Malaysia ranap impian New Zealand  
Pasukan hoki Malaysia meraikan kejayaan setelah menewaskan New Zealand menerusi pukulan "Penalti Shoot Out" dengan jaringan Malaysia 3-2 New Zealand pada perlawanan suku akhir kejohanan Hoki Cabaran Juara-juara 1 2014 di Stadium Hoki Indera Mahkota, Kuantan, hari ini. - Foto Bernama

CUACA panas mencecah suhu 34°c ternyata memberi kelebihan kepada Malaysia apabila menyingkirkan pasukan pilihan New Zealand 3-2 menerusi pukulan penalti pada aksi suku akhir Kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara 1 di sini hari ini.
  
Tiket ke separuh akhir itu terpaksa diputuskan menerusi penentuan pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan itu terikat 4-4 selepas masa penuh perlawanan.
  
Malaysia akan menentang Kanada pada separuh akhir Sabtu ini.
  
Kanada menempah slot separuh akhir selepas mengalahkan Poland 3-2 pada satu lagi perlawanan suku akhir.
  
Dalam pada itu, New Zealand, yang menduduki ranking keenam dunia, bermula garang apabila Steve Edwards dengan mudah merobek benteng pertahanan negara menerusi jaringan padang seawal minit keempat.