandangan semua Yang di-Pertua Kawasan serta kepimpinan lain?  Adalah naif Pas Selangor kalau mereka mengikut arahan seseorang berkepentingan dan sehinggakan meninggalkan semangat setiakawan. Apa yang dilakukan oleh empat Exco itu ia boleh menjadi punca akan berpecah Pakatan Rakyat di Selangor atau pun bakal meletakkan Pas di luar Pakatan Rakyat?

Tindakan empat Exco itu yang mengikut kata presiden ia juga akan dikaitkan dengan pendirian presiden sebelum ini yang tidak sehaluan ataupun menerima semangat mesyuawarah dalam Pas. Abdul Hadi awal-awal lagi telah mengumumkan sokongan kepada Khalid dengan menafikan mesyuarawat Majlis Presiden yang diwakilkan kepada Mohamad Sabu. Sehari selepas Majlis Presiden PR mengeluarkan konsesus berhubung menggugurkan Khalid, Abdul Hadi bangun dari pembaringan menyatakan sokongan kepada Khalid.

Tidak cukup dengan kenyataan bersifat veto itu, bersidang pula Majlis Syura Ulamak (MSU) di Kota Bharu Kelantan mengambil pendirian selari dan seirama dengan pendirian presiden. Lebih mencelarukan lagi dilaporkan Mursyidul Am juga bersetuju. Sehingga kini Musyidul Am membisu apabila dan tidak memberi apa-apa respons selepas Khalid sudah bukan warga Pakatan Rakyat lagi. Apakah beliau tidak dikhabarkan dan mengetahuhi perkembangan ini?

Telatah Abdul Hadi itu tidak lagi dicampur dengan tindakan secara senyap beliau berjumpa dengan Khalid memberi jaminan mengenai masa depan dan kedudukannya sebagai MB. Kalau dicampur itu semua, sikap dan sokongan Abdul Hadi seolah-olah beliau akan sehidup dan semati dengan Khalid Ibrahim.

Situasi inilah meletakkan Abdul Hadi dalam keadaan dilema sekarang ini. Mungkin penangguhan mesyuarat Jawatankuasa keraj Pas beberapa kali itu kerana ia bermasalah. Masalahnya tentulah Abdul Hadi "rohok" atau payah untuk mempertahankan pendiriannya terhadap Khalid di hadapan para eksekutif parti.

Mesyuarat Jawatankuasa kerja yang anggotanya terdiri daripada berbagai lapisan dan latar belakang pendidikan tidak mudah untuk akur begitu sahaja kepada pendirian peribadi presiden. Hal ini sudah tentu akan ada perdebatan hangat. Sekiranya Abdul Hadi tetap dengan pendiriannya, mempertahankan Khalid sudah tentu dia akan dikeronyok dan diminta alasan apakah munasabah dan logik dari segi Pas sebagai rakan dalam Pakatan Rakyat.

Terdengar juga khabar, kenapa mesyuarat itu ditangguh ialah kerana ia sudah dikesan mesyuarat itu akan mempertikaikan pendirian diambil oleh Abdul Hadi dan juga MSU yang bermesyuarat membuat ketetapan sebelum eksekutif parti melakukannya. Jadi untuk mengelak berlaku pertembungan inilah maka mesyuarat itu ditangguh sementara disamping menjadikan penangguhan itu sebagai perang saraf agar pendirian songsang presiden itu diterima dengan baik.

Persoalan kini setelah kedudukan Khalid sudah berubah menjadi ahli bebas dan Umno pula memberi sokongan tanpa syarat, apakah Abdul Hadi tetap dengan pendiriannya? Beliau akan berhadapan dengan persoalan besar dalam mesyuarat kali ini. Sekiranya beliau tetap dengan pendirian mahukan Khalid, beliau kena merempuh benteng yang kuat dalam mesyuarat. Kuasa veto seorang presiden yang selalu diberikan laluan sebelum ini mungkin tidak akan berulang lagi.

Khabarnya, apabila berdepan dengan masalah yang rumit dan terbeban ke atas pundaknya, Abdul Hadi akan mengambil jalan keluar untuk meletak jawatan. Sudah lebih dua kali katanya beliau cuba mengelak dan mengugut untuk melepas jawatan apabila timbul sesuatu masalah terdesak. Kali ini kalau beliau menawarkan untuk berbuat demikian (letak jawatan) elok jawatankuasa Pas menerimanya untuk membolehkan beliau berrihat sepenuhnya.

Kesimpulannya ada dua bakal terjawab. Sekiranya Abdul Hadi tetap dengan pendiriannya menyokong Khalid yang dianggap mengkhianati Pakatan Rakyat, ertinya dia mendedahkan dirinya untuk ditentang dalam muktamar akan datang. Sebaliknya kalau beliau meralat sokongannya, beliau akan dihormati sebagai seorang presiden kepada sebuah parti politik yang dalam perhitungan umum akan menjadi parti politik utama negara ini selepas Umno.

Implikasi lain sekiranya beliau bertegas dengan pendirian dan keputusannya itu ini bermakna beliau sengaja mahu membawa Pas ke jalan jauh yang penuh berduri, dan ia sangat dikesalkan.

Barang kali juga harapan Husam Musa untuk melihat Abdul Hadi menjadi PM walaupun sehari akan tercapai hanya akan terbungkus dalam mimpi tanpa malam. Senario dan perkembangan ini menjadikan orang berteka teki, selepas Khalid akan hayut ke mana selepas ini,  orang juga sedang memerhati ke manakah juga Abdul Hadi akan membawa diri. Ke gunung atau ke lembah. [wm.kl.11:26 am 14/08/14][MSO]

Selepas penggal pertama, Khalid urus Selangor seperti firma sendiri

Keadaan mulai sukar untuk bekerja dengan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas penggal kedua, kata bekas Exco semasa mendedahkan perkara yang menjadikan hubungan Khalid bersama rakan sekerja Pakatan Rakyat (PR) tawar.

Menurut mereka, Khalid sering tidak mengendahkan pandangan ahli Exco dan membuat keputusan satu pihak dalam isu penting seperti pembelian aset air dan projek lebuh raya, selain daripada menguruskan kerajaan negeri seperti syarikatnya sendiri.

Mereka berkata cara pengurusan ini jelas berbeza dengan penggal pertama Khalid pada 2008, di mana beliau sering mendengar pendapat rakan sekerjanya daripada PKR, DAP dan PAS sementara masih baru dalam politik.

"Dalam 5 tahun yang pertama, beliau masih mendengar dan menggalakkan kami, dan begitulah cara kami melaksanakan tugas," kata seorang bekas Exco yang bercakap dengan The Malaysian Insider tanpa mahu dinamakan.

Namun Exco itu juga berkata, hatta dalam penggal pertama mereka sudah tertekan bekerja dengannya kerana terpaksa sering "tawar-menawar" dengan beliau apabila mahu peruntukan bagi menjalankan program rakyat.

Para Exco terpaksa mendesak Khalid beberapa kali untuk melonggarkan pengeluaran wang simpanan negeri – yang semakin menimbun – untuk melaksanakan projek dan program di peringkat bawah untuk rakyat, kata bekas rakan sekerjanya itu.

Namun keadaan semakin teruk selepas pilihan raya umum tahun lepas, Khalid dilantik semula sebagai menteri besar Selangor, kata ahli politik tersebut.

Beliau membuat keputusan sendiri tanpa sebarang komunikasi yang sewajarnya dengan Exco dan ahli Dewan Undangan Negeri, ahli Parlimen Persekutuan dan Negeri juga susah bertemu dengannya untuk membincangkan hal negeri, dan beliau tidak mempunyai hubungan baik dengan partinya sendiri, PKR.

"Beliau hanya mendengar nasihat dan cadangan yang dibuat parti, tetapi ia tidak akan dilaksanakan," tambah ahli politik itu.

Sebagai contoh, bekas Exco tersebut berkata apabila Adun memberi cadangan untuk bajet negeri, Khalid mengetepikan pandangan mereka dan meneruskan dengan apa yang beliau fikirkan terbaik untuk Selangor.

Antara isu yang ditimbulkan adalah penstrukturan semula industri air negeri yang berkait dengan pembinaan loji rawatan air Langat 2 – sebuah projek yang ditentang menteri besar itu bertahun-tahun sebelum bersetuju dengannya beberapa bulan lalu.

Seorang lagi bekas Exco berkata, Khalid mempunyai sikap dia 'serba tahu' yang menjadikan mereka yang perlu bekerja dengannya tidak puas hati.

"Beliau percaya beliau paling tahu, dan akan bertindak dan membuat keputusan seorang diri. Beliau tidak punya rasa hormat untuk partinya dan rakan gabungannya dalam PR. Ia sukar untuk berunding dengannya," kata ahli politik kedua itu.

Bekas Exco itu juga berkata pengurusan Khalid atas Lebuhraya Kidex merupakan contoh terbaik bagaimana beliau sering tidak mengendahkan masalah rakyat, sambil menambah Adun Pelabuhan Klang itu tidak sensitif terhadap tekanan rakyat yang dihadapi ahli Dewan Negerinya.

Perbalahan tentang lebuh raya 14 kilometer yang menghubungkan Kinrara ke Damansara melalui Petaling Jaya lama, menimbulkan bantahan daripada penduduk bandar terbesar Selangor itu.

Projek tersebut dimiliki peguam Umno dan keluarga bekas ketua hakim negara, dan sudah pun menerima kelulusan bersyarat negeri, walaupun dengan bantahan daripada ahli Parlimen PR dan penduduk bandar tersebut.

Bekas Exco pertama yang bercakap kepada The Malaysian Insider juga berkata isu pinjaman RM66.67 juta Khalid dengan Bank Islam juga menjadi isu, tetapi menteri besar itu meyakinkan mereka ia merupakan hal peribadi yang akan 'diselesaikan', oleh itu Exco tidak mencampuri urusan tersebut.

Penyelesaian luar mahkamah Khalid dengan Bank Islam merupakan salah satu sebab yang disebut PKR untuk menggantikan menteri besar penggal kedua itu dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kerana parti tersebut mulai mempersoalkan integriti beliau.

Khalid kini terlibat dengan pergelutan kuasa yang pahit dengan PKR atas jawatan menteri besar Selangor, dan enggan tunduk meskipun dengan tekanan kuat terhadapnya.

Walaupun dipecat daripada parti kerana enggan akur dengan keputusan parti untuk digantikan dengan Dr Wan Azizah, menteri besar penggal kedua itu berkeras kepala dan mendapatkan perkenan Sultan Selangor untuk kekal menduduki jawatan beliau.

Khalid memecat 5 Exco DAP dan PKR di Selangor dengan satu Exco PKR yang meletakkan jawatan, meninggalkan beliau dengan sokongan 4 ahli Exco dari PAS dalam kerajaan negeri.

Pada Khamis, Dr Wan Azizah menunjukkan bukti beliau mendapat sokongan sekurang-kurangnya 30 Adun daripada 56 kerusi untuk menjadi menteri besar, dan mendesak agar Khalid meletakkan jawatan, namun menteri besar tersebut mengatakan akan kekal di tempatnya sehinggalah diundi keluar oleh Dewan Negeri. – 16 Ogos, 2014.

Utusan kata Pembangkang di Kedah setuju cadangan Mukhriz untuk bina lapangan terbang di Kulim

Hasrat bina lapangan terbang di Kulim disokong

JITRA 15 Ogos- Hasrat Kedah untuk memiliki sebuah lapangan terbang antarabangsa di Kulim dilihat mendapat sokongan hampir semua pihak termasuk wakil rakyat pakatan pembangkang di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, kesepakatan itu amat penting bagi meyakinkan Kerajaan Pusat untuk membantu memastikan hasrat rakyat Kedah berhubung perkara berkenaan menjadi kenyataan.

"Saya berterima kasih kepada semua termasuk pembangkang. Apa yang diungkapkan (semasa persidangan Dewan Undangan Negeri) sebenarnya menyokong hasrat kerajaan negeri untuk membina lapangan terbang antarabangsa ini.

"Kalaupun ada pandangan (daripada pembangkang) ialah untuk memastikan ia tidak menjadi projek 'gajah putih' seperti yang berlaku di negeri lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Fiesta Usahawan Jerlun dan Jamuan Hari Raya di Sekolah Kebangsaan Putat dekat sini hari ini.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah baru-baru ini menyaksikan Ketua Pembangkang Datuk Ir Amiruddin Hamzah menyokong pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Kulim sekali gus menunjukkan cadangan kerajaan itu mendapat perhatian mereka meskipun berbeza fahaman politik.

Mukhriz berkata, pandangan serta pesanan pembangkang amat dihargai dan kerajaan negeri akan memastikan projek yang mampu mempertingkat ekonomi Kedah itu tidak akan gagal.

"Saya rasa dengan sokongan semua pihak, temasuk pembangkang, Kedah bersatu dalam hal ini, tidak ada yang membangkang atau membantah. Ini merupakan satu prasyarat kalau nak yakinkan Kerajaan Pusat, biarlah kita ada kesepakatan 100 peratus dalam kalangan rakyat yang diwakili ADUN masing-masing," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya difahamkan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara sudah memohon sedikit bajet daripada Unit Perancang Ekonomi bagi menjalankan kajian kebolehlaksanaan terhadap projek berkenaan.

"Saya kira dalam masa terdekat (permohonan bajet) dapat diluluskan dan Kementerian Pengangkutan juga berminat untuk menjalankan kajian kemungkinan mereka sendiri, dan ini membuktikan sudah ada minat dalam kalangan bukan hanya agensi bertanggungjawab di zon utara, tapi di pihak kerajaan pusat sendiri untuk melihat dengan lebih mendalam lagi projek ini.

"Sekarang, faktor ditekankan dari segi kebolehlaksanaan ialah kewangan kerana kita tahu ini bukan masa untuk berbelanja lebih daripada kemampuan. Mungkin banyak kaedah boleh kita terokai, termasuk penglibatan pihak swasta dalam projek ini, sama ada dalam bentuk perkongsian antara kerajaan dengan swasta ataupun sepenuhnya pembiayaan swasta," katanya. - BERNAMA





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...