160 pelajar keracunan makanan  
Pelajar dibawa pulang dengan menaiki van sekolah selepas mendapat rawatan di HKN.

KUALA NERANG - Seramai 160 pelajar yang menghuni asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Syed Ahmad (SMKDSA) muntah-muntah dan pening dipercayai akibat keracunan makanan.

Menurut sumber, pelajar terbabit dikatakan mula sakit perut sejak malam kelmarin selepas menikmati makan malam ayam masak merah dan tomyam yang disediakan pihak asrama sekolah.

Bagaimanapun pelajar dikatakan mula mengalami sakit perut yang serius selepas mengambil makanan bihun dan minum jus oren untuk sarapan pagi.

Pelajar, Yusri Che Mad, 13, berkata, untuk sarapan pagi dia sempat menjamah bihun goreng bersama jus oren sebelum mula rasa loya dan pening-pening serta muntah.

Katanya, selepas muntah dan pening, badannya mula lemah hingga terpaksa memaklumkan kepada guru bagi mendapat rawatan sehingga terpaksa dibawa ke Hospital Kuala Nerang (HKN) untuk mendapat rawatan.