TERKINI :

Tuesday, April 15, 2014

Umno nie sembang ja nak Hudud, bila masuk Dun terus pakat tolak..

DUN T'ganu tolak usul laksana hudud

Dewan Undangan Negeri Terangganu hari ini menolak usul untuk melaksanakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu yang diluluskan dewan itu pada 7 Julai 2002.

Usul tersebut dibawa oleh Mohd Nor Hamzah (PAS-Bukit Payong, kanan) bawah peraturan mesyuarat Fasal 30 Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap DUN, lapor Harakahdaily.

Speaker Mohd Zubir Embong bagaimanapun dilapor menolak usul tersebut.

Kandungan usul itu antaranya memohon persidangan ditangguh bagi merundingkan pelaksanaan enakmen itu kerana ia diperintahkan oleh Allah, dipersetujui sultan serta diwartakan sejak 14 tahun dulu lagi.

"Isunya mengapakah sehingga kini, kerajaan yang berkuasa melaksanakan enakmen ini gagal untuk melaksanakannya, bahkan tidak mengambil sebarang usaha untuk melaksanakannya.

Menteri besar serta pemimpin kerajaan negeri perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kegagalan kerajaan melaksanakan enakmen ini," menurut kandungan usul itu yang disiarkan di akhbar web PAS.

Mohd Nor juga berhujah, perkara itu juga melibatkan keamanan negeri ekoran banyaknya kegiatan jenayah di negeri itu.

"Maka saya berpandangan bahawa usul ini melibatkan perkara tertentu, kepentingan ramai serta perlu disegerakan," katanya.

Ke mana pergi dana R&D RM1.152b Mosti?

 
Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli akan mendedahkan dakwaan “penyelewengan” sebahagian dari RM1.152 bilion geran Kajian dan Penyelidikan (R&D) yang diperuntukkan kerajaan kepada kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti)

Menurut beliau, pengakuan menterinya Datuk Dr Ewon Ebin bahawa hanya 20 hasil kajian R&D itu dikomersialkan setiap tahun menunjukkan ia terlalu rendah berbanding perbelanjaan kerajaan.

"Ia menimbulkan persoalan. Ke manakah sebenarnya dana ini digunakan?

"Dalam dua minggu ini saya akan mendedahkan beberapa penyalahgunaan dana R&D Mosti yang menunjukkan bagaimana dana awam digunakan bagi tujuan selain R&D," kata beliau dalam sidang media hari ini.

Menurut Rafizi, laporan tahunan Mosti menunjukkan antara 2009-2013 sejumlah RM 1.152 bilion dibelanjakan sebagai geran R&D.

Ia melibatkan RM900 juta kepada tabung Science Fund, Technofund, Innofund (STI) dan Human Capital Development Fund RM 246 juta kepada Tabung pengkormersilan R&D (CRDF) dan RM 6 juta kepada Tabung Pengambilalihan Teknologi – semuanya bawah Mosti.

MP: Polis rampas iPad, telefon kerana 'hasutan'

 

MP Batu Tian Chua mendakwa polis merampas iPad dan telefon mudah alih miliknya, didakwa berhubung tulisan itu di Twitter yang didakwa “menghasut”.

Telefon bimbit itu dirampas malam tadi manakala iPad itu dirampas sebelum ini.

Chua mendakwa sepasukan polis berpakaian preman bertindak demikian pada kira-kira jam 7.30 semasa beliau sedang menyertai satu mesyuarat di Hotel Armada di Petaling Jaya.

"Pasukan serbuan polis mengepung Hotel Armada seolah-olah mereka mahu menangkap penjenayah besar dan mereka memalukan saya di khalayak umum di hadapan tetamu saya.

“Kawan-kawan, saya kini tidak boleh dihubungi... Celakalah negara polis!,” katanya di Twitter.

Naib presiden PKR itu berkata, pasukan polis berkenaan membawa waran geledah.

Sementara itu, satu laporan Bernama yang memetik kenyataan polis mengesahkan bahawa pasukan itu menyita telefon milik Chua.

Tiba masa kita tukaq Timb Presiden PKR, angkat Saifuddin Nasution..amacam..!!

Tim Saifuddin: Nak menang PRU, sokong kami

 
Kumpulan “Menuju Masa Depan” yang diketuai Datuk Saifuddin Nasution Ismail hari ini memberi tawaran untuk memenangi Pilihan Raya umum ke-14 (PRU14).

Saifuddin berkata gagasan yang dibentangkan beliau dan sekutunya calon naib presiden Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar bakal membaris tiga tumpuan khusus bagi mencapai matlamat itu.

Antaranya adalah untuk menarik golongan muda pelbagai latar belakang menyertai parti kerana berdasarkan data pengundi, majoriti pengundi pada PRU14 bawah 30 tahun.

"Hanya 35 hingga 38 peratus anggota PKR di bawah umur 35 tahun. Kita mahu lebih 50 peratus golongan muda.

"Kunci kejayaan parti kelak adalah barisan pimpinan yang boleh mendekati dan menjiwai kumpulan pengundi muda ini," kata beliau dalam sidang media hari ini.

Akujanji BN Kedah PRU13 : Bandaraya Getah Kota Putra Padang Terap.... Mana Dia?

Muhammad Sanusi Md Nor,


Apa Maksud Bandar Getah (rubber city)? 
 
Yang sahihnya, bukanlah seluruh bandar itu dibina dengan getah, jalannya daripada getah, rumah kedainya daripada getah, super marketnya daripada getah. juga tandas awam, pasar, pejabat kerajaan, stesen bas, dewan, sekolah, universiti, surau, masjid dan periuk belanga, maupun LRT getah, monorel getah, pencakar langit getah dan jambatan getah! Bukan! Pasti bukan ini maksudnya Bandar Getah yang dijanjikan itu. Rubber City juga bukanlah 'raba Siti'!!

Saya rasa, bandar getah yang BN jnjikan itu ialah menjadikan Padang Terap sebuah kawasan yang pesat membangun dan maju sehingga mencapai tahap bandar - dengan adanya kemajuan yang pesat dalam sektor getah! Ataupun sekurang-kurang jadilah Padang Terap  'Bandar Bergetah!'

Apakah Ciri-ciri Bandar Getah?

Bukan sahaja ada banyak pokok getah di Padang Terap Bandar Getah itu, tapi akan ada kilang memproses getah, industri berasaskan getah seperti kilang tayar, kilang tilam, kilang kondom, kilang sarung tangan, kilang permainan kanak-kanak dan 'orang dewasa' dan macam-macam lagi- semuanya berasaskan getah, seperti dalam kepala pemimpin BN yang menabur janji  pilihanraya ke 13 itu.

Oleh kerana BN tidak menjelaskan apakah ciri-ciri Padang Terap yang akan menjadi bandar getah itu, tak ada sesiapapun selain dari pemimpin BN yang membuat janji itu tahu, apakah rupabentuk sebenar Padang Terap setelah berstatus bandar getah.

Bermewah macam Rosmah, siapa sabotaj Muhyiddin?

Berikutan pendedahan mengenai lawatan mewah Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ke Dubai yang lebih dipenuhi dengan acara main golf dan menikmati jamuan mewah berbanding menghadiri program rasmi berkaitan pendidikan bermula 8 hingga 12 April lalu, Ketua Setiausaha Negara, Ali Hamsa memberi amaran tidak akan berkompromi terhadap penjawat awam yang membocorkan rahsia kerajaan.

Beliau berkata, tindakan tegas termasuk pemecatan akan diambil terhadap kakitangan yang berbuat demikian, sambil mengingatkan bahawa menjadi tanggungjawab mereka menjaga kerahsiaan kerajaan demi keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Baru-baru ini Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim mempertikaikan lawatan lima hari Muhyiddin bersama beberapa pegawainya ke Dubai kerana didakwa tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat berikutan ianya lebih dipenuhi acara bermain golf dan menikmati pelbagai jamuan bertaraf mewah.

Dalam lawatan lima hari itu, Muhyiddin didakwa hanya memperuntukkan tiga jam untuk acara rasmi berkaitan pendidikan manakala selebihnya banyak dipenuhi dengan bermakn golf, menikmati pelbagai jamuan mewah, pertemuan dengan ahli perniagaan dan seolah-olah percutian yang menggunakan wang rakyat.

Alahai kerajaan minoriti 46%, hangpa nie tak sedaq diri lagi kaa..???

– Amirrul Jeffery

April 15, 2014

Tiada apa yang pelik bin ajaib apabila tinjauan yang dijalankan Merdeka Center menunjukkan 54% daripada 1,029 responden adalah rakyat Malaysia tidak percaya kepada kerajaan sendiri iaitu kerajaan Barisan Nasional (BN) menyampaikan maklumat yang telus dan mempunyai banyak lagi maklumat tidak didedahkan berhubung tragedi MH370. Manakala 26% menyatakan jujur dan 20% refleksi kepada tidak pasti.

Maklum tahu kerajaan minoriti 46% ini tidak diyakini ketelusannya oleh 52% rakyat Malaysia. Apa jua perkara yang keluar daripada mulut kerajaan BN sudah tidak dipercayai majoriti rakyat jelata. Angka 1,029 responden adalah tinjauan rambang, bukannya tunjauan terpilih.

Tinjauan rambang yang dilakukan di kawasan bandar dan separa bandar juga di kawasan luar bandar - yang celik ilmu dan maklumat dengan dunia yang tiada sempadan iaitu sudah mencapai jalur lebar - menampakkan hasil yang memukul sampai lunyai kerajaan minoriti 46% BN.

Cakaplah apa sahaja, keluarkanlah apa pun kenyataan, polisi kerajaan, method, pengorganisasian, perancangan, daripada kerajaan 46% minoriti ini pasti dijadikan bahan lawak di kedai kopi mahupun warung, di mana- mana sahaja.

Bacaan selain azan di pembesar suara patut dihentikan

– Dr Mohd Asri Zainul Abidin

April 15, 2014

Saya ingin mengulas sedikit tentang bacaan-bacaan selain azan yang menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu orang ramai. Bacaan ini mengelirukan orang bukan Islam sehingga mereka menyangka ia azan. Sesetengah pihak cuba mempertahankan amalan tersebut atas alasan ia bacaan Al-Quran atau zikir yang patut diagungkan. Mereka menyangka sikap keras mereka dalam hal ini adalah ‘perjuangan mempertahankan Islam’. Saya ingin mengulas hal ini seperti berikut;

Apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. Adapun selain daripada itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain. Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi Muhammad. Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.

Walaupun bacaan Al-Quran dan zikir amatlah baik. Namun kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita. Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak difardukan solat seperti wanita yang haid atau bukan Islam dan lain-lain.

Ramai orang bukan Islam keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara. Mereka menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih lima minit.

AMK gesa SPRM siasat 'maha jutawan' Daim

 
Angkatan Muda Keadilan (AMK) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar memulakan siasatan terhadap bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin yang didakwanya mempunyai kekayaan luar biasa.

Dalam kenyataannya, Ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin (kiri, berkaca mata) mengesyaki Daim mempunyai hubung kait dengan amalan korupsi dan rasuah.

Aduan itu dibuat susulan laporan media berhubung pendedahan Anwar yang mendakwa Daim mempunyai wang mencecah berbilion ringgit dalam bank di Afrika dan Eropah Timur dengan menggunakan proksi, kata Shamsul.

Shamsul juga berkata dakwaan Anwar itu kosisten seperti sebelum ini yang terkandung dalam laporan polis yang dibuat ketua umum PKR itu pada 1999.

"AMK juga telah mempersoalkan bagaimana Tun Daim, yang dikenali sebagai 'maha billionaire' tidak tersenarai langsung dalam senarai 40 individu terkaya di Malaysia sebagaimana yang dikompilasikan oleh majalah Malaysian Business.

"Sehingga ke hari ini, tiada sebarang tindakan susulan yang diambil oleh mana-mana pihak ke atas Tun Daim.

"Sehubungan dengan itu, AMK menggesa SPRM dapat bertindak hasil daripada laporan rasmi yang dikemukakan ini, bagi mengesah atau menafikan sebarang bentuk tuduhan yang dipalitkan ke atas Tun Daim," katanya.

Asrama Maktab Mahmud terbakar

ALOR SETAR - Sebuah daripada lima bilik asrama lelaki Maktab Mahmud di sini musnah dalam kebakaran pagi tadi, dipercayai akibat litar pintas.

Kebakaran kira-kira jam 11.30 pagi itu memusnahkan keseluruhan bilik asrama di bangunan dua tingkat yang berusia lebih 40 tahun itu yang menempatkan lebih 20 pelajar.

Seorang pekerja koperasi maktab, Muhammad Faiz Azhar Mohd Fauzi, 22, berkata beliau yang ketika itu berada di dalam koperasi yang terletak di bawah bangunan itu terhidu bau hangit dan melihat asap dan api dari sebuah bilik asrama.

Beliau kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada guru-guru yang sedang berada di kantin berhampiran bangunan tersebut.

"Saya nampak api marak dan cermin kaca bertaburan. Saya juga sempat selamatkan duit dan beberapa barangan dalam koperasi. Syukur kerana sebahagian bangunan sahaja yang terbakar," katanya kepada pemberita ditemui di tempat kejadian.

Muhammad Faiz berkata ketika kejadian, penghuni asrama sedang berada di kelas yang terletak tidak jauh dari asrama mereka.

Selain asrama, bangunan itu turut menempatkan kantin asrama lelaki, koperasi dan bilik menyimpan kertas peperiksaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Johari Osman berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.39 pagi dan menghantar tiga jentera beserta 15 anggota dapat memadam kebakaran dua jam kemudian. - Bernama

Apabila rakyat buang sampah merata-rata

Tong sampah jadi hiasan?

ALOR SETAR - ‘Bagai kera mendapat bunga’. Itulah layak digambarkan apabila tong sampah disediakan di Taman Samudera, dekat sini, didakwa tidak digunakan sebaik mungkin.

Tinjauan mendapati ada sisa pukal seperti kerusi dan tilam, malah sampah lain diletakkan penduduk tertentu di kawasan tanah lapang, berbanding tong sampah tersedia itu.

Namun, seorang penduduk hanya ingin dikenali Ah Keong, 35, berkata, tidak semua penduduk sesuka hati melonggokkan sampah di atas tanah, sebaliknya individu tertentu sahaja.

“Bukan sepanjang masa, sebaliknya masa tertentu sahaja. Ini kerana tong sampah sedia ada tidak mampu memuatkan sampah pukal seperti perabot lama.

“Tidak dinafikan. Ada kalanya, kawasan berhampiran tapak longgokan sampah terbabit dipenuhi sisa buangan penduduk sehingga mencemarkan kawasan ini,” katanya.

Nur Nabilah Mustafa, 25, berkata, tindakan penduduk sesuka hati meletakkan sampah mereka di lokasi tidak sepatutnya, dikhuatiri menjejaskan imej kawasan itu.

“Bukan hanya menyakitkan mata, sebaliknya mencacatkan pemandangan kawasan. Jadi, penduduk sendiri perlulah bertimbang rasa untuk keselesaan bersama,” katanya.

Katanya, mereka turut memohon pihak berkaitan meletakkan tong sampah besar demi kemudahan mereka, sekali gus memastikan kebersihan kawasan ini terpelihara.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...