Air bersih jadi kotor  
Penduduk merungut sumber bekalan air bersih terjejas gara-gara aktiviti pembalakan.

KUBANG PASU-Bimbang sumber air bersih terus terganggu, penduduk di Kampung Wang Perah, Hosba membantah kelulusan kegiatan pembalakan di Hutan Simpan Kekal Bukit Perangin, di sini.

Difahamkan tanah di Hutan Simpan Bukit Perangin itu sudah diluluskan sebagai hak milik kepada 40 pemohon terdiri daripada pegawai tadbir (KCS) Kedah pada 2010 membabitkan keluasan 142.76 hektar.

Imam kampung, Ishak Othman, 63, berkata, disebabkan aktiviti pembalakan berkenaan beberapa kawasan tadahan air penduduk tersumbat dan menjejaskan aktiviti seharian mereka yang selama ini bergantung sepenuhnya kepada sumber itu sebagai alternatif utama setelah menghadapi masalah tekanan air Syarikat Air Darul Aman (Sada) yang rendah.

Menurutnya, mereka menggesa supaya kerajaan negeri mengambil langkah segera menghentikan aktiviti berkenaan.