Label haram untuk sesuatu produk lebih penting di Malaysia berbanding cop halal kerana negara ini merupakan majoriti penduduknya beragama Islam, kata bekas Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Asri berkata, melalui kaedah sedemikian, mana-mana pengeluar dan premis produk yang tidak halal seharusnya mempamerkan logo berkenaan di premis mereka.
"Dalam negara seperti Malaysia yang orang Islam merupakan majoriti, tidak perlu cop halal, kita perlu cop haram.
"Yang halal sudah tentu banyak, yang haram sudah tentu sedikit, itu lebih selamat," katanya ketika Wacana Sinar Harian bertajuk "Isu Halal: Apa Hak Pengguna" di Kompleks Kumpulan Karangkraf di Shah Alam hari ini.
"Takkan orang bodoh nak bubuh cop haram palsu," katanya.
Asri berkata, dalam isu produk yang dikeluarkan pengilang dan mempunyai isu berkenaan kredibiliti halal mereka, pengguna tidak seharusnya cepat melatah.