TERKINI :

Thursday, December 11, 2014

Usaha kurangkan nada 'resah' dalam Pakatan

Sewaktu pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dapat menghidu sesuatu yang tidak kena dalam Pakatan Rakyat sehingga meragui masa depan gabungan itu menjelang pilihan raya umum ke-14, beberapa pemimpin utama gabungan pembangkang itu cuba mengurangkan nada keresahan itu.
 
Dan ketika Lim mengakui ada 'sisi-sisi rekahan' sehingga Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat tidak bersemuka lebih daripada setengah tahun, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat dilihat cuba menyembunyi keresahan tersebut.
 
Secara teknikalnya, beberapa pimpinan utama Pakatan Rakyat seperti Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Hatta Ramli dan Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat mengakui wujud mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat berlangsung pada November lalu.
 
Tetapi hanya sebahagian kepimpinan utama Pakatan sahaja hadir dalam Majlis Presiden Pakatan Rakyat antaranya disebabkan pertindihan jadual dan masalah kesihatan yang dihadapinya.
 
Hal demikian menyukarkan gabungan itu untuk mendapat konsesus dalam isu nasional dalam satu suara.
 
Bercakap kepada Malaysiakini, Rafizi yang juga MP Pandan berkata kebimbangan Lim itu ada asasnya sekalipun secara umumnya Pakatan Rakyat dilihat berjalan secara normal dan lancar.
 
"Saya fikir sikap ambil berat YB Lim Kit Siang disebabkan tanpa kehadiran penuh mesyuarat Majlis Presiden bagi kepimpinan tertinggi, ia sukar bagi mengesahkan semula pandangan umum bahawa semuanya baik dalam Pakatan dan saya fikir ia ada asasnya.
"Mungkin apa yang dimaksudkan oleh beliau (Lim Kit Siang) adalah kehadiran penuh (pemimpin utama Pakatan termasuk Hadi). Secara teknikalnya mesyuarat terakhir Majlis Pimpinan Pakatan (berlangsung) pada November lalu.
 
"Saya rasa apa yang dimaksudkan oleh Lim hanyalah Mesyuarat Majlis (Presiden) Pimpinan Pakatan kerana (kami) berusaha untuk mencari masa untuk membolehkan kehadiran penuh semua pimpinan atasan yang menjadi kesulitan," katanya. 
 
Jawab isu nasional
 
Bagaimanapun kata Rafizi, pemimpin Pakatan bagi lapisan kedua - Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat, mesyuarat jawatankuasa polisi dan whip parlimen berjalan lancar dan begitu baik sekali.
 
"Mesyuarat bagi jawatankuasa peringkat bawah berjalan lancar tanpa gangguan. Jadi, kami ada Majlis Setiausaha Agung, yang memantau perjalanan Pakatan Rakyat keseluruhannya. Kami juga mempunya mesyuarat jawatankuasa polisi, kami juga ada mesyuarat whip parlimen. Semuanya berjalan dengan cukup baik," katanya. 
 
Sungguhpun begitu, Rafizi yang juga setiausaha agung PKR mengakui mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat menjadi sia-sia apabila satu pihak atau kepimpinan tertinggi parti komponen tidak hadir dalam sesuatu mesyuarat itu ada beberapa isu.
   
"Dan setiap kali bertemu, kita menjawab kepada isu nasional pada waktu itu secara kolektif, dan kami mempunyai beberapa isu nasional sekarang seperti harga minyak, (kejatuhan nilai) ringgit, pendidikan. Banyak isu nasional seperti masa lalu, Pakatan Rakyat akan menjawab secara kolektif sebagai satu blok.
 
"(Tetapi) bila kita tidak boleh mengadakan mesyuarat Majlis Presiden (kini), maka kita tidak boleh menjawab isu tertentu secara kolektif, dan isu itu banyak," katanya.
 
Sementara itu, Ahli jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad dilihat lebih berterus terang mengakui kewajaran kebimbangan Lim dengan menyatakan ia adalah "rahsia umum dan tiada ada apa yang perlu disembunyikan", sementara Suhaizan pula berkata "tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan".
 
Kedua-dua pemimpin kanan PAS itu merujuk kepada isu berbangkit sekitar krisis menteri besar Selangor yang bermula sejak Januari lalu dan isu perdebatan hukum hudud.
 
Namun Dr Dzulkefly memandang kebimbangan Lim itu secara positif dengan mengajak semua kepimpinan utama Pakatan Rakyat mengenal pasti bahawa kadangkala wujud krisis yang boleh memecahkan dalam sesuatu pertubuhan bahkan ada juga pergeseran tetapi akhir mempertaut semula kepimpinannnya.
 
"Analogi yang sama juga, kita faham dalam perkembangan sesebuah organisasi, pada saya, apa yang kita lalui bukan perkara yang asing. Kenyataan daripada orang yang berpengalaman dalam kepimpinan dan pertubuhan, saya rasa tidak perlu bimbang atau rasa takut mengenainya.
 
Berjiwa besar
 
"Tetapi, pada masa yang sama, saya mahu mengingatkan pemimpin atasan supaya memahami bahawa kita baru sahaja keluar daripada krisis dan amat penting untuk mengenalpasti puncanya, dan apa yang perlu kita belajar dan bagaimana kita perlu mengelaknya pada masa depan dengan langkah yang konkrit perlu diambil," katanya.
 
Di samping tidak boleh menafikan gabungan itu berdepan kesukaran dan cabaran ketika ini, bekas MP Kuala Selangor itu berkata jika Pakatan mahu menyelesaikan masalah dan diyakini mampu membina Malaysia yang lebih baik, maka gabungan pembangkang itu perlu diperkukuhkan.
 
"Maka pada saya tidak ada pilihan kecuali pemimpin atasan mesti kembali ke meja dan berunding dan melakar pelan kita, menghentikan menyalahkan satu sama lain dan meletakkannya di belakang," katanya.
 
Saranan Dzulkefly disambut oleh Ketua Penerangan Datuk Mahfuz Omar yang menyeru kepada semua pimpinan Pakatan di semua peringkat supaya berfikiran positif dan berjiwa besar, kerana apa dibimbangi bakal menjadi kenyataan.
 
"Saya meminta pemimpin Pakatan berfikiran positif bukan sahaja untuk pilihan raya umum ke-14 tetapi melangkaui daripada itu.
 
"Apa yang telah berlaku, kita pandanglah ke hadapan, pemimpin tidak boleh memikirkan masa lalu, perlu bergerak ke hadapan. Melihat masa lalu, ada yang mengguris dan ada yang menggembirakan, jadi lebih elok pandang ke hadapan.
 
"Saya lebih suka, pemimpin utama Pakatan Rakyat berjiwa besar untuk kembali kepada mesyuarat Pakatan Rakyat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.
 
Sementara Suhaizan pula meminta pemimpin Pakatan melupakan perbezaan kecil yang menjadi titik bengik dalam Pakatan Rakyat sebaliknya menumpukan agena besar yang ingin diperjuangkan.
 
Di samping, katanya tidak melupai harapan sokongan 52 peratus penguundi bahawa keperluan realiti membentuk kerajaan di Malaysia PAS tidak boleh bersendirian, sebaliknya mesti mewujudkan gabungan untuk menuubuhkan kerajaan.
  
"Pemimpin utama Pakatan Rakyat, perlu memikirkan dalam gambaran yang lebih besar dan (dalam konteks) kebersamaan daripada mengutamakan perkara kecil.

"Ini harapan orang muda dan Pemuda Pakatandemi generasi akan datang. Tak ada masalah yang tidak boleh nak selesaikan dengan bijaksana," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...