Kedah dilanda musim bunga!  
Potensi jadi satu destinasi pelancongan baru negeri

ALOR SETAR - Selepas dilanda musim kemarau, Kedah kini dilanda musim bunga. Suasana indah ini bagaikan berada di Korea dilimpahi guguran bunga Sakura, berwarna putih dan merah jambu.

Penduduk negeri ini dilihat tidak melepaskan peluang merakamkan saat indah itu apabila bunga-bunga yang jatuh berguguran menutupi permukaan tanah bagaikan hamparan permaidani.

Malah pengguna laman Facebook tidak terkecuali memuat turun keindahan suasana itu untuk dikongsi bersama sahabat handai, yang tidak berpeluang melihat sendiri keindahan alam ini.

Seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Faisal turut mencadangkan agar sebuah taman diwujudkan hanya dipenuhi lanskap pokok ini, yang digelar pokok Sakura Malaysia.

Dalam komennya itu, Faisal mencadangkan antara lokasi sesuai antaranya Taman Jubli Emas Suka Menanti dan perkarangan Stadium Darul Aman.

“Alangkah cantiknya jika satu kawasan taman atau tanah lapang, dipenuhi lanskap pokok ini sahaja. Saya dapat bayangkan apabila musim bunga, pelbagai warna menghiasi kawasan. Tidak mustahil jadi tarikan pelancong ke Kedah,” katanya.