Ponteng sekolah buat maksiat  
Pemandangan seperti ini biasa dilihat sekitar pusat rekreasi air terjun.

KULIM - Masalah ponteng sekolah bukan satu perkara baru malah ada antara mereka yang menjadikan kawasan rekreasi seperti air terjun untuk bermadu kasih.

Walaupun perbuatan mereka dilakukan secara senyap, namun ia berjaya dikesan penduduk tempatan.

Seorang penduduk yang tinggal berhampiran sebuah taman rekreasi di sini berkata, selalunya pelajar sekolah berpasangan akan menaiki motosikal berasingan dan berjumpa di rumah rehat disediakan sebelum berjalan ke kawasan lebih sunyi dan jauh dari pandangan orang ramai.

Menurutnya, dari tinjauan, kebanyakan pelajar sekolah terlibat berusia antara 16 hingga 17 tahun dan memakai uniform sekolah.

Mereka akan ke kawasan rekreasi seawal jam 8 pagi dan meletakkan motosikal mereka dalam kawasan semak.

Katanya penduduk juga telah mengenal pasti beberapa lokasi yang sering dijadikan tempat pasangan ini ponteng sekolah selain melakukan maksiat.

Papan tanda turut dipasang bagi mengingatkan pengunjung supaya tidak melakukan perbuatan sumbang, bagaimanapun ia tidak diendahkan.