TERKINI :

Thursday, January 23, 2014

Awat Terasa Sejuk Sehari Dua nie...!

'Seperti ada ais bawah tilam'
Oleh Khairul Hamizy Ramlee dan Shamsul Munir Safini

JERTIH: Cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini mencatatkan rekod suhu terendah iaitu 19 darjah Celsius di sekitar Besut, pagi semalam.

Pengarah Pejabat Meteorologi Kelantan/Terengganu Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) Jenuwa Husin berkata, selain itu, Kuala Krai, Kelantan, turut merekodkan suhu sejuk terendah sehingga 17 darjah Celcius, semalam, sekali gus mencatatkan rekod pertama di Pantai Timur.

Menurutnya, penurunan suhu itu amat berbeza dengan suhu biasa yang dicatatkan pada kadar paling minimum sebelum ini iaitu 23 darjah Celcius di dua kawasan itu.

Perubahan iklim mendadak di daerah Jertih membuatkan beberapa penduduk di sini terpaksa memakai pakaian tebal.

Lebih memburukkan keadaan akibat perubahan suhu itu beberapa penduduk turut diserang demam apabila suhu kurang daripada 25 darjah Celsius pada waktu malam dan 28 darjah Celsius tengah hari tadi.

Seorang peniaga, Siti Mariam Husin, 54, berkata, sejak perubahan suhu seminggu lalu, dia kini terpaksa memakai pakaian dua lapis dan stokin setiap kali keluar rumah waktu pagi.

Menurutnya, dia dan dua anaknya, Nur Hidayah Hashim, 23, dan Nur Hazira Hashim, 28, terpaksa mandi menggunakan air panas untuk menghangatkan badan pada waktu pagi selain mengalami kesukaran untuk tidur malam.

"Adakalanya saya rasa seperti ada ais di bawah tilam dan untuk menghangatkan badan saya terpaksa guna lebih selimut.

"Pada mulanya saya ingatkan saya sahaja yang merasa perubahan suhu tetapi selepas mendengar perbualan beberapa penduduk di sini barulah saya sedar yang suhu di kawasan kampung semakin sejuk," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Beris Pak Abu, dekat sini, petang ini.

Sementara itu, Nur Hazira berkata, dia diserang demam dan sakit kepala sejak berlakunya perubahan suhu seminggu lalu.

Menurutnya, gejala sama turut menimpa beberapa pelanggan kedai ibunya yang memberitahu mereka juga diserang demam panas dan sakit kepala.

Malah katanya, permintaan terhadap minuman berais juga turun mendadak kerana pelanggan meminta air panas ketika memesan minuman di kedainya.

"Dulu ibu terpaksa membuka kipas apabila waktu tengah hari namun kini terpaksa menutup alat elektrik itu kerana suhu cuaca terlalu sejuk.

Semetara itu, Perlis kini sekali lagi merekodkan perubahan suhu yang agak berbeza daripada biasa walaupun pernah dikenali sebagai negeri yang mencatatkan suhu paling panas iaitu 40.1 darjah Celsius pada tahun 1998

Menjelang hujung minggu ini, suhu di sekitar negeri ini dijangkakan boleh turun sehingga 21 atau 20 darjah Celsius pada waktu malam, tidak seperti suhu biasa iaitu 36 darjah Celsius pada waktu siang dan 24 darjah Celsius pada waktu malam

Berdasarkan ramalan cuaca JMM, suhu sepanjang minggu di kebanyakan kawasan di negeri ini adalah 33 darjah celsius pada waktu siang dan 24 darjah celsius pada waktu malam.

Pengarah Pusat Cuaca Nasional JMM, Muhammad Helmi Abdullah, berkata, walaupun ramalan menunjukkan suhu waktu malam di Perlis adalah 24 darjah celsius, beliau tidak menolak jika suhu berkenaan boleh turun sehingga 20 darjah celsius.

"Catatan suhu yang agak rendah daripada kebiasaan ini sebenarnya disebabkan musim Monsun Timur Laut yang turut membawa tiupan angin sejuk dari kawasan sejuk seperti di China dan Siberia.

"Jadi, penurunan suhu boleh dipengaruhi oleh dua faktor utama iaitu tiupan angin dan juga kepulan awan," katanya

Menurutnya, jika tiupan angin lebih kuat dan kepulan awan tidak tebal atau banyak pada waktu malam, suhu akan menjadi lebih rendah dan ia adalah perkara normal.

"Pada awal Januari lalu stesen meteorologi Chuping pernah mencatatkan suhu sehingga 19.8 darjah Celsius.

"Rekod suhu terendah yang pernah direkodkan dari stesen berkenaan adalah 17.8 darjah celsius pada 26 Februari 1998. Selepas minggu ini, suhu dijangka kembali meningkat bermula awal Februari," katanya yang percaya suhu di sini tidak akan turun kurang daripada 20 darjah celcius pada minggu akan datang," katanya.

Muhammad Helmi berkata, catatan suhu yang rendah kerana musim Monsun Timur Laut ini bukan hanya dialami di Perlis tapi juga negeri di sebelah pantai timur semenanjung.

Disebabkan perubahan suhu yang agak mendadak ini juga, Muhammad Helmi menasihatkan orang ramai supaya memakai pakaian yang bersesuaian jika perlu melakukan aktiviti luar pada waktu malam.

Rafizi: Pelaksanaan GST cadangan Daim bukan Anwar

OLEH: MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
Tarikh: January 23, 2014

PETALING JAYA - Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli hari ini menjelaskan bahawa cadangan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di negara ini adalah bermula daripada Tun Daim Zainuddin bukannya daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas Rafizi yang juga merupakan Pakar Strategik PKR itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mewarisi cadangan tersebut, namun pun begitu ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan, beliau tidak melaksanakan GST tersebut.

"Ramai yang salah anggap bahawa Datuk Seri Anwar yang bertanggungjawab dalam pengenalan GST di Malaysia.

"...namun itu cuma salah faham kerana, cadangan GST bermula ketika Tun Daim Zainuddin menjadi menteri kewangan iaitu selepas krisis ekonomi pada tahun 1985 hingga 1987.

"...Anwar menjadi menteri kewangan ketika tahun 1991, beliau (Anwar) hanya mewarisi undang-undang tersebut... namun begitu ketika awal 1990 ekonomi kita semakin meningkat... oleh itu tiada keperluan untuk dilaksanakan GST, jadi bukan Datuk Seri Anwar yang mencadangkan GST ini sebaliknya Tun Daim Zainuddin," katanya pada Taklimat Faham GST Tolak GST di auditorium MBPJ, hari ini.

Pelaksanaan GST yang akan dilaksanakan pada 1 April 2015 ini, menjadi kontroversi apabila banyak pihak mendakwa GST akan memberi bebanan kepada rakyat.

Isu disebalik Pen Pegawai Daerah kena pukul sewaktu operasi roboh gerai haram baru dibina di Penang

Berikut adalah kenyataan Akhbar oleh Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang, Dato' Hj Mohd Rashid bin Hasnon Mengenai Tindakan Penguatkuasaan ini..

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengecam dan memandang berat tindakan ganas oleh sekumpulan individu yang tidak bertanggungjawab yang telah memukul Ketua Penolong Pegawai Daerah Barat Daya, Encik Abu Hassan Omar sehingga menyebabkan bajunya terkoyak di Teluk Bahang, semalam. Ahli-ahli pertubuhan seperti Perkasa dan UMNO berada di kawasan tersebut semasa kejadian ganas berlaku.

Encik Abu Hassan dan anggotanya sedang menjalankan tugas penguatkuasaan dan diarahkan untuk merobohkan gerai haram yang kosong, yang sedang dibina dan baru dibina. Oleh itu, tindakan penguatkuasaan semalam ditujukan kepada 14 buah gerai kosong, sedang dibina dan yang baru dibina. Sungguhpun terdapat seramai 35 orang anggota polis, mereka tidak dapat melindungi seorang pegawai awam kanan ataupun memastikan undang-undang ditegakkan. 

Tidak ada seorang pun ditahan sungguhpun rakaman video adalah amat jelas sekali tentang siapa yang melakukan tindakan jenayah tersebut. Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama 2 tahun atau denda sebanyak RM10 ribu atau kedua-duanya sekali kerana menghalang seorang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman 3 tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan kerana mencederakan penjawat awam. 

Kangkong oh Kangkong : Bila Sinar Sebenar Akan Menjelma?

Sinar mentari tahun 2014 di mulakan dengan penuh kesuraman. Setiap ibu bapa pasti merasai kesakitan yang teramat perit untuk menjengah ke tarikh ini. Dimana nak cari duit untuk menyekolahkan anak. Persoalan ini menjadi satu mimpi buruk dan seakan mahukan mentari 2014 disekat agar tidak menjelma selamanya.

Anak anak yang merengek meminta itu dan ini mengacah-ngacah ke telinga seumpama sembilu yang sangat tajam. Tidak mahu melayan, ia keperluan. Mahu melayan dia sangat kesempitan. Ketika ini malam-malam Jumaat tidak lagi menjadi mimpi gembira untuk pasangan. Mereka hanya mengharapkan bulan tiba-tiba menyinarkan emas dan wang ringgit dan jatuh terletak elok di bawah bantal agar esok ibu bapa dengan wewenangnya ke supermarket membeli kesemua permintaan anak-anak.

Tindakan kerajaan Najib "mengurangkan" subsidi minyak dan seribu kenaikan lain menjadikan kesuraman itu benar benar ranum pada tahun 2014. Kesemuanya tidak mampu bertahan untuk tidak naik lagi. Lepas satu satu kenaikan berlaku. Jeritan dan amaran oleh kementerian berkaitan harga barang dipandang cukup sinis. Sehinggakan apa saja yang terbit di mulut menterinya dianggap lawak dan dogengan seorang yang sangat bodoh. Dengan muka seolah seorang pelawak ia mencukupkan lagi drama itu. Kesian.

Najib yang sebelum ini juga kurang dihentam menerima akibat yang sama. Kangkung yang hanya sebenarnya dijadikan contoh menjadi bahan lawak sehinggakan BBC London turut terlibat. Ia cukup cukup memalukan. Rakyat seolah tidak mempedulikan sesiapa lagi yang hendak di disegani.

Disaat segalanya berlaku, tiba tiba hari ini ibu bapa dipanggil ke sekolah untuk menerima bantuan RM100 untuk setiap murid. Program bermula pukul 2 petang, pukul 11 pagi ibu bapa sudah mundar mandir di sekolah menanti dengan penuh sabar kehadiran pemuka pemuka kerajaan hadir untuk memberikan nyawa itu.

Senyum sepanjang jalan, melenggang seolah bakal mendapat durian runtuh yang berharga sejuta. Itulah nilainya masayarakat kita. Bila sang penceramah memulakan bicara dan memuji memuji sang kangkung, rakyat mengangguk bersetuju sambil tersenyum melebar. Hampir kesemua bicara yang disampaikan diterima dengan penuh percaya.

Ini kenyataan. Dan kenyataan ini akan berulang ulang setiap masa. BR1M bakal muncul lagi. Sekali lagi pak menteri kedai kopi yang setiap hari berbekalkan secawan kopi yang bisanya sangat tidak terperi di kedai kopi akan tunduk tak mengerti. Sesuatu harus di fikirkan agar budaya ini mati. Biar kuasa melawan kekal abadi untuk menghentikan kebodohan ini.

Bersama kita fikirkan untuk generasi yang lebih bahagia walau tahun baru menjelma.

Hj Osama
Penyelaras SAMM Kelantan

Kita doakan semoga rumahtangga Nurul berkekalan hendaknya...

Isu cerai: Izzah, suami kecewa, terganggu

OLEH: JAMILAH HAMZAH
Tarikh: January 23, 2014

SHAH ALAM - Susulan tersebarnya desas desus Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menuntut cerai daripada suaminya, pasangan itu telah menyifatkan perkara itu sebagai gangguan kepada kehidupan peribadi dan rumah tangga keluarga itu.Menurutnya kenyataan media yang dihantar Nurul Izzah bersama pasangannya Raja Ahmad Shahrir Raja Salim berkata, "gangguan" tersebut menyedihkan.

"Kami amat sedih dengan cubaan gangguan yang menyentuh perkara peribadi kami apabila kami gigih berusaha untuk memastikan kelangsungan perkahwinan ini."Keluarga kami menjadi keutamaan," katanya.Terbaru, media melaporkan, desas desus mengenai tuntutan cerai fasakh pada hujung tahun lepas itu telah tersebar di media sosial.

Dalam perkembangan sama, media juga melaporkan mempunyai rekod perkara itu di Mahkamah Syariah, Jalan Duta dan turut disahkan pegawai mahkamah tersebut.Selain itu,  Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir  juga memohon semua pihak memberi ruangan kepada  mereka untuk membetulkan kembali keadaan perkahwinan itu.

"Kami ucapkan terima kasih kepada semua yang melahirkan keprihatinan, dan kami memohon semua pihak agar diberikan ruang peribadi pada waktu-waktu ini," kata pasangan itu lagi.

Benarkah Nurul Izzah fail penceraian?

Nurul Izzah dilapor fail penceraian

Spekulasi meluas bahawa anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar memfailkan penceraian disahkan melalui rekod mahkamah syariah, lapor The Star Online.

Menurut laporan itu, semakan dengan Mahkamah Syariah Rendah Jalan Duta mendapati naib presiden PKR itu memfailkan petisyen penceraian terhadap suaminya Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim bulan lalu.

Dilaporkan juga bahawa anak Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu enggan mengulas dengan alasan ia hal peribadi.

Bagaimanapun, menjawab soalan berkaitan di Twitter, beliau menjawab "Nope".

Beliau disoal seorang pengguna: "salam, betul ke akak tuntut fasakh... keluar news"

Beliau menjawab: "wassalam. Nope".

Bekas menteri cadang Dr Mahathir jadi mentor, selesai masalah Najib

oLEH MD IZWAN
January 23, 2014

Bekas menteri Kabinet, Tan Sri Zainuddin Maidin menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadikan bekas bosnya Tun Dr Mahathir Mohamad seperti Lee Kuan Yew selepas bersara di Singapura supaya dapat kembali berkuasa dan berpengaruh.

Bekas menteri penerangan itu berkata, ketegasan Dr Mahathir dalam menangani isu ekonomi, agama dan hubungan antara kaum perlu dicontohi Najib.

"Najib boleh memimpin tetapi beliau memerlukan sokongan moral daripada Dr Mahathir untuk menguatkan kedudukan.

"Ia supaya terus dapat memimpin dan berjaya memulihkan keyakinan rakyat serta menangani isu semasa yang dibangkitkan mungkin di luar jangkaan," kata Zainuddin atau lebih mesra dengan nama Zam dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insider.

Pentadbiran Najib selepas berakhir Pilihan Raya Umum 5 Mei berdepan dengan situasi paling genting, terdesak untuk memulihkan ekonomi serta pada masa sama perlu mengharmonikan semula hubungan antara kaum dan agama.

Hubungan antara kaum dan agama sejak Najib mengambil alih tampuk pemerintah berada pada tahap kritikal.

Ini apa cerita, orang POKOK SENA sampai kena makan nasik basi dah nie.. boboi pie mana??

Nasi basi kerap jadi santapan

Nasi basi kerap jadi santapan  
Som (tengah) kini mengharapkan sumbangan orang ramai bagi meneruskan kehidupan bersama suaminya, Saad dan anaknya Azizawati (kanan) di rumah mereka di Kampung Masjid Tanjung Musang, Pokok Sena.

POKOK SENA - "Nasi basi yang dibasuh semula selalu menjadi santapan kami untuk mengalas perut," demikian luahan Som Md Diah, 67, dari Kampung Masjid, Tanjung Musang, Mukim Jabi dekat sini.

Menurutnya, dia sekeluarga pernah tidak menjamah nasi seharian dan makan hanya berlaukkan air garam serta cili berkuahkan kicap.

Rentetan kehidupan daif dialaminya bersama suami, Saad Md Isa, 75, dan anaknya Azizawati, 40, terpaksa mengharapkan sumbangan dari orang ramai bagi menghabiskan sisa hidup mereka kerana tiada pendapatan tetap.

Kena ajaq macam nie ja pada penyamun, langgar dengan kereta...!!

Kena langgar selepas menyamun

Kena langgar selepas menyamun  
Salah seorang penyamun yang mengalami kecederaan di kedua-dua kaki akibat dirempuh sebuah van selepas melakukan rompakan.

SEREMBAN – Seorang penyamun patah kedua-dua belah kakinya, akibat dirempuh sebuah van dalam usaha melarikan diri selepas melakukan rompakan, di sebuah kedai serbaneka di Jalan Tun Dr Ismail, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, dua perompak masuk ke kedai tersebut lalu mengacukan parang kepada dua pekerja kedai berkenaan, sebelum meminta sejumlah wang.

Menurut juruwang kedai tersebut dikenali sebagai Nadia, dia dan rakan sekerjanya yang bertugas pada waktu pagi itu, terkejut dengan kehadiran perompak berkenaan, yang kelihatan sangat bengis dan menakutkan.

Jangan muat naik pergerakan peribadi di Facebook

Facebook

KUCHING - Setiap individu perlu merahsiakan maklumat peribadi serta tidak menguar-uarkan pergerakan mereka di laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata tindakan memuat naik maklumat peribadi dan pergerakan hanya akan mengundang bahaya untuk diri sendiri dan memberi peluang kepada penjenayah.

"Misalnya, kalau mahu ke mana-mana tidak perlulah muat naik di Facebook untuk memberitahu semua orang kerana penjenayah mungkin akan mendapat maklumat untuk mengesan anda atau mereka akan menyasarkan rumah anda untuk melakukan rompakan," katanya kepada media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di sini, hari ini.

Zul Hilmi dakwa cedera dipukul polis dalam tahanan

Apabila seorang kontraktor dari Kedah datang atas kehendaknya sendiri ke Balai Polis Kubang Pasu untuk membantu siasatan satu kes rogol Disember tahun lepas, dia sedikit pun tidak menjangka akan melalui satu tragedi buruk yang akan menghantuinya seumur hidup.

Zul Hilmi Abdul Rahman, 32, ditahan reman pada hari berikutnya, 12 Disember, dan ditempatkan di dalam lokap, di mana dia mendakwa dipukul dengan kejam oleh tiga anggota polis - dua lelaki dan seorang wanita - selama dua jam dan membiarkannya dalam kesakitan, tanpa rawatan perubatan.

Zul Hilmi hadir di balai polis tersebut pada 11 Disember, selepas diberitahu bahawa polis mahu menemuinya bagi membantu siasatan satu kes rogol tetapi dia sebaliknya ditahan dan disenaraikan suspek.

Dia kemudian mendapat tahu bahawa wanita yang tidak dikenali, telah membuat laporan polis yang mendakwa bahawa sebuah kereta dengan nombor plat keretanya terlibat dalam jenayah itu.

Inflasi melompat pada Disember

Kadar inflasi Malaysia melompat pada Disember, sekali gus menyebabkan masalah kepada kerajaan ekoran kenaikan kos sara hidup dan meningkatkan peluang kenaikan awal kadar faedah tahun ini yang boleh menjejaskan lagi sentimen pengguna.

Jabatan perangkaan pada Rabu berkata, indeks harga pengguna meningkat 3.2 peratus dari 2.9 peratus pada November, tahap tertinggi sejak November 2011 dan meningkat dari 1,2 peratus pada tahun sebelumnya.

Reuters meramalkan ia akan meningkat kepada 3.1 peratus.

Peningkatan segera harga barangan sebahagiannya akibat beberapa siri pemotongan subsidi yang diperkenal Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tahun lalu sebagai reaksi terhadap beban hutang yang tinggi dan defisit fiskal.

Langkah-langkah itu mencetuskan kenaikan 10 peratus harga petrol dan 15 peratus tarif elektrik yang turut memberi kesan kepada barangan lain seperti sayur-sayuran dan daging.

Inflasi lebih cepat mungkin menyebabkan Bank Negara menaikkan penanda arasnya daripada 3 peratus tahun ini, penukaran pertama sejak pertengahan 2011.

Ahli ekonomi menjangkakan peningkatan antara 25 hingga 50 mata asas.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...