TERKINI :

Monday, December 29, 2014

Perancangan rapi kurang impak bah pada masa depan

Oleh Dr Ibrahim Komo
ikomoo@yahoo.com

Orang ramai masih terkandas di Jalan Kota Bharu-Gua Musang berhampiran Kampung Keroh akibat limpahan air dari Sungai Nal, semalam. - Foto Bernama
Orang ramai masih terkandas di Jalan Kota Bharu-Gua Musang berhampiran Kampung Keroh akibat limpahan air dari Sungai Nal, semalam. - Foto Bernama
Banjir di Pantai Timur pada tahun ini sangat luar biasa impaknya. Ketika gelombang pertama pada November lalu, daerah Kuala Terengganu terjejas teruk. Institusi pengajian tinggi, UniSZA dan UMT mengalami banjir, dan pertama kali terpaksa diisytiharkan cuti darurat banjir.

Kawasan perkampungan sekitarnya turut terjejas dan ramai penduduk dipindahkan untuk keselamatan mereka.

Banjir gelombang kedua yang melanda kini, khususnya di Kelantan, Pahang dan Terengganu ternyata lebih teruk daripada sebelum ini. Sehingga kini hampir 200,000 penduduk terpaksa dipindahkan dan situasi masih belum menentu dan di luar kawalan.

Banjir Pantai Timur tahun ini mungkin terbesar pernah dialami sejak puluhan atau ratusan tahun terakhir. Ramai yang menyatakan, mereka belum pernah terbabit dengan banjir sebesar ini, dan merasakan kehilangan punca berdepan dengannya.

Pantai Timur terkenal dengan musim banjir sejak zaman berzaman. Mengapa kini banjir menjadi bencana yang merbahaya dan di luar kawalan? Jawapannya boleh tafsirkan dalam tiga keadaan:

Sedia statistik jumlah curahan hujan

Curahan hujan pada tahun 2014 ini adalah yang terbanyak dan tidak pernah berlaku sebelum ini. Sungai tidak mampu menampung air di laluannya, melimpah ke tebing sungai dan dengan ketinggian yang jauh mengatasi paras sebelum ini. Jika sebelum ini rumah di sepanjang tebing sungai hanya ditenggelami air beberapa kaki sahaja, banjir kali ini menenggelami rumah sehingga ke paras bumbung. Sebahagian jalan turut ditenggelami air sehingga perhubungan terputus. Jika ini benar, Jabatan Meteorologi seharusnya dapat menyediakan statistik mengenai jumlah curahan hujan yang luar biasa pada tahun ini;

Banyak kawasan yang mengalami banjir teruk, sebelum ini adalah kawasan hutan atau tanah pertanian dan kini dibangunkan sebagai kawasan penempatan. Pembangunan hanya berlaku sekitar 10 tahun terakhir ini. Banjir ini adalah terbesar pernah dialami sehinggakan penduduk tidak mempunyai persediaan yang mencukupi untuk berdepan dengannya. Kita boleh buktikan tafsiran ini dengan membandingkan peta guna tanah 10 tahun dahulu dengan keadaan pembangunan sekarang; dan

Perubahan cara hidup termasuk cara pembinaan rumah di persisiran sungai menyebabkan banjir 2014 kelihatan sangat teruk. Jika dahulu, kebanyakan rumah di pesisiran sungai dibina dengan tiang tinggi, sementara pengangkutan menggunakan perahu, dan banjir pula hanyalah musim yang dilalui setiap tahun tanpa menjejaskan harta kecuali tanaman makanan harian. Namun, kini rumah dibina di atas lantai dan pengangkutan menggunakan kenderaan bermotor. Setiap kali musim banjir, sebahagian harta dalam rumah terjejas, dan sistem perhubungan akan terputus. Impak banjir kini menjadi bencana yang merosakkan harta dan mengancam nyawa.

Di Malaysia, kita perlu menerima hakikat, banjir adalah bencana alam terbesar. Justeru, kita perlu memberi perhatian serius bagaimana untuk mengurangkan risikonya. Pihak berkuasa perlu mempunyai rancangan jangka pendek dan panjang untuk berhadapan dengan bencana banjir ini. Ia perlu dilihat daripada perspektif persediaan sebelum bencana, tindakan menyelamat semasa bencana dan aktiviti baik pulih dan penghindaran selepas bencana.

Sedia kemudahan secukupnya

Perancangan sebelum bencana ini membabitkan pemetaan kawasan yang pernah mengalami banjir serta kawasan baharu yang berpotensi. Ia juga membabitkan bagaimana untuk menguruskan kawasan berisiko daripada perspektif guna tanah, tindakan kejuruteraan atau pendekatan mengurangkan risikonya. Masyarakat pula perlu disedarkan mereka berada dalam zon banjir dan perlu diberi kemudahan secukupnya untuk berhadapan dengan bencana ini.

Ketika banjir berlaku, negara perlu mempunyai keupayaan untuk melaksanakan tindakan menyelamat nyawa dan harta benda. Walaupun, aspek ini diberikan perhatian, kebanyakannya adalah atas dasar sukarela dan bantuan secara ad hoc sahaja. Kita perlu mempunyai sistem menyelamat yang berstruktur, khususnya di kawasan berisiko tinggi. Masyarakat tempatan boleh dilibatkan sama untuk mewujudkan sistem menyelamat yang cekap.

Banyak yang boleh dipelajari dan perlu dilakukan selepas bencana banjir ini. Setiap bencana adalah peristiwa penting yang memberikan pengajaran. Maklumat mengenai kawasan terbabit, kedalaman maksimum air, kelajuan arus, impak kepada bangunan dan harta adalah rekod penting untuk dijadikan pengajaran.

Maklumat begini perlu dikumpul dan dijadikan asas untuk melaksanakan perancangan pada masa akan datang. Di Malaysia maklumat peristiwa bencana jarang dikumpulkan sehingga tiada yang kita dapat pelajari daripada sesuatu kejadian lalu.

Ketika kita berdoa untuk meminimumkan impak bencana banjir 2014 ini terhadap mangsa yang mengalami penderitaan, kita perlu pelajari dan ambil iktibar dan mengambil tindakan positif untuk mengurangkan risiko banjir masa hadapan.

Kerajaan Pusat dan negeri perlu berganding bahu menangani bencana secara berstrategi dan mengikut perspektif jangka panjang untuk kesejahteraan rakyat dan negara.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu dan juga Ketua Kluster, Sumber Asli dan Alam Sekitar, Majlis Profesor Negara

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...