TERKINI :

Friday, June 13, 2014

Keluarga penumpang MH370 di Kedah enggan terima pampasan

Keluarga Chew Kar Moi, seorang daripada penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang, enggan menerima bayaran pendahuluan pampasan selagi tiada bukti penemuan bangkai pesawat atau mayat Chew.

Kakaknya, Chew Kar Hui, 33, berkata keluarganya enggan menerima pampasan itu selepas diberi taklimat oleh pihak Malaysia Airlines bulan lepas.

Beliau berkata tidak ada gunanya wang pampasan itu diterima keluarganya sedangkan bukti penemuan bangkai pesawat dan mayat adiknya tidak diketahui hingga kini.

"Duit tak mampu ubati luka dan kekecewaan keluarga kami. Kami mahu terus dibela dengan meminta pihak berwajib meneruskan operasi pencarian sehingga terjumpa bukti pesawat itu," katanya ketika dihubungi di Alor Setar hari ini.

Chew berkata keluarganya juga enggan menguruskan hal berkaitan dengan insurans walaupun Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) sebelum ini bersetuju mempermudahkan proses prosedur tuntutan.

Chew berkata keluarganya enggan melakukan sebarang proses bagi membuat tuntutan selagi kehilangan pesawat tiada sebarang berita.

"Duit bukan keutamaan buat masa kini dan kami tetap berharap dan berharap agar dia (Kar Moi) pulang dengan selamat," katanya.

Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin semalam mengumumkan tujuh waris pesawat MH370 iaitu enam dari Malaysia dan seorang dari China menerima pampasan sebanyak AS$50,000 seorang melalui insurans syarikat penerbangan.

Pada 8 Mac lepas pesawat boeing 777-200ER yang membawa 329 penumpang termasuk 12 anak kapal dan 153 warga China hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam. – Bernama, 13 Jun, 2014.

Ingat Pejuang Hudud si Umno Selangor, sekali kena jeling dengan MCA & GERAKAN terus tarik balik usul..

BN tarik balik usul soal pelaksanaan Hudud di Selangor

Ketua Pembangkang Selangor Datuk Mohd Shamsudin Lias berkata beliau menarik balik usul yang mempersoalkan mengenai kebarangkalian melaksana hudud di Selangor hari ini kerana timbul banyak kekeliruan.

Jelasnya, usul berkenaan ditarik balik kerana ia masih boleh ditanya dalam sesi perbahasan dan tidak perlu dikemuka melalui usul khusus.

Bercakap ketika dihubungi Malaysiakini, ketua pembangkang itu berkata perkara itu diputuskan dengan persetujuan pemimpin BN Selangor.

"Ia bukan rang undang-undang persendirian. Ia hanya bertanya kepada kerajaan (negeri) sama ada mereka mahu laksanakan hudud (atau tidak).

"Kalau macam ini, kita boleh tanya dalam perbahasan," katanya kepada Malaysiakini.

Speaker DUN Hannah Yeoh dijangka akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkembangan tersebut hari ini.

Salahkan akhbar bahasa Cina

Jelas Shamsudin lagi, kekeliruan timbul sebelum ini apabila ramai pihak menyangka BN Selangor memajukan usul untuk melaksanakan hudud di Selangor.

Beliau seterusnya menyalahkan akhbar berbahasa Cina yang menumpukan perkara itu.

"Saya fikir silap faham ini berlaku kerana terlalu banyak akhbar Cina menghubungi saya untuk bertanya tentangnya," katanya tanpa menyebut nama akbar tertentu.

Menurutnya juga, tindakan menarik balik usul selepas ia diluluskan speaker untuk dibahaskan juga adalah satu perkara biasa.

"Itu perkara biasa. Usul ini, kalau kita tengok dalam sidang DUN dan Parlimen boleh ditarik sebelum atau pada tarikh ia akan dibacakan," katanya.

Sebelum ini, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik membawakan usul itu di bawah Peraturan 26, Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor.

Usul tersebut berbunyi:

"Bahawa Dewan yang mulia ini menggesa kerajaan negeri Selangor mengkaji kebarangkalian pelaksanaan undang-undang hudud pada masa hadapan di negeri Selangor selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan perkara 3 iaitu Islam sebagai agama Persekutuan".

Usul itu yang diterima Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh mencetuskan pelbagai perbincangan termasuklah daripada MCA dan GERAKAN yang merupakan sekutu Umno di dalam BN.

MCA dan GERAKAN juga menggesa agar Yeoh tidak meluluskan usul tersebut.

Yeoh dijangka akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkembangan tersebut hari ini.

Usul Hudud Di DUN Selangor - Nampaknya UMNO yang terjerat

Hannah Yeoh jawab kritikan, beliau speaker untuk semua, bukan hanya Pakatan

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hannah Yeoh, berkata beliau memberikan kebenaran usul hudud dibahaskan pada sidang dewan akan datang atas prinsip "berdebat sebagai budaya".

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya itu berkata, kapasitinya sebagai speaker DUN tidak seharusnya dipertikaikan kerana beliau perlu bersikap neutral tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

"Sebagai speaker saya perlu ambil kedudukan yang tidak berpihak, bila saya pengerusikan sidang DUN, saya tidak lagi melihat diri saya sebagai wakil rakyat DAP atau Pakatan Rakyat (PR).

"Perkara paling penting ialah sebagai speaker saya perlu adil dalam mempertimbangkan usul yang dikemukakan," katanya pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam, hari ini.

"Sebagai speaker, saya perlu neutral. Saya perlu adil berkenaan usul yang diserahkan," katanya.

Hannah berkata, Barisan Nasional (BN) Selangor menyerahkan empat usul dan beliau menerima tiga usul yang mana salah satu daripadanya melibatkan hudud.

"Sebagai speaker saya bertanggungjawab dalam urusan dewan, jika DUN bukan tempat untuk berdebat, saya tidak tahu tempat apa lagi," katanya.

Adun Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik daripada Umno dilaporkan bercadang untuk membentangkan usul hudud, namun terserah kepada Yeoh sama ada menerima atau menolak usul itu untuk dibahaskan.

Tindakan beliau menimbulkan kritikan parti komponen BN dari MCA dan Gerakan, dan menggesa beliau menarik balik cadangan untuk membentangkan usul hukum hudud apabila persidangan DUN Selangor bersambung 16 Jun depan.

Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun, berkata beliau kesal dengan tindakan Adun itu kerana menunjukkan tiada kesepakatan antara parti komponen BN berhubung pelaksanaan hudud sehingga sekarang.

Pengerusi Gerakan Selangor, David Ang Chin Tat, berkata parti itu membantah keras tindakan Kamarol Zaki untuk membentangkan usul berkenaan.

Kamarol Zaki dilaporkan menghantar usul berkenaan minggu lalu kepada DUN Selangor, dan meminta kerajaan negeri mengkaji kemungkinan untuk melaksanakan hudud.

"Saya percaya kita sangat bertamadun untuk ini (bahaskan hudud)," kata Yeoh.

Ditanya berhubung kritikan beberapa pihak, terutamanya parti komponen BN terhadapnya ekoran membenarkan usul itu untuk dibahaskan, Yeoh berkata:"MCA dan Umno perlu selesaikan sendiri hal mereka.

"Saya enggan masuk campur urusan mereka," katanya.

Yeoh berkata, beliau agak tersepit dalam hal itu dan perlu mengambil keputusan untuk membenarkan usul berkenaan dibahaskan.

"Saya tidak boleh menang dalam perkara ini. Jika tidak benarkan (bahas hudud), Umno akan kata saya anti Islam.

"Jika benarkan, MCA kata saya bermain dengan isu ini. Jika anda speaker apa anda akan buat?

"Saya hanya buat keputusan berdasarkan apa yang betul untuk DUN," katanya.

Hudud sebelum ini ditimbulkan oleh kerajaan negeri Kelantan apabila pentadbiran negeri itu bersetuju membawa usul hudud untuk dibahaskan ke Parlimen.

Isu berkenaan membangkitkan reaksi pelbagai pihak yang membantah, termasuk parti komponen Pakatan daripada DAP dan PKR, serta MCA dan Gerakan daripada BN.

Umno bagaimanapun memberikan komitmen untuk melobi wakil rakyat mereka bagi menyokong perkara itu. – 13 Jun, 2014 [MI]

Malangnya pelanggan HyppTV kerana tidak dapat tonton World Cup 2014

HyppTV Tiada Hak Penyiaran FIFA World Cup 2014 – Saluran RTM Di HyppTV Akan Digelapkan

Telekom Malaysia hari ini telah berkongsi sedikit perkembangan berkaitan HyppTV, terutamanya memfokuskan kepada penyiaran FIFA World Cup 2014. Bercakap mengenainya, HyppTV tidak berjaya menerima hak penyiaran untuk FIFA World Cup 2014, sekaligus tidak akan disiarkan melalui platform mereka.


HyppTV merupakan perkhidmatan IPTV daripada Telekom Malaysia, dimana ditawarkan bersama-sama pakej UniFi dan juga Streamyx. Memandangkan mereka baru beberapa tahun sahaja memasuki pasaran, ia dilihat mereka telah terlepas bidaan untuk hak penyiaran FIFA World Cup 2014 sebelum ini.

Geliganya Otak Menteri UMNO BN - UITM hanya sewa bangunan w/pun mampu dibina sendiri


Ini bukan kebodohan. Tapi kecerdikkan depa untuk cari idea. Idea untuk merompak, mencilok dan membazir. Macam mana aku nak songlap duit rakyat atas nama projek dan pembangunan? Aha.. apa kata aku buat idea sewa bangunan. Aku keluarkan modal bina bangunan. Kemudiannya aku pun sewakan bangunan tersebut kepada kerajaan. Aku untung dapat duit. Kerajaan pula rugi sebab terpaksa keluarkan duit untuk bayar sewa. Tapi adakah kerajaan akan setuju untuk rugikan duit pembayar cukai sebegitu sahaja? Eh.. mestilah tak setuju. Apa kata aku dan kerajaan sama2 berpakat untuk lakukan perompakkan bersiri. Sure kerajaan mesti setuju punya. Okay tak idea aku?

Rahsia kenapa DAP tumpas di teluk Intan terbongkar tapi yang nyata bukan hudud

Pengalaman, strategi kempen antara punca Dyana kalah
HARAKAHDAILY | 12 Jun 2014.


KUALA LUMPUR: Kajian terbaru Merdeka Center terhadap keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan mendapati kekalahan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud antaranya kerana dirasakan kurang berpengalaman berbanding calon BN Datuk Mah Siew Keong.

Dalam kajian yang ditanggung The Malaysian Insider itu, Merdeka Center merumuskan secara keseluruhannya DAP silap strategi dalam menggerakkan kempen mereka yang dikatakan hanya memfokuskan kawasan bandar.

Kajian dijalankan secara rawak pada 6 hingga 8 Jun lalu, terhadap 404 responden yang terdiri daripada pengundi Teluk Intan.

43% daripada responden merupakan Cina, 38% Melayu dan 19% India. Lelaki dan perempuan ditinjau secara seimbang dan semuanya berumur 21 tahun ke atas.

Kajian mendapati 14.7% merasakan DAP kalah kerana Dyana Sofya tidak berpengalaman sementara 9.4% mengatakan ia adalah kerana beliau bukan anak tempatan dan 11.7% percaya ramai pengundi muda tidak pulang mengundi dalam PRK itu.

Kerajaan mesti naikkan harga getah – Mazlan

JERANTUT: Dalam tinjauan Lajnah Tanah PAS Pusat bersama NGO, Muslim Care di sekitar Taman Negara, di kawasan Parlimen Jerantut baru-baru ini mendapati keadaan kehidupan Orang Asal dan penduduk pedalaman begitu perit akibat kadar harga getah begitu rendah sekali. (Gambar atas: Kaum wanita suku kaum Batek menerima sumbangan peralatan solat dan pakaian daripada Muslim Care)

Sehubungan dengan itu, pengerusi lajnah itu, Saudara Mazlan Aliman mendesak Perdana Menteri khususnya Kerajaan Pusat agar menaikkan harga getah sehingga RM4 sekilogram.

“Kami sudah setahun lebih memohon untuk bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib bagi menyampaikan hasrat besar rakyat yang bekerja sebagai penoreh getah.

“Namun malangnya sehingga ke hari ini, pihak PM masih belum bersedia untuk menerima kami bagi mendengar sendiri permasalahan rakyat dari golongan penoreh.

“Apapun, kami tidak akan berputus asa untuk terus berusaha untuk menyampaikan sendiri hasrat rakyat dan berharap PM boleh melapangkan masanya,” tegasnya.

Untuk makluman - Saman bukan invois: Jangan ugut pesalah trafik

Kempen Anti Saman Ekor (KASE)

http://3.bp.blogspot.com/_wuah6r9EAoc/TRZG9T5F63I/AAAAAAAABb4/zw63U2iucPQ/s1600/saman.jpg
SAMAN BUKAN INVOIS

Saya ingin menarik perhatian SAC Hj. Mohd Fuad Abd Latif, Ketua Trafik Pasukan PDRM, Jabatan Pengangkutan Jalan [JPJ], Kementerian Pengangkutan, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara dan seluruh rakyat Malaysia berkaitan pengumuman operasi besar-besaran bagi mengesan “pesalah trafik yang enggan menyelesaikan kira-kira 1.9 juta saman “tertunggak” dan waran tangkap yang belum diselesaikan yang diumumkan dalam siaran media PDRM pada 11 JUN 2014.

Sila rujuk kepada mana-mana perundangan samada Kanun Tatacara Jenayah atau pun Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan saman dan waran tangkap nescaya perkara berkaitan “saman tertunggak” dan waran tangkap yang belum selesai ini tidak akan berbangkit.

Saya tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan “saman tertunggak”. Jumlah kira-kira 1.9 juta “saman tertunggak” itu adakah “saman” atau “notis”? Saya mohon SAC Hj. Mohd Fuad Abd Latif jelaskan kepada masyarakat apa status sebenarnya.

Sudah acap kali saya jelaskan sebelum ini malah telah beberapa kali juga saya mencabar Pemangku Menteri Pengangkutan atau Peguam Negara atau Ketua Pengarah JPJ atau sesiapa sahaja yang berkaitan untuk membuktikan kepada saya kewajipan membayar saman dan kewajipan membayar kompaun selagi tidak diputuskan oleh Mahkamah. Jika ada peruntukkan mewajibkan kompaun dan saman dibayar, saya bersedia untuk membayar semua kompaun dan saman yang telah dikeluarkan, sebaliknya jika tiada maka saya memohon dilupuskan saman-saman lapuk yang telah dikeluarkan dan hentikan sebarang ugutan kepada pengguna. Sehingga hari ini tiada sebarang respon cabaran saya tersebut.

Henti roboh Kg Chubadak Tambahan

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia dalam kenyataan medianya, melalui Lajnah Tanah dan Pembangunan Bandar mengecam tindakan DBKL yang bertindak merobohkan rumah di Kampung Chubadak Tambahan beberapa hari lalu.

Bagi Pemuda PAS insiden itu merupakan sesuatu yang malang yang menimpa warga negara yang terpaksa merempat di negara sendiri.

“Apalah nasib malang yang menimpa warga negara sendiri yang terpaksa merempat di bumi mereka sendiri.  Yang untung akhirnya adalah pemaju dan golongan atasan yang akan meraih keuntungan berlipat kali ganda.” Demikian kenyataan media oleh Pemuda PAS melalui Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi, Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Bandar, Pemuda PAS Malaysia

Yang berikut ialah kenyataan penuh Pemuda PAS Malaysia.

Lajnah Tanah dan Pembangunan Bandar Pemuda PAS Malaysia (LTPB PPM) mengecam tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk merobohkan Kampung Chubadak Tambahan hari ini. Penduduk kampung menyaksikan kehadiran petugas DBKL dengan peralatan mereka untuk merobohkan kampung mereka hari ini tanpa mereka dapat menghalangnya.
 




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...