Kami masih tidak puas hati  
Rohana menunjukkan kecederaan dialaminya kepada Kok Yew (kiri) dan Boon Kok.

ALOR SETAR – Lebih 30 keluarga mendakwa masih tidak berpuas hati mengenai pembinaan 500 unit kediaman di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kampung Kilat, di sini.

Meskipun, kerajaan negeri memaklumkan akan menyelesaikan masalah tawaran pampasan mengosongkan tapak kediaman penduduk, malah akan mempertimbangkan tuntutan lebihan rumah.

Namun, kebanyakan penduduk tidak bersetuju nilai pampasan ditawarkan selain menyifatkan projek perumahan  itu tidak mematuhi perjanjian awal, malah mengabaikan aspek keselamatan mereka.

Lari dari perjanjian awal


Melalui perjanjian awal, projek pembinaan kediaman dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air berkonsepkan apartmen seluas 700 kaki persegi didakwa menawarkan nilai pampasan RM35,000.

Malah, Pengerusi Badan Bertindak Kampung Kilat, Abd Rauf Hussin, 73, berkata, RM400 duit sewa rumah sebulan selama tiga tahun pada asalnya akan diberi kepada setiap pemilik rumah.

“Bagaimanapun, tawaran duit sewa RM400 sebulan selama tiga tahun ini ditarik balik. Sebaliknya, pihak berkenaan hendak membayar RM35,000 semata-mata.

“Lebih teruk, duit sewa sebanyak RM250 sebulan akan ditolak dari RM35,000 ini. Jadi, wang pampasan kami hanya tinggal sekitar RM25,000 selepas tiga tahun,” katanya.