Pelajar istimewa cemerlang SPM  
Mohd Hadi berkongsi kegembiraan dengan bapanya, Darus.

ALOR SETAR - “Kalau kita cacat, orang tak akan nampak kita cacat kalau kita berjaya,” kata Mohd Hadi Darus.

Sebagai pelajar orang kurang upaya (OKU), kata-kata semangat diberikan seorang doktor ketika merawatnya, dijadikan inspirasi untuk belajar bersungguh-sungguh di samping dorongan keluarga.

Kini, Mohd Hadi, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah dinobatkan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 dengan keputusan 11A dalam kategori Calon Berkeperluan Khas (CBK), semalam.

Anak kedua daripada lima beradik yang menulis menggunakan kaki kiri itu berkata, kecacatan tidak menghalangnya untuk menjadi pensyarah.

“Saya minat bidang pendidikan. Saya suka nak berkongsi ilmu dengan semua orang. Saya juga selepas ini nak sambung belajar dan mengambil diploma di Darul Quran, Kuala Kubu Bharu,” katanya.