Keadaan bayi alahan ubat semakin pulih  
 Norsabrina (kiri) ketika menziarahi Muhammad Nasrullah di kediamannya, kelmarin.

ALOR SETAR - Bayi lapan bulan yang melecur dipercayai akibat alahan ubat dijangka sembuh sebulan dua lagi, kata Pegawai Kesihatan Bahagian Dermatologi Hospital Sultanah Bahiyah, Dr Edwin Jude Gunasegaran.

Beliau berkata, pihak hospital HSB masih memantau perkembangan Muhammad Nasrullah Khairul Nizam dari semasa ke semasa.

Pada 16 Februari lalu, badan bayi ini didapati mula melecur dan bertukar menjadi kehitaman selepas beberapa hari menggunakan ubat makan dan sapu yang diberikan sebuah klinik swasta di sini ketika mendapat rawatan akibat ruam.

“Bayi ini telah dibawa ke hospital ini sebanyak dua kali dan dalam tempoh itu saya lihat keadaan kulitnya bertambah sembuh. Tetapi hasil pemeriksaan lanjut, saya lihat bayi ini mungkin ada menghidap penyakit lain jadi kita akan jalankan pemeriksaan,” katanya semasa melawat bayi pasangan Khairul Nizam Lebai Jusoh, 41, dan Nur Shazira Mohd Salleh, 23, itu.