'Kami rindu mak abah' kata pelajar Tahfiz Amal 
Gelagat pelajar PTA cuba melarikan diri sempat dirakam.

YAN - “Kami nak balik... kami rindu mak abah...,” demikian rintihan beberapa pelajar Pusat Tahfiz Amal (PTA) dekat Jalan Yan - Kuala Kedah, di sini, yang diarahkan menghentikan operasi berkuat kuasa pada 10 Februari lalu.

Walaupun pada mulanya cuba mengelak dari media dan cuba menyembunyikan diri tetapi akhirnya mereka datang untuk meluahkan perasaan.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati pintu pagar masuk ke PTA dikunci dan orang luar tidak dibenarkan masuk untuk sebarang urusan.

Pemerhatian mendapati, pelajar yang berumur antara tujuh hingga 12 tahun itu, sedang melakukan aktiviti bebas di persekitaran sekolah sebelum melarikan diri ke suatu kawasan sebaik wartawan tiba di pintu pagarnya.

Beberapa minit kemudian, beberapa orang pelajar menghampiri wartawan dan menyatakan hasrat untuk pulang ke rumah masing-masing.

“Kami tak boleh balik, tapi kami rindukan mak abah. Sudah lama kami tak berjumpa dengan mak abah. Kali terakhir jumpa dengan mak abah pun sudah lama,” katanya kepada wartawan, semalam.

Luahan isi hati pelajar berkenaan amat terasa di hati apabila kelihatan pada riak wajah mereka seperti bersedih dan sebak.