TERKINI :

Saturday, August 9, 2014

Khalid Ibrahim di Pecat ahli PKR

Jam 6.00pm tadi PKR mengumumkan bahawa Tan Sri Khalid Ibrahim di pecat sebagai ahli PKR berkuat kuasa serta merta.

Menjawab Hujah Tantawi berkenaan Projek Terowong P.Pinang

"Kalau projek Terowong P.Pinang tender tutup, patut kos 'direct nego' sudah ditetapkan 28 April 2011 lagi lah, Tantawi!"

Gambar Hiasan: GENG BAS SEKOLAH
"Malah isu yang lebih besar ialah timbul persoalan bagaimana Kerajaan Pulau Pinang boleh menandatangani MoU (disaksikan YAB PM Najib) dengan Beijing Urban Construction Group Co. Ltd (BUCG), salah satu rakan utama konsortium yang memenangi projek Penang Tunnel ini pada 28 April 2011 sedangkan proses pre-qualification tender kerajaan negeri hanya bermula lebih 6 bulan selepas MoU iaitu pada 14 November 2011?
"Apakah kerajaan Pulau Pinang sebenarnya telah pun memilih pemenang kontrak mega ini sebelum proses tender bermula ? 
"Saya kira sesiapa sahaja yang biasa dengan resam perlaksanaan kontrak dan projek boleh merumuskan bahawa ini bukanlah satu proses tender terbuka. ( Seolah - olah BUCG telah mendapat keistimewaan lebih awal sebelum proses tender dilakukan apabila telah wujud MoU pada April 2011.)" - respons Nasruddin Hasan At-Tantawi.

ULASAN FAQAR
ISU POKOK mengapa Tantawi menyokong pendirian Khalid dalam isu KIDEX yang jelas dirunding secara tenter tertutup atau direct nego masih tidak dijawab lagi. 

Jadi, saya tanya sekali lagi kepada bakal timbalan presiden Geng Bas Sekolah tersebut di sini:
"Oleh kerana Kerajaan Pusat tidak pernah mengamalkan tender terbuka, ertinya projek Lebuh raya Bertingkat Kinrara-Damansara (Kidex) bernilai RM2.2 bilion jelas dianugerahkan kepada syarikat tertentu tanpa melalui tender terbuka...kenapa fitnah pentadbiran Guan Eng?"
MASALAH paling besar Tantawi adalah datanya hanya bergantung pada capaian di media internet (itupun calon Timbalan Geng Bas Sekolah ini tak sebut sumber mana dia ambil).

Umum mengetahui BUCG dan CRCC adalah dua syarikat gergasi asing dari China yang bergabung di bawah Consortium Zenith BUCG Sdn. Bhd. yang dipengerusikan oleh Datuk Ahmad Zarul Zulkifly.

Manakala, dua lagi syarikat kontraktor Bumiputera Melayu tempatan yang bergabung di bawah konsortium itu adalah Sri Tinggi Sdn. Bhd. dan Juteras Sdn. Bhd..

Mungkin Tantawi tak baca habis kenyataan Lim Hock Seng, sebab itu dia tak tahu mengapa yang Consortium Zenith BUCG Sdn. Bhd. itu diketuai oleh Ahmad Zarul.

Jadi, elok saya kepilkan penjelasan rasmi Exco Kerja Raya, Pengangkutan & Utiliti berkenaan di sini supaya Tantawi boleh baca dan faham:

Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd adalah sebuah special purpose vehicle(SPV) yang mengandungi syarikat berikut:-

Zenith Construction Sdn Bhd bersama China Railway Construction Corporation Ltd sebanyak 70% ekuiti dengan modal berbayar sebanyak RM 3.5 juta dan RM 4 bilion masing-masing;

* Beijing Urban Construction Group 10% ekuiti dengan modal berbayar sebanyak RM 541 juta;

* Sri Tinggi Sdn Bhd 10% ekuiti dengan modal berbayar sebanyak RM 3.7 juta; dan

* Juteras Sdn Bhd 10% ekuiti dengan modal berbayar sebanyak RM 1 juta.

Keseluruhan modal berbayar keempat-empat syarikat adalah RM 4,549.2 juta yang memenuhi kriteria Kerajaan Negeri yang meletakkan modal berbayar minima RM 381 juta.

Dengan kata lain bukan hanya sepucuk surat penerimaan tetapi terdapat lagi 4 (5 kesemuanya) surat penerimaan untuk memastikan ia dijalankan oleh syarikat induk masing-masing dan bukannya hanya dengan Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd.

Apabila kontrak formal dimuktamadkan selepas perbincangan butiran lanjut pada beberapa bulan lagi, semua 5 buah syarikat rakan kongsi diperlukan untuk menandatangani surat perjanjian untuk memastikan projek ini dijalankan oleh syarikat induk yang berprestij.

Seperkara lagi yang Tantawi perlu tahu bahawa, Putrajaya mengarahkan semua projek pemajuan di negara ini yang membabitkan syarikat gergasing asing mesti melibatkan syarikat kontraktor tempatan, demi mencegah liberalisasi pemajuan domestik.

Ini, turut diperjelas oleh Menteri Kerja Raya Senator Datuk Shaziman Abu Mansor dalam Industry Forum: Consultation On Liberalisation In Construction Sectorpada 23 Mac 2010.

22. "Kerajaan tidak membuka ruang kepada pemain industri asing secara sewenang-wenangnya.
"Liberalisasi bukan bermakna deregulasi secara total ke atas undang-undang dan peraturan semasa, tetapi sebaliknya liberalisasi membenarkan 'domestic regulations' yang tidak bersifat diskriminasi, di antara pemain tempatan dan asing, diperkenalkan sebagai alat kawalan bagi menjaga kepentingan pemain-pemain industri tempatan termasuk kontraktor-kontraktor kecil dan sederhana seperti tuan-tuan sekelian.
28. "Oleh itu, saya berharap agar tuan-tuan mengambil inisiatif untuk melibatkan diri di dalam merebut peluang-peluang yang disediakan oleh negara luar sebagai batu loncatan ke arah penerokaan global yang lebih jauh lagi.
Suka saya mencadangkan supaya tuan-tuan bergabung di bawah syarikat yang bersifat multi-disciplinary dan mengujudkan konsortium yang berwibawa agar tuan-tuan dilihat lebih berkeupayaan dan gah untuk bersaing dengan syarikat-syarikat luar," kata Shaziman dipetik dari portal rasmi Kementerian Kerja Raya.

Baca bagi habis Tantawi supaya lebih faham bahawa penubuhan konsortium ini dilakukan apabila satu-satu projek pemajuan itu membabitkan syarikat kontraktor asing.

Kalau Tantawi faham amalan Putrajaya ini, in sha Allah bakal timbalan Geng Bas Sekolah berkenaan  akan faham kedududkan Zenith dan BUCG dalam Consortium Zenith BUCG Sdn. Bhd. dalam projek Torowong Bawah Dasar Laut RM6.3 bilion, serta posisi Ahmad Zarul mengetuai konsortium tersebut.

Kalau Tantawi mampu memahami kedudukan sebenar Ahmad Zarul mengetui konsortium Consortium Zenith BUCG Sdn. Bhd., in sha Allah bakal timbalan Geng Bas Sekolah berkenaan mampu faham berhubung amalan tender terbuka Kerajaan Pulau Pinang dengan Consortium Zenith BUCG Sdn. Bhd. tersebut. 

Kementerian Kewangan melalui Jabatan Kewangan Negeri sendiri yang membuat anggaran kos pembinaan projek Terowong Bawah Dasar Laut bernilai RM8 bilion.

Consortium Zenith BUCG Sdn. Bhd. dipilih sebab tender terbuka diamalankan oleh Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Ketua Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng.

Baca ulasan Lim Hock Seng seperti di bawah:

Kos projek ini pada awalnya dianggarkan oleh kerajaan sebanyak RM 8 bilion telahpun dapat dikurangkan kepada RM 6.3 bilion menerusi proses tender terbuka, yang terendah di antara semua pembida yang diterima," jelas Hock Seng dalam kenyataan rasminya.

Tantawi perlu juga baca balik Perlembagaan, baru berjumpa bahawa Hal-Hal Luar Negeri di bawah Senarai Persekutuan.

Sebab itu, MOU Malaysia-China tidak dapat tidak mesti dimeterai juga kerana hubungan Negara dengan Negara (G to G), sungguhpun proses tender terbuka telahpun dilakukan antara Kerajaan Pulau Pinang dan Consortium Zenith BUCG Sdn. Bhd..

MOU Malaysia dengan China memanglah perlu dilakukan sebelum proses tender terbuka selesai dilakukan di Pulau Pinang sebab Kerajaan Negeri di bawah Kerajaan Pusat, proses pentadbiran memang mesti sebegitu di mana-mana negeri pun. 

KERAJAAN Pusat tidak pernah langsung mengumumkan tender terbuka dalam semua projek mega pusat, termasuk pemajuan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah. Namun, Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin tiba-tiba dilaporkan menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kontrak (MOA) antara Pengarah Urusan JKSB Datuk Ir. Ismail Mohamed Taib (kiri), Sun Liang (Pengarah Urusan Chec) (kanan), serta Pengarah Urusan UEM Builders, Datuk Ridza Abdoh Salleh di Kuala Lumpur pada 26 April 2010. | Foto: Utusan Malaysia

Dalam projek Jambatan Kedua Pulau Pinang umpamanya, Kerajaan Pusat pun memeterai perjanjian dengan Negara China sungguhpun projek mega persekutuan RM4.5 bilion itu dianugerah secara tender tertutup kepada UEM Builders Bhd., Chec Consortium (M) Sdn. Bhd. serta 'syarikat khas' Jabatan Kedua Sdn. Bhd. JKSB), pada  26 April 2010 lepas.   

Ini kerana, projek mega persekutuan tersebut turut dibiayai oleh Export-Import Bank of China dari negara China, selain, Kumpulan Wang Amanah Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan Bank Pembangunan Malaysia Bhd. (BPMB).

Dalam artikel lepas lagi, ingat saudara faham apa yang saya cuba sampaikan seperti di bawah:

"Oleh kerana Kerajaan Pusat tidak pernah mengamalkan tender terbuka, ertinya projek Lebuh raya Bertingkat Kinrara-Damansara (Kidex) bernilai RM2.2 bilion jelas dianugerahkan kepada syarikat tertentu tanpa melalui tender terbuka..." - respons BJ FAQAR

Tentulah MOU Malaysia-China dibuat terlebih dahulu sebelum BUCG dibenarkan menyertai Concortium Zenith BUCG Sdn. Bhd. yang diketuai Ahmad Zarul. Ini amalan Kerajaan dengan Kerajaan, dan Negara dengan Negara.

Faham sekali lagi betul-betul mengapa tender terbuka diberikan kepada Consortium Zenith BUCG Sdn. Bhd., sebagaiaman dalam penjeasan Hock Seng:

"Kos projek ini pada awalnya dianggarkan oleh kerajaan sebanyak RM 8 bilion telahpun dapat dikurangkan kepada RM 6.3 bilion menerusi proses tender terbuka, yang terendah di antara semua pembida yang diterima," kata Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti Pulau Pinang dalam kenyataan rasminya.

Tantawi keliru amalan tender terbuka Kerajaan Negeri sebenarnya dengan Consortium Zenith BUCG Sdn. Berhad, atau dengan Beijing Urban Construction Group Co Ltd (BUCG) ?

Kalau ya pun nak fitnah MOU Pulau Pinang-BUCG pada 28 April 2011 yang disaksikan oleh Perdana Menteri itu sebagai bukti Kerajaan Negeri mengamalkan tender tertutup (direct nego) untuk menyokong KIDEX Khalid, Tantowi sendri secara tak langsung telahpun mengaku bahawa Kerajaan Negeri mengamalkan tender terbuka semasa MOU dengan Consortium Zenith BUCG Sdn. Bhd. yang dimeterai pada 14 November 2011.

Ini kerana, amalan tender terbuka pada majlis MOU 14 November 2011 sahaja menyebut konsortium itu dipilih secara tender terbuka kerana menawarkan harga RM6.3 bilion, iaitu sebut harga yang jauh lebih rendah berbanding RM8 bilion yang dianggarkan oleh Kerajaan sendiri.

MOU pada 28 April 2011 ada sebut kos direct nego kalau ya nak fitnah Kerajaan Negeri pun melaksanakan tender tertutup macam Pusat?

Hock Seng dalam kenyataannya telahpun menjelaskan hal ini, tetapi Tantawi mungkin malas membaca atau malas memikir:

"Kos projek ini pada awalnya dianggarkan oleh kerajaan sebanyak RM 8 bilion telahpun dapat dikurangkan kepada RM 6.3 bilion menerusi proses tender terbuka, yang terendah di antara semua pembida yang diterima," kata Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti Pulau Pinang dalam kenyataan rasminya.

Sebab itu BJ Faqar nak jawab sebegini sahaja:

"Kalau projek Terowong P.Pinang ditender secara tertutup, patut kos 'direct nego' sudah diumum 28 April 2011 lagi lah, wahai Tantawi calon timbalan presiden Geng Bas Sekolah!"

Wala' lah wahai ahli PAS kepada keputusan Majlis Syura Ulamak...!!!

Jawatankuasa kerja Pas tidak perlu mesyuarat lagi 10 Ogos ini
PANDANG ULAS                                                                             

Berita dari Kota Bharu mengenai keputusan mesyuarat Majlis Syura Ulamak (MSU) Pas sedikit tidak menyenangkan apabila majlis itu membuat keputusan menyokong Abdul Khalid Ibrahim agar terus menjadi MB Selangor. Ketetapan itu mengecewakan PKR dan DAP sudah diduga awal-awal apabila kurang 24 jam sebelum majlis itu bermesyuarat di Putik Kota Bharu, Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi pediriannya menyokong pandangan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang mempertahankan Khalid dikekalkan sebagai MB.

Suara Nik Aziz dilihat sebagai suara keramat dalam Pas satu penerimaan yang tidak berpelembagaan. Walaupun tidak semua pandangan dan pendirian Nik Aziz betul dan tepat baik dari segi agama dan politik, tetapi ahli Pas yang taksub menganggap kata-kata Nik Aziz sebagai benar.

Keputusan mesyuarat MSU seperti mana dilaporkan, Khalid adalah MB Selangor dan tindakan terhadapnya tidak boleh diambil selagi dia tidak disahkan menyalahi syariat oleh undang-undang seperti SPRM dan mahkamah atau didapati bersalah melakukan rasuah.  Pas bertegas dalam soal ini dan utuh menunjukkan parti itu paling Islamik.

Laporan setebat 24 muka surat berhubung integriti Khalid (keraguan menyelesaikan hutang bank RM70 juta) yang disediakan PKR dan telah dikirimkan kepada Nik Aziz, Abdul Hadi Awang dan Mustapa Ali tidak memberi apa-apa kesan dan menjadi petunjuk kepada MSU bagi menyuluh keperibadian Khalid. Kunjungan Khalid kepada Nik Aziz dan kunjungan Abdul Hadi dan Mustapa Ali kepada Khalid telah memuktamadkan segala cerita. Ramai yang tidak tahu hakikat ini.

Jadi kerja PKR adalah sia-sia sahaja dan langsung tidak dipandang oleh MSU Pas itu dan elok laporan itu dibangkul sampahkan.

MSU mengambil pendirian Khalid tidak bersalah selagi ianya tidak dibuktikan secara perundangan. Begitulah idealisnya MSU dalam membuat penilaian terhadap Khalid atau kasus kali ini tanpa langsung mengambil pendekatan siasah dan dilihat dari sudut implikasi politiknya. Ketelusan MSU Pas itu mungkin boleh dipuji tetapi, kebijaksanaanya boleh dipersoal dan dipertikaikan.

Apa yang diputuskan oleh MSU itu sudah tentu ia juga akan menjadi keputusan atau dibincang (diterima) dalam mesyuarat jawatankuasa kerja Pas pada 10 Ogos ini. Keputusan MSU itu seakan ianya perlu diguna pakai oleh jawatankuasa kerja. Itulah taktik disebalik kenapa MSU bersidang lebih awal dan pelik daripada biasa, mengadakan mesyuarat sebelum jawatankuasa kerja bermesyuarat membincangkan soal MB Selangor dan implikasi politik terhadap Pakatan Rakyat itu.

Tindakan songsang ini sekali lagi dilihat ianya mentauladani apa yang dilakukan oleh presiden parti yang membuat pendirian bertentangan dengan keputusan parti dan membingungkan pemerhati parti. Selalunya MSU menjadi pemantau atau penyemak kepada keputusan dibuat jawatankuasa kerja Pas terutama dalam soal-soal berhubung dengan syariat seperti mana disebut dalam Fasal 8 (1) (a), (b) dan (c) mengenai tanggungjawab dan fungsinya.

Apabila MSU bermesyuarat lebih awal seolah-olah badan ini cuba mengawal dan mempengaruhi apa-apa keputusan yang bertentangan dengan kehendaknya. Anih juga macam mana badan ini sudah mengetahui salah atau tidak, (Khalid) sedangkan ia tidak dibincang diperingkat Jawatankuasa kerja parti. Tindakan badan ini menanti kesahihan kesalahan Khalid tanpa melihat kepada senarionya menampakkan akan kecetekan taktikal politik MSU.

Pelik juga jawatankuasa kerja belum pun memberi input tetapi keputusan sudah dibuat. Ibarat biacara belum lagi bermula tetapi hukuman telah dijatuhi. Inilah yang dikatakan pelik. Dan apakah tindakan ini adil dan Islamik?

Apakah mereka yang menganggotai MSU terdiri daripada ahli kasyafah dan makrifat? Atau pun mereka juga dibatasi oleh kehendak-kehendak politik lain yang berada di dalam jubah dan belitan serban mereka?

Cara dan tindakan badan ini juga, meletakkan darjatnya lebih rendah daripada jawatankuasa kerja Pas? Tindakan MSU itu juga menyerlahkan ada elemeh politik dalam badan berkenaan. Ini sudah mencemari kesucian dan keputihan badan berkenaan seperti mana disebut dalam tugas dan tanggungjawab dalam perlembagaan iaitu menjadi pemantau dan penyemak berhubung soal membabitkan hukum hakam.

Apabila disebut pemantau badan itu harus berada di atas, di bawah atau dibelakang dan depan agar kesilapan sebenar dilihat. Hal-hal yang menjadi tanggungjawab utamanya ialah memastikan perjalanan Pas senantiasa mematuhi kehendak Quran. Terlibat dalam keputusan berbau politik tidak dibenarkan sama sekali dan bertentangan dengan pendirian dan maruah badan berkenaan.

Cara MSU itu seolah menyakini mereka benar seratus peratus berdasarkan maklumat yang diterima. Sejauh manakah akuratnya sumber maklumat diterima sebelum membuat ketetapan itu. Apakah DNA maklumat diguna pakai itu tidak terusik dan bercampur dengan elemen lain? Misalnya tahi ayam?

Apabila MSU mempedulikan isu ini dan mempertahankan Khalid kerana tidak bersalah, jelas MSU sudah mencampuri urusan politik. Lagipun hal Khalid ini bukan hak Pas seratus peratus, tetapi ia juga hak PKR dan juga DAP. Sewajarnya MSU kena mengambil kira pandangan daripada PKR dan juga DAP kerana ia adalah isu dan subjek bersama? Kalau MSU hendak memberi taufik dan hidayah kepada jawatankuasa kerja, tetapi mereka juga perlu membaca natijah politik sebab parti itu parti politik bukan sebuah gerakan Islam haraki seratus peratus.

Logiknya apabila MSU membuat keputusan tidak ada siapa akan membantah keputusan itu. Keputusan MSU adalah tetap dan sesuatu yang mutlak dan haram dibantah. Sesiapa menentangnya akan dianggap sebagai tidak mematuhi parti dan wala' kepada pimpinan dan mereka akan direjam secukupnya. Media baru khasnya whatsApp akan merejamnya.

Jadi apabila MSU bersidang awal dan membuat ketetapan yang dikira mempengaruhi atau memberi taufik dan hidayat kepada jawatankuasa kerja Pas ia menjadi songsang kalak. Kesongsongan ini pula pasti akan ditafsirkan bahawa MSU ada bermain politik yang tersirat tetapi sudah dapat dibaca sejak kelmarin dahulu lagi.

Dengan perkembangan ini jawatankuasa kerja Pas tidak perlu lagi bersidang pasa 10 Ogos ini. Kerana kalau pun bersidang dan keputusannya berbeza dengan MSU ia akan dianggap sebagai menderhaka dan tidak wala' kepada pemimpin. Kalau pun bersidang hanya untuk endorse ketetapan yang sudah dibuat oleh para mualim Pas dalam majlis berkenaan. Persidangan hanya membuang masa.

Persoalan timbul dimanakah pula kuasa eksekutif parti dalam soal ini yang ada kepada jawatankuasa kerja Pas? Jawatankuasa kerja Pas adalah dilantik dalam muktamar Pas dimana ia mewakili suara ahli Pas dari akar umbi di seluruh negara. Berbeza dengan MSU yang dilantik atas kehendak Perlembagaan tanpa pilihan ahli dalam muktamar. MSU hanya diberi mandat khas dalam aspek agama, (hukum hakam) ia bertindak sebagai badan rujukan sahaja dan membuat keputusan dalam hal-hal meragukan.

Songsong dikatakan kerana badan yang dilantik menjadi kuasa pemutus, tetapi badan yang dipilih ahli pula kena akur kepada badan yang dilantik. Kalau inilah keadaan maka Pas tidak memerlu kepada Jawatankuasa kerja dan ia hanya memerlukan MSU sahaja. Tidak perlu ada agenda pemilihan pemimpin dalam Pas sebab ia tidak diguna dan dihormati.

Mungkin ada kebenaran atas ketetapan dibuat MSU itu berdasarkan syariat berhubung Khalid itu. Tetapi dalam isu Khalid itu ia bukan spesifik isu agama, tetapi lebih kepada politik. (Mungkin ada yang pertahankan bahawa agama mencakupi semua sekali). Khalid hendak digugurkan atas maslahat politik bukan soal dia menyalahi hukum agama atau tidak. Atau pun tindakan perlu dan boleh diambil setelah disahkan menyalahi hukum agama.

Perlu difahami tidak semua keputusan dalam politik demokrasi yang diamalkan hari ini memerlukan kepada keputusan dari konteks agama. Dalam Pas sendiri ada kesalahan yang tidak sahkan oleh pendekatan agama diambil tindakan. Orang yang tidak disahkan oleh hukum agama dikecam habis-habisan dan dihina begitu rupa. Apakah MSU mempedulikan hal ini?

Mengenai isu Khalid Ibrahim itu, dalam pemerhatian PKR, pihaknya tidak untung kalau memeprtahankan Khalid kerana aksi dan ulah MB itu merugikan Pakatan Rakyat.

Selain itu MSU juga dalam mempertahankan Khalid meganggap ianya sebagai hak bersama. Peranan diambil kerana isu Khalid adalah juga tanggungjawab Pas. Persoalannya sejauh manakah hak bersama itu ditanggung dan dihormati oleh MSU berhubung perkembangan politik dalam Pakatan Rakyat. Macam mana pula dengan hak bersama di Pulau Pinang atau di Kedah yang dimiliki atau diberikan kepada PKR dan DAP?

Kalau betul atas hak bersama yang adil, seharusnya MSU juga turut sama memantau perkembangan politik di Pulau Pinang atas kedudukan DAP sebagai rakan Pakyat Rakyat dimana Pas ada hak bersama di itu. Dan orang juga akan boleh mempersoalkan dimanakah hak bersama yang ada kepada PKR dan DAP untuk menegur Pas baik di Kedah dan Kelantan. MSU perlu cerah mata dan mempunyai "mata lalat" dalam hal ini dan bukannya "mata lembu" semata-mata.

Berbalik kepada mesyuarat jawatankuasa Pas 10 Ogos nanti kalau ia diadakan juga, ia akan menjadi medan perdebatan antara ahli jawatankuasa Pas. Sudah tentu akan ada pihak yang menolak pendirian MSU itu dan ada yang sanggup dikecam hatta dikenakan tindakan disiplin gara-gara mengambil pendirian berbeza.

Mesyuarat itu nanti sungguh mencemaskan dan bakal memberi petanda baru kepada Pas. Landskap politik Pas akan berubah. Apakah petanda itu, setiap daripada kita sudah dapat meramalkannya? Saya tidak mahu huraikan di sini untuk waktu ini. [wm.kl.2:35 pm 07/08/14] / MSO

Apa sudah jadi dengan PKR & Pas?

Shahbudin Husin

KEMELUT politik di Selangor sekarang pada asasnya berpunca daripada dua sebab iaitu pertama, kedegilan Khalid Ibrahim tidak mahu berundur apabila diarahkan oleh parti dan kedua, disebabkan sokongan terbuka Pas yang mahu beliau terus dikekalkan.

Jika hanya Khalid yang berdegil tetapi tidak mendapat sokongan Pas, sudah lama ianya selesai. Begitu juga jika sekadar Pas yang menyokong tetapi Khalid akur dengan kehendak partinya, ia tidak akan menjadi kalut sehingga sekarang ini.

Disebabkan adanya kedua-dua sebab itulah dan ianya pula seolah-olah saling bahu-membahu serta senada dan seirama, walaupun berlainan parti, kekalutan ini terus berlarutan.

Ketika Presiden Pas, Hadi Awang membuat kenyataan memberi sokongan kepada Khalid, parti itu sebenarnya sudah menetapkan tarikh mesyuaratnya pada 10 Ogos untuk membuat pendirian rasmi mengenainya. Sebab itu, kenyataan Hadi yang mendahului mesyuarat dan bersifat peribadi itu adalah punca segala-galanya.

Kiranya Hadi lebih berhemah dan tidak mengeluarkan kenyataan tanpa bermesyuarat atau sanggup bersabar sehingga 10 Ogos dengan menghormati konsep bermuafakat dalam membuat keputusan, kemelutnya tidaklah berlarutan seperti ini.

Lantaran itu, dalam usaha membendung ianya daripada terus menjadi polemik, dua pemimpin Pas iaitu Ketua Pemudanya, Suhaizan Kayat dan AJK Pas, Dr Dzulkefly Ahmad telah menyarankan agar Pas mempercepatkah tarikh mesyuarat daripada 10 Ogos yang telah diputuskan sebelum itu.

Hasrat mereka ialah agar segala kurap, kudis dan nanah dapat dibendung lebih awal lagi. Niat kedua pemimpin Pas yang tidak berserban ini adalah baik dan suci.

Namun demikian, Setiausaha Agung Pas, Mustafa Ali tegas menolak saranan yang baik itu dengan alasan jika diubah ia akan mengganggu jadual lain yang telah ditetapkan.

Akhirnya semua orang menunggu-nunggu tarikh 10 Ogos itu, walaupun hari demi hari makin banyak kekalutan dan kekeliruan yang terus berlaku.

Bermula dengan sokongan Tuan Guru Nik Aziz terhadap pendirian Hadi, tersebarnya tulisan di WhatsApp oleh seorang AJK Pas Pusat, Dr Zuhdi Marzuki yang bersifat rasis dan mahu bekerjasama dengan Umno, keputusan Majlis Syura yang juga menyokong pengekalan Khalid, tindakan Pas Selangor dan Dewan Pemuda mengadakan majlis sembahyang hajat di kediaman Menteri Besar dan bermacam-macam rentetan lagi, semuanya menjurus kepada keadaan yang lebih huru-hara.

Pas jadi berpecah, PKR juga retak dan PR yang diharapkan mampu memberi cabaran kepada BN turut sudah hilang rentaknya di mata umum. Umno dan BN hanya senyum memerhati wayang percuma ini.

Walaupun Khalid turut dipersalahkan dalam kemelut ini sehingga ramai tidak faham kenapa beliau bersungguh-sungguh mahu bertahan, tetapi nyata sekali Pas paling banyak dipersalahkan kerana dilihat tidak lagi menghormati persetujuan yang memberi hak kerusi Menteri Besar Selangor kepada PKR.

Lebih menghairankan apabila Majlis Syura membuat keputusan mempertahankan Khalid, ada yang bertanya sejak bila majlis itu mempunyai hak membuat keputusan yang melibatkan parti lain selain Pas.

Majlis itu juga diingatkan bahawa penukaran pemimpin tidak memerlukan hukuman bersalah oleh SPRM atau mahkamah semata-mata kerana sejarah Islam sendiri memperlihatkan bahawa Khalid Al Walid juga pernah ditukar tanpa ada kesalahan apa-apa yang telah dibuktikan.

Ada juga bermulut jahat mengingatkan Pas bahawa parti itu juga pernah memecat Dr Hassan Ali, Pesuruhjaya Pas Selangor dan Exco Agama, juga berdasarkan pertimbangan politik walaupun tidak pernah dikaitkan dengan mana-mana pengkhianatan kepada amanah rakyat atau didapati bersalah di mahkamah serta SPRM.

Ramai akhirnya yang mengharapkan tarikh 10 Ogos ini adalah penentu segala-galanya. Apabila Pas bermesyuarat dan diikuti dengan mesyuarat Majlis Pimpinan PR pada sebelah malamnya, diharapkan isu ini tidak berlarutan lagi. Ia mungkin diakhiri dengan pemecatan Khalid, pendirian rasmi Pas dan PR mengenainya atau suatu pilihan raya negeri bakal diadakan.

Apa saja kemungkinan, semua pihak sudah sedia menghadapinya.

Malangnya, dalam situasi yang semakin kalut ini, Pas melalui Mustafa Ali yang sebelum ini menolak untuk mengubah tarikh mesyuarat, tiba-tiba mengeluarkan kenyataan tarikh baru mesyuarat ditunda daripada 10 Ogos kepada 13 Ogos.

Kemudian, belum pun sehari tarikh itu disebarluaskan, hari ini beliau menangguh lagi kepada 17 Ogos pula.

Apa sudah jadi dengan Pas ini? Kenapa asyik tangguh-tangguh dan tidak berani membuat keputusan segera?

Jika sudah berani membuat kenyataan terbuka, menulis di WhatsApp serta mengadu kepada Tuhan melalui sembahyang hajat, kenapa pula takut untuk membuat keputusan rasmi?

Tindakan Pas melewatkan tarikh mesyuarat, tidak lain akan menjadikan isu ini makin kalut dan caca-marba. Makin banyak mulut yang bersuara, makin banyak jari yang gatal menulis di whatsapp atau apa saja medium serta mungkin makin banyak majlis sembahyang hajat lagi selepas ini.

Tidak diketahui apa pendirian Pas, apakah penangguhan ini untuk memberi ruang mereka berfikir dan mengkaji semula sokongan kepada Khalid dan akur dengan muafakat bersama dalam PR atau untuk menambah lagi tekanan kepada PKR dan Anwar?

Banyak kekalutan dapat diselesaikan jika tarikh mesyuarat Pas diawalkan atau setidak-tidaknya dikekalkan pada 10 Ogos. Menangguhkan lagi hanya memberi ruang kekalutan makin berpanjangan.

Setelah Pas mensabotaj Anwar dengan menolaknya sebagai calon Perdana Menteri menjelang detik-detik akhir PRU 13 lalu, mungkinkah penangguhan ini suatu lagi sabotaj Pas terhadap PKR dan Anwar?

Tiada permohonan maaf, Guan Eng saman Nasruddin

OLEH LOOI SUE-CHERN
Published: 9 August 2014

Selepas tiada kata maaf diterima, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Temerloh Nasruddin Hassan kerana mengeluarkan kenyataan tidak berasas berkenaan terowong bawah laut Pulau Pinang.

Lim mengeluarkan surat tuntutan kepada Nasruddin selepas pada Khamis memberinya 24 jam untuk menarik balik "penipuan" yang dibuatnya dan membuat permohonan maaf kepadanya.

Notis tuntutan saman itu dikeluarkan oleh peguam Lim di Mureli Navaratnam Advocates and Solicitors berhubung posting berunsur fitnah yang didakwa dibuat Nasruddin di Facebook bertajuk 'Apa Beza Kidex dan Penang Tunnel?' pada Rabu lepas.

"Dia tidak jawab tuntutan saya untuk dia meminta maaf, jadi peguam saya mengeluarkan notis semalam. Kami akan teruskan dengan tindakan undang-undang," Lim memberitahu pemberita di pejabatnya hari ini.

Pada Khamis, Lim berkata Nasruddin berpegang kepada "dakwaan dan penipuan tidak berasas" berkenaan pembiayaan projek pembinaan terowong dasar laut dan penganugerahan projek berbilion ringgit itu.

"Penipuan yang dilakukannya sama seperti cybertroopers yang pro-Umno dan Barisan Nasional (BN)," katanya. – 9 Ogos, 2014.

Kedah akan ada One Stop Centre bakal mudahkan pelancong

ALOR SETAR - Satu pusat informasi atau One Stop Centre bakal dibina di kawasan berhadapan Masjid Zahir bagi memudahkan pelancong mendapat maklumat mengenai pelbagai pakej pelancongan menarik yang ditawarkan secara lebih menyeluruh.

Pengarah Tourism Kedah, Roslan Othman berkata, kewujudan pusat berkenaan kelak akan dapat membantu pelancong mendapat pengalaman percutian lebih tersusun melalui pakej yang ditawarkan sama ada dalam kawasan bandaraya Alor Setar atau ke beberapa daerah lain.

Menurutnya, langkah itu juga sebagai persediaan awal untuk menarik pertambahan bilangan pengunjung sempena Tahun Melawat Kedah 2016 kelak.

"Terdapat beberapa pakej disediakan antaranya pakej laluan pendek kira-kira 1.3 kilometer menaiki beca ke beberapa kawasan berdekatan dalam kawasan bandaraya Alor Setar bermula di hadapan Masjid Zahir melalui Pekan Cina dan Pekan Melayu, menelusuri sungai di Tanjung Chali dan Terusan Wan Mat Saman kemudian berakhir di kubur Jepun berdekatan pejabat Tourism.

"Ketika melalui kawasan bersejarah itu, pemandu pelancong akan menceritakan semula sejarah unik yang pernah berlaku di setiap tempat berkenaan supaya dapat memberi gambaran sebenar situasi masa dulu kepada pelancong," katanya.

Roslan berkata, pelancong juga boleh memilih untuk mengunjungi tempat menarik di luar bandaraya Alor Setar secara santai dan pada masa yang sama masih menginap di hotel dalam kawasan Alor Setar.

"Mereka hanya perlu memilih pakej mengikut kesesuaian contoh menjejaki sejarah Tengku Anum di Kubang Pasu, pakej memancing di Yan, pakej pelancongan pertanian (Agrotourism) di Sik seperti ladang anggur, pakej melawat tempat pembuatan kuih tradisional dan kraf tangan di Pendang atau pakej pengembaraan ke kawasan hutan lipur di Kulim.

"Pelancong tidak perlu memandu sendiri untuk ke tempat berkenaan sebaliknya mereka boleh parkir kenderaan mereka di tempat yang disediakan dan pemandu pelancong akan membawa mereka ke destinasi pilihan," katanya.

Katanya, langkah ini juga dapat membantu merancakkan lagi industri perhotelan di Kedah kerana dapat menggalakkan lebih ramai pelancong memilih untuk menetap di hotel berbanding terus pulang apabila selesai melawat ke sesuatu kawasan.

"Kita akui tidak banyak hotel di Kedah mencapai taraf lima bintang namun ini tidak menjadi halangan untuk menarik kemasukan pelancong dari luar terutamanya warga asing dan mereka akan lebih merasai suasana percutian sebenar di sini," katanya.

Dalam pada itu, Roslan berkata, mereka yakin melalui penawaran beberapa pakej lengkap seperti itu dapat melengkapkan lagi percutian pelancong ke negeri ini.

"Kita mahu ubah persepsi orang ramai yang hanya tertumpu kepada Pulau Langkawi untuk bercuti sebaliknya mempunyai banyak pilihan lain bagi sesiapa ingin bercuti di tanah besar.

"Melalui rancangan jangka panjang ini, kita yakin pertambahan bilangan pelancong terus meningkat dari tahun ke tahun," katanya.

Kedah terima khidmat jalur lebar 4G pertama TM

ALOR SETAR - Kedah menjadi negeri pertama menerima perkhidmatan jalur lebar 4G oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) setelah produk itu dilancarkan di dua daerah di negeri ini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, produk dikenali TMgo itu dilancarkan di 17 lokasi di daerah Kota Setar dan Pendang.

Menurutnya, pelancaran TMgo adalah susulan daripada ujian perkhidmatan yang dilakukan akhir tahun lalu dan ia sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar di bandar dan luar bandar.

"Kami memilih Kedah sebagai negeri pertama untuk menikmati perkhidmatan ini kerana permintaan yang tinggi daripada pelanggan.

"Tidak lama lagi 20 lokasi lagi di Kedah akan memperolehi perkhidmatan ini," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran perkhidmatan 4G TM di Kompleks TM di Jalan Kolam Air di sini, hari ini.

Zamzamzairani berkata, dalam tempoh enam bulan lagi perkhidmatan itu diperluas ke seluruh negara dan sebanyak 280 lokasi telah dikenalpasti.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir yang merasmikan produk itu berkata, ia sejajar dengan hasrat kerajaan negeri yang menumpukan kepada aspek keunggulan perkhidmatan komunikasi.

"Penggunaan teknologi ini sejajar dengan moto 'Bersama Memacu Transformasi' kerajaan negeri Kedah. Saya berbangga kerana Kota Setar dan Pendang merupakan kawasan pertama dipilih TM untuk penyediaan perkhidmatan 4G TMgo ini.

"Dengan perkhidmatan tanpa wayar 4G ini, diharapkan penduduk Kedah dapat menggembleng tenaga dan sumber dengan lebih hebat demi pembangunan yang akan memberi faedah yang besar," katanya ketika berucap pada majlis itu.

Beliau berkata, penggunaan perkhidmatan jalur lebar sudah menjadi lumrah kehidupan dan ia bukan lagi satu kemewahan tetapi keperluan.

Katanya, ia akan menjana hasil lebih pesat buat Kedah dan akan menjadi pemangkin pembangunan ekonomi yang mampu dimanfaatkan penduduk. - Bernama





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...