Guru sah terima surat tukar, buat rayuan esok
SHAH ALAM - Ketua Gerak Kerja Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM), Mohd Nor Izzat Mohd Johari mengesahkan dirinya telah menerima surat arahan pertukaran serta-merta secara rasmi, hari ini.

Guru sekolah di negeri Pantai Timur ini akui dirinya bakal membuat rayuan terhadap jabatan pendidikan negeri terbabit.

"Surat itu bertarikh 17 Februari 2014 dan saya terimanya hari ini.

"Saya akan buat surat rayuan dan akan dihantar ke jabatan pendidikan negeri, esok," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Minggu lalu, Sinar Harian Online melaporkan dua guru sebuah sekolah mendakwa menerima surat pertukaran serta-merta ekoran menentang sistem pendidikan, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)

Hari ini, Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan penglibatannya dalam arahan pertukaran tersebut.