TERKINI :

Tuesday, March 25, 2014

Majlis fatwa putuskan anak kapal dan penumpang MH370 bergelar syahid akhirat

PUTRAJAYA 25 Mac - Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan berpendirian penumpang dan anak kapal pesawat MH370 beragama Islam bergelar syahid akhirat.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin berkata keputusan itu dibuat selepas Muzakarah Khas yang diadakan di sini hari ini.

MH370 : Majlis fatwa putuskan tak perlu sembahyang jenazah ghaib sekarang

PUTRAJAYA 25 Mac - Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan memutuskan tidak memerlukan solat jenazah ghaib ke atas penumpang pesawat MH370 yang beragama Islam buat masa sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin berkata, ini kerana pihak berkuasa yang mencari dan menyelamat masih belum menjumpai mayat atau cebisan mangsa pesawat MH370.

Operasi mencari tertumpu di 459,400 batu nautika

KUALA LUMPUR 25 Mac - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 kini tertumpu di kawasan seluas 459,400 batu nautika persegi di koridor selatan.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pada masa sama, SAR di koridor utara telah dihentikan.

Menurut beliau, SAR di bahagian utara koridor selatan berhampiran Indonesia turut dihentikan dengan tumpuan kini di bahagian utara koridor tersebut. - UTUSAN ONLINE

MH370: Islam beri tempoh 4 tahun sabitkan kematian

KUALA LUMPUR: Islam memberi tempoh sehingga empat tahun untuk mensabitkan kematian terhadap kehilangan seseorang yang tidak diketahui di mana kedudukannya atau hidup matinya.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, selagi tidak ditemui jasad atau bukti mensabitkan kematiannya secara fizikal, maka tempoh empat tahun perlu diambil kira.

"Dari segi Islam, pernah disabitkan kematian setelah berlalu selama empat tahun.

"Selagi tak jumpa, selagi tak sampai empat tahun, itu terpulang kepada kerajaan untuk memutuskan hal itu," kata beliau pada sidang media pimpinan Pakatan Rakyat di parlimen hari ini.

Sidang media yang turut dihadiri Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP Lim Kit Siang, dibuat khas sebagai respons terhadap pengumuman terbaru Perdana Menteri berhubung isu MH370 malam tadi.

Ustaz Hadi yang ditemui Harakahdaily selepas sidang media itu menjelaskan, hukum empat tahun itu merujuk satu kisah di zaman Saidina Umar.

Khalifah kedua itu dikatakan menunggu sehingga empat tahun sebelum memutuskan fasakh seorang wanita yang kehilangan suaminya untuk berkahwin lain.

"Selagi tak dapat bukti jasad, atau fizikal atau saintifik, hukum ini terpakai.

"Kita tak boleh bergantung hanya kepada imej satelit, yang mengandaikan pesawat pecah.

"Kita perlu terus mencari sehingga jumpa kotak hitam, baru kita boleh sahkan," kata beliau kepada Harakahdaily.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memaklumkan bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan akan bersidang pada jam 6.00 petang ini bagi membincangkan solat jenazah ghaib.

Bercakap ketika membentangkan usul takziah di Dewan Rakyat hari ini, Najib juga memaklumkan bahawa kerajaan tidak berhasrat memasang bendera separuh tiang sebagai tanda berkabung, sehinggalah bahagian badan pesawat MH370 ditemui.

Beliau juga berkata, usaha mencari diperhebatkan dan tidak menolak kemungkinan berdepan dengan kesukaran luar biasa.

Usul tersebut menyusul selepas beliau malam tadi mengumumkan, bukti-bukti sedia ada merumuskan bahawa MH370 mengakhiri penerbangannya di pertengahan Lautan Hindi, di sebelah Barat Perth, Australia.

Operasi mencari serpihan dan objek MH370 diteruskan di selatan Lautan Hindi - Najib

KUALA LUMPUR 25 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tumpuan kerajaan pada masa kini adalah untuk mencari serpihan rangka serta objek-objek yang berkaitan dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di selatan Lautan Hindi.

Beliau berkata ini bagi mengesahkan tanpa ragu-ragu bahawa pesawat itu telah pun hilang di selatan Lautan Hindi walaupun ia akan mengambil masa yang lama di samping bakal menghadapi cabaran yang sukar.

"Oleh itu, apa yang perlu kita lakukan dalam minggu-minggu dan mungkin bulan-bulan yang akan datang ialah untuk mencari segala serpihan rangka serta objek-objek yang berkaitan dengan pesawat MH370.

"Tidak dapat dinafikan kawasan tersebut amat sukar dan mencabar sekali, ini bererti kita akan menghadapi dugaan dan cabaran yang luar biasa untuk mencari serpihan rangka dan objek-objek pesawat," katanya ketika membentang usul khas tragedi MH370 di Parlimen di sini hari ini.

Najib berkata kerajaan tetap komited untuk meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan itu bagi mengesan kotak hitam pesawat MH370 yang akan memberi jawapan ke atas apa sebenarnya yang berlaku ke atas pesawat malang itu. - BERNAMA

MH370: INMARSAT jejak MH370 guna pendekatan unik

http://www.livewire-connections.com/sites/default/files/images/products/Inmarsat-logo_1_1.jpg
KUALA LUMPUR: Pendedahan bahawa pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi di barat Perth, Australia adalah berdasarkan analisis baru oleh penyiasat-penyiasat di United Kingdom dan firma satelit Britain, INMARSAT.

Menurut laporan BBC, INMARSAT mengemukakan data baru itu kepada bahagian Penyiasatan Nahas Udara United Kingdom (AAIB) supaya ia boleh diperiksa sebelum disebarkan kepada orang awam.

INMARSAT berkata pengiraan terbarunya melibatkan sejumlah besar data analisis yang memberi tumpuan kepada beberapa faktor termasuk pergerakkan pesawat lain.

Firma itu menambah bahawa ini adalah teknik terbaru dan oleh kerana itu, analisis tersebut memakan masa.

Naib Presiden Kanan INMARSAT, Chris McLaughlin berkata firma itu mengkaji “ping” elektronik yang pesawat itu hantar kepada salah satu satelitnya.

"Kami telah berurusan dengan sesuatu yang baru. Kami telah cuba untuk membantu siasatan berdasarkan hanya satu isyarat yang diterima sekali setiap jam dari sebuah pesawat yang tidak ada sebarang data GPS, masa dan jarak maklumat.

"Mereka berjaya mencari jalan untuk mengatakan hanya satu “ping”  sahaja boleh digunakan untuk mengatakan pesawat itu membuat perjalanan. Kemudian, melalui proses penyingkiran dengan membandingkannya dengan pesawat-pesawat yang lain, diketahui ia terbang ke arah Selatan.

Sementara itu, dalam satu temubual di Sky News, MacLaughlin berkata pesawat yang terbang ke arah selatan itu kehabisan minyak.

Semalam, Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pesawat MH370 yang gagal dikesan sejak 8 Mac lalu, disahkan hilang di kawasan selatan Lautan Hindi di barat Perth, Australia.

Najib berkata, kedudukan terakhir penerbangan MH370 itu didasarkan kepada maklumat daripada data satelit INMARSAT dan AAIB yang mengesahkan pesawat Boeing 777-200 itu terbang ke koridor selatan isyarat terakhir yang dikesan daripada pesawat itu.

"Ini kawasan yang terpencil, jauh daripada mana-mana tapak pendaratan yang munasabah.

"Oleh itu, dengan rasa penuh dukacita dan kesal, saya memaklumkan bahawa, berdasarkan kepada data baru ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Najib.

Pesawat itu membawa 239 orang, termasuk 38 penumpang dan 12 anak kapal warga Malaysia.

Operasi mengesan pesawat ini digerakkan sejak ia hilang pada awal pagi 8 Mac lalu dan disertai oleh lebih 20 buah negara.

Siasatan awal mendapati pesawat yang hilang itu telah dilencongkan dengan sengaja oleh seseorang yang memandunya. Bagaimanapun, pelbagai spekulasi dan teori konspirasi timbul kerana sistem komunikasi dengan pesawat itu terputus dan tiada bukti-bukti kukuh atau petunjuk mengenai kehilangan pesawat itu.

Antara teori yang dikemukakan dalam masa pencarian sepanjang 17 hari lalu oleh pakar dan penganalisis penerbangan termasuk rampasan, sabotaj oleh juruterbang serta kemungkinan pesawat itu mengalami masalah sehingga menyebabkan semua anak kapalnya tidak sedarkan diri dan pesawat itu terbang sendiri sehingga kehabisan minyak.

Pesawat penerbangan MH370 membuat hubungan terakhir dengan pusat kawalan trafik udara semasa berada di Laut China Selatan di sebuah kawasan yang terletak antara sempadan Malaysia dan Vietnam.

Ia kemudian dikesan berpatah balik dari laluan asalnya dan terbang selama beberapa jam.

Usaha mengesan pesawat itu kemudiannya digerakkan di dua jalur di sebelah utara yang menganjur dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke utara Thailand serta dari Indonesia sampai ke selatan Lautan Hindi.


Read more at: http://www.astroawani.com/news/show/mh370-inmarsat-jejak-mh370-guna-pendekatan-unik-32498?cp

Berakhirnya kisah MH370 - Mohammad Agus Yusoff

Berakhirnya kisah MH370
Perdana Menteri kita baru sahaja selesaikan memberikan sidang medianya. Satu yang jelas ialah MH370 tanpa ragu telah menjunam ke Lautan Hindi.

Dengan pengumuman ini, maka segala teori, ramalan bomoh dan pandangan yang kita bina selama ini terjawab. Teori yang paling tidak sesuai ialah teori konspirasi. Inilah teori yang sejak dari awal lagi tidak masuk di akal saya.

Tidak mungkin ada anak kapal yang bersedia untuk menjadikan diri dan 'nyawa' mereka bahan ujian sesiapa? Tidak mungkin ada negara yang bersedia menggunakan pesawat ini untuk mengkhianati mana-mana negara atau nyawa yang tidak berdosa? Tetapi kerana ramai dalam kalangan kita yang hidup dalam dunia yang penuh prasangka, maka kita pun mula membina pelbagai tafsiran sendiri. Inilah yang saya harap menjadi pedoman kita masa depan.

Isunya sekarang, mengapa MH370 tersasar begitu jauh? Apakah puncanya? Adakah kokpit terbakar yang menyebabkan terputusnya alat hubungan, adakah sabotaj atau adakah perbuatan anak kapal yang menyebabkan terjadinya tragedi ini?

Kita tidak boleh menjawab pertanyaan di atas sehinggalah alat perakam data dan kotak hitam ditemui. Sehingga kita ketemui kotak ini, janganlah kita berteori lagi.

Hormatilah keluarga mangsa yang terlibat. Jangan lupa juga kita hargai kesungguhan pihak berkuasa dan pasukan penyiasat yang telah bertungkus lumus menyelesaikan misteri ini. saya secara peribadi mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada mereka.

Kepada keluarga mangsa yang beragama Islam, Al-Fatihah dari saya dan kepada yang bukan beragama Islam, takziah dari saya.

Waris di China mahu berarak ke kedutaan Msia

Sekumpulan waris kepada penumpang pesawat penerbangan MH370 yang tidak berpuas hati dengan tindakan Malaysia Airlines dan kerajaan Malaysia mengancam untuk berarak ke Kedutaan Malaysia di Beijing.

Laporan Reuters mengenai suasana di ruang hotel yang menempatkan waris penumpang tersebut menyebut, seorang daripada anggota keluarga berkenaan membacakan kenyataan mengutuk kerajaan Malaysia, pasukan tentera dan MAS kerana “terus menerus cuba melengah-lengah dan menyembunyikan kebenaran.”

“Ia cubaan untuk memperdaya keluarga penumpang dan cubaan untuk memperdaya seluruh dunia,” kenyataan itu dipetik.

Kenyataan tersebut dimuatkan di satu laman blog China oleh “Jawatankuasa Keluarga Malaysia Airlines MH370”.

Dalam satu kenyataan lanjut, anggota keluarga tersebut berkata mereka akan menuju ke Kedutaan Malaysia di Beijing pada hari Selasa untuk “membantah, menuntut kebenaran dan kepulangan anggota keluarga.”

Sementara itu, rangkaian TV China CCTV melaporkan para pegawai MAS yang tiba di Lido Hotel di Beijing disambut dengan protes oleh anggota keluarga tersebut.

"Mereka berasa ditipu dan mungkin merancang tindakan selanjutnya," lapor CCTV di Twitter.

Seorang wartawan TV Kanada turut menulis di Twitter bahawa keluarga penumpang berkenaan sedang menuju ke konsulat Malaysia untuk tujuan berkenaan.

CCTV juga melaporkan bahawa kerajaan China memanggil Duta Besar Malaysia di China Datuk Iskandar Saruddin.

Kuala Kedah - Hentian bas buruk, pengguna tak selesa

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: March 25, 2014

KUALA KEDAH - Kebanyakan pengguna bas henti-henti di sebuah hentian bas, Jalan Kuala Kedah, di sini, mendakwa tidak selesa berdepan keuzuran kemudahan awam terbabit.

Bagaimanapun, ada pengguna kelihatan setia menantikan kedatangan bas di hentian berkaitan kerana lokasinya agak strategik, malah berhampiran kawasan tumpuan ramai.

Tinjauan mendapati, ia bukan hanya kelihatan buruk apabila bahagian tertentu bumbung hentian bas terbabit berlubang, sebaliknya sudut lain juga dilihat sudah tercabut dan rosak.

Aishah Md Lazim, 15, berkata, dia adakala terpaksa berdepan cuaca panas terik sewaktu menunggu bas henti-henti di hentian terbabit untuk ke Bandaraya Alor Setar kerana hentian sarat orang awam.

“Begitu juga kalau hujan. Baju akan basah kerana terkena tempias. Andai bumbungnya diganti baru, sekurang-kurangnya pengguna dapat berteduh dari hujan mahupun panas. “Keadaan itu secara tidak langsung menjejaskan imej kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Saiful Abu Bakar, 29 berkata, ruang duduknya terhad menimbulkan rasa tidak selesa apabila pengguna ramai.

“Tengok dari jauh pun nampak kurang selamat. Ditambah ribut berlaku tak kira masa. Jadi, kita perlu ambil tindakan segera sebelum ia rebah menghentam orang ramai,” katanya.

Justeru, katanya, pengguna merayu pihak berkaitan mengambil tindakan sewajarnya dengan menyediakan hentian bas lebih selesa.

Parlimen rakam takziah kepada keluarga krew, penumpang MH370

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI

KUALA LUMPUR 25 Mac - Sidang Dewan Rakyat merakamkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga penumpang dan anak kapal pesawat

Malaysia Airlines (MAS) MH370, susulan perkembangan baharu 'nasib' pesawat itu yang disahkan berakhir di tengah-tengah Lautan Hindi di kawasan barat daya Perth, Australia.

Ucapan tersebut dizahirkan menerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berdasarkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pesawat itu.

"Saya bagi pihak ahli-ahli Dewan Rakyat dan Parlimen keseluruhannya merakamkan takziah kepada semua keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370.

"Pada kesempatan ini, saya juga memohon agar ahli keluarga penumpang dan anak-anak kapal pesawat tersebut kekal tabah dan cekal menerima ketentuan ini.

"Oleh yang demikian saya menjemput ahli-ahli Yang Berhormat bangun, kepada yang beragama Islam, sedekahkan al-Fatihah dan yang bukan

beragama Islam, bertafakur. Al-Fatihah,'' katanya di sini.

Dalam sidang akhbar khas malam tadi, Najib memaklumkan pesawat MH370 yang hilang daripada radar sejak 8 Mac lalu disahkan berakhir di tengah-tengah Lautan Hindi di kawasan barat daya Perth, Australia. -

Cuaca buruk hentikan operasi mencari

PERTH 25 Mac - Cuaca buruk hari ini menyebabkan operasi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang terhempas di Lautan Hindi dihentikan buat sementara waktu.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) berkata. misi mencari di udara dan laut terpaksa ditangguhkan hari ini ekoran angin kuat, hujan lebat dan ombak besar. - AFP

Malaysia rakam takziah kepada ahli keluarga penumpang dan kru MH370

KUALA LUMPUR 24 Mac - Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga penumpang dan kru pesawat MH370 yang disahkan berakhir di tengah-tengah Lautan Hindi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua pihak menghormati privasi setiap ahli keluarga mangsa.

Katanya, Malaysia telah memaklumkan berita menyedihkan itu kepada mereka.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...