Kerana hutang rumahtangga musnah  
Gambar Hiasan

 “AKIBAT hutang, rumah tangga saya hancur,” kata seorang kakitangan awam yang mahu dikenali sebagai Din, 33, yang mengalami tekanan hidup atas sikapnya suka berhutang.

Din (bukan nama sebenar) ketika ditemui memberitahu Sinar Harian, dia mula terjebak dengan hutang akibat terpengaruh dengan seorang rakan yang suka berjudi.

“Ketika itu saya baru 25 tahun. Kawan itu mengajak saya temani dia berjudi. Mulanya saya hanya tengok dia main dan menang besar. Wang yang dia dapat, dia guna beli pakaian mahal, gajet dan sebagainya. Bermula dari situ saya mula terjebak dan buat pinjaman bank RM30,000 untuk berjudi kerana saya yakin akan menang lebih banyak,” katanya.

Bapa kepada dua anak itu berkata, dia berhutang dengan Ah Long dan kawan sekerja serta beberapa kali menambah hutang bank yang sedia ada sehingga mencecah RM100,000 semata-mata untuk berjudi.