Suhu politik Terengganu kembali panas  
Pihak media yang menunggu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) turut hampa apabila Ahmad razif tidak muncul, semalam.

NAMA Adun Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman kembali panas apabila beliau sekali lagi dikaitkan bakal mengambil alih jawatan Menteri Besar Terengganu, seperti mana desas-desus yang bertebaran sebelum ini.

Isu pertukaran pemimpin utama negeri ini dilihat sedikit mencalarkan sambutan genap setahun pentadbiran BN yang mentadbir Terengganu Isnin lalu, yang berjaya mempertahankan kemenangan dalam PRU13 5 Mei tahun lalu, sekali gus menyaksikan politik negeri ini kembali bergelora.

Kemenangan tipis BN dengan kedudukan kerusi 17-15 turut didakwa antara faktor penyebab Datuk Seri Ahmad Said menjadi sasaran, ditambah pula dengan wujud kumpulan tertentu dalam parti berkenaan hingga mengakibatkan berlaku perpecahan dalam kalangan ahli Umno itu sendiri.

Walaupun Ahmad Razif telah beberapa kali menafikan hal berkenaan, namun namanya sekali lagi menjadi perhatian apabila laporan sebuah akhbar Bahasa Inggeris tempatan semalam, mendedahkan mengenai sumber daripada Putrajaya yang mengatakan wakil rakyat itu diminta untuk bersedia bagi menggantikan kepimpinan utama negeri ini.