Jamaluddin, Ong dan Samy hanya 'habiskan beras negara'
HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Kecenderungan pentadbiran Najib melantik duta khas dan penasihat khas yang menelan perbelanjaan tinggi dan membebankan kewangan negara ditegur Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.
Dalam satu kenyataan media, Sim mempersoalkan kewajaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melantik empat duta khas dan 13 penasihat khas yang sebahagiannya bertaraf menteri.
Sambil menyifatkan perlantikan itu sebagai “teramai dalam sejarah negara”, beliau turut mempertikaikan kewajaran kerajaan melantik Ahli Parlimen Bintulu, Dato’ Seri Tiong King Sin sebagai duta khas bertaraf menteri ke Asia Timur seperti diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Shahidan Kassim di Bintulu, baru-baru ini.
Negara kini mempunyai beberapa duta khas lantikan politik antaranya Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis yang ditugaskan ke Amerika Syarikat, Dato’ Seri Ong Ka Ting (Republik Rakyat China) dan Dato’ Seri S Samy Vellu (India Selatan) yang kesemuanya bertaraf menteri.
Sim mempertikaikan pelantikan tiga individu terbabit yang tidak memberi pulangan yang ketara kepada negara, malah hasil kerja mereka tidak membawa lonjakan pulangan atas pelaburan (ROI) yang besar kepada negara.