Rafizi Ramli SHAH ALAM - “Kegelisahan rakyat mengenai pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) itu berasas, kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kos sara hidup terus meningkat dan sebahagian besarnya disebabkan oleh tindakan kerajaan menarik balik subsidi,” kata Pengarah Strategis PKR, Rafizi Ramli.

Rafizi berkata demikian mengulas bantahan segelintir rakyat Malaysia terhadap pelaksanaan GST pada 1 April 2015.

Menurutnya, rakyat boleh merasai bagaimana satu barang yang harganya dulu rendah telah meningkat kini, itu sebelum GST diperkenalkan, bayangkan sekiranya GST diperkenalkan nanti.

“Kerajaan sendiri tidak menafikan sehingga kini bahawa pengenalan GST akan melonjakkan inflasi, dianggarkan kadar inflasi rasmi boleh mencecah sehingga 8% dalam tahun pertama pelaksanaan GST.

“Apabila inflasi meningkat, sudah tentu harga barang akan meningkat. Perkara ini begitu mudah difahami oleh rakyat kerana apabila sesuatu barangan atau perkhidmatan dikenakan cukai, sudah tentu harganya lebih mahal,” katanya kepada Sinar Harian Online.