TERKINI :

Friday, August 1, 2014

'Berhentilah segera menembak sesama sendiri'

Pemimpin tertinggi dan pendukung Pakatan Rakyat hendaklah "segera berhenti menyerang serta menembak sesama sendiri", kata Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Zulkefly Ahmad.

Katanya, ini kerana mereka sedang ditertawakan oleh seteru politik mereka yang bertepuk sorak serta mempergiat mengadu-domba bagi meretakkan lagi keutuhan serta perpaduan Pakatan Rakyat.

"Wajah-wajah saudara di dada-dada akhbar mereka di muka depan! Anih mengapa mereka memberi ruang kepada saudara... ya... segera sedar dan insaflah.... ruang diberi justeru kerana saudara menembak sesama sendiri...malang!" tulis Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Zulkefly Ahmad dalam facebook beliau awal pagi ini.

Dalam surat terbukanya kepada pemimpin tertinggi dan pendukung Pakatan itu, beliau menegaskan bahawa sangat malang sekiranya gabungan itu berakhir di sini.

"...kerana umum mengetahui bahawa inilah hanyasanya wadah yang menjadi harapan rakyat untuk mampu menyemak-imbang serta menggugat keangkuhan serta kebobrokan penguasa Umno-BN dalam tadbir-urus negara serta PRU ke-14 akan datang.

"Rakyat mengharapkan saudara, sementara saudara bercakaran dan ditanggapi sebagai memperjuangkan kepentingan kelompok masing-masing dan bukan mengutamakan kemaslahatan rakyat dan kepentingan negara!

"Itulah persepsi rakyat kini... mungkin saudara tidak setuju....dan saudara punya hujah yang kukuh....Ya... semua kita merasakan punya hujah yang kukuh...," tulisnya sambil menegaskan bahawa ia adalah pandangan peribadinya dan mungkin ada yang mengecamnya kerana tidak mengikut saluran komunikasi sebagai seorang AJK PAS pusat dan ahli Sekretariat Pakatan Rakyat.

Dr Dzulkefly menggesa mereka supaya bangun daripada keasyikan dan "perangkap kitaran ganas" yang memusnahkan itu "dengan setiap orang kita berteriak "cukuplah kehancuran Pakatan Rakyat ini".

Katanya, mesyuarat jawatankuasa pusat PAS hendaklah segera bersidang untuk "menghentikan kemusnahan" itu tanpa semestinya menunggu melepasi 10 Ogos bagi mengurus tuntutan krisis tersebut.

"Sepuluh hari adalah terlalu lama dalam politik dan media UBN saban masa memporak-perandakan serta merobek kesepaduan muafakat politik yang kita bina selama ini!

"Dikatakan hanya "divine intervention" mampu untuk menyelamatkan Pakatan Rakyat, namun Saudara juga tahu, Allah tidak akan merubah nasib kita kecuali kita sendiri yang mahu merubahnya...," tegasnya sambil menggesa pemimpin tertinggi Pakatan supaya menjadi 'penyelamat' dalam kemelut tersebut.

Kalau tidak, tegasnya, sejarah akan menghukum mereka sebagai yang mengizinkan Pakatan berpecah dan juga sekaligus dianggap yang mencetuskan kemelut dan krisis kali ini.

"Semoga rintihan dan syakawa (pengaduan) yang dititipkan pada dinihari ini mendapat empati dan respons positif saf pimpinan Majlis Presiden Pakatan Rakyat dan semua pimpinan Pakatan Rakyat di semua peringkat di seluruh negara," katanya sambil menegaskan bahawa beliau telah melunaskan tanggungjawabnya menegur pimpinan tertinggi muafakat politik itu.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...