TERKINI :

Thursday, December 11, 2014

Perkasa Bahasa Melayu: Umno ada?

HAZWAN ABDUL RASHID

http://upload.wikimedia.org/wikipedia/en/5/54/Bahasa_Melayu_Bahasa_Rasmi_Negara.jpg
PENGUMUMAN penubuhan Institut Darul Ehsan (IDE) yakni Program Penterjemahan Karya Antarabangsa yang dikawal selia Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dalam belanjawan kerajaan Selangor baru-baru amat saya hargai.

Saya percaya pengumuman ini amat bermakna bagi pejuang bahasa Melayu yang sejak sekian lama menyaksikan bahasa kebangsaan ini seperti melukut di tepi gantang sejak merdeka.

Harapan kepada Umno untuk mendaulatkan bahasa Melayu dalam segenap sektor hanya tinggal harapan, malah makin malap sejak perginya Tun Abdul Razak. Bukan itu sahaja, Umno dengan segala upayanya telah memartabatkan bahasa Inggeris melalui sistem pendidikan dengan pengenalan beberapa dasar yang membunuh bahasa Melayu secara perlahan-lahan – PPSMI, MUET dan pelbagai lagi.

Institut Terjemahan Negara pula tidak diperkasakan melalui penguatkuasaan penggunaan Bahasa Melayu dalam sektor awam mahupun swasta. Maka jadilah institut ini, bagai hidup segan mati tak mahu.

Di universiti pula pelbagai langkah mengundur ke belakang apabila bahasa Melayu tidak lagi menjadi teras pengajaran ilmu sains dan teknologi.

Saya amat berharap, Selangor memulakan suatu langkah untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu melalui usaha-usaha terjemahan buku-buku ilmiah.

Lihatlah bagaimana Rusia, Jepun, Korea, Perancis, China, Jerman dan lain-lain yang sudah menghantar manusia ke angkasa atau menguasai teknologi dunia melalui bahasa ibunda. Rakyat mereka tidak perlu belajar bahasa Inggeris sejak tadika hanya semata-mata atas alasan ingin maju.

Mereka maju melalui ilmu yang ditulis dalam bahasa mereka sendiri. Lihatlah sejarah silam apabila ribuan kitab dalam bahasa Arab diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa lain seperti Inggeris, Jerman dan Perancis – dan kini mereka menguasai dunia.

Tidak perlulah bangsa Inggeris, Jerman atau Perancis dipaksa belajar bahasa Arab sejak tadika semata-mata mahu maju seperti tamadun Arab Islam.

Saya berharap usaha kerajaan Selangor ini berterusan dan dipergiatkan lagi supaya generasi akan datang memahami dan memilik ilmu teknologi melalui bahasa kebangsaannya. Di samping usaha menterjemah, melalui kuasa yang ada, kerajaan negeri juga hendaklah mewajibkan segenap sektor di bawahnya menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.

Bahasa jiwa bangsa! - HARAKAHDAILY

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...