DENGAR cerita, ramai yang bersorak gembira termasuk rakan-rakan wartawan di Kuala Terengganu apabila Datuk Seri Ahmad Said diturunkan dari kerusi menteri besar kelmarin.

Ini kerana Ahmad difahamkan adalah ahli politik yang agak bengkeng atau  kurang mesra dengan media.

Namun semalam, tatkala beliau dilaporkan berkurung seharian di Seri Iman, banyak pula pihak yang menyuarakan rasa simpati terhadap bekas Menteri Besar Terengganu itu.

Ini berkait dengan penyebaran cerita mengenai permintaannya kepada Datuk Seri Najib Tun Razak supaya ditangguhkan dahulu penggugurannya daripada jawatan MB hingga selesai majlis perkahwinan anak perempuannya Sabtu ini.

Ramai yang menyifatkan tindakan menggugurkan Ahmad ketika beliau sedang dalam persiapan untuk melangsungkan majlis perkahwinan anak adalah sangat tidak sensitif dan seperti sengaja mahu mengaibkannya.