Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod
SHAH ALAM - Mendapatkan sokongan daripada Kerajaan Pusat antara langkah yang boleh diambil Kerajaan Negeri Kelantan bagi memudahkan negeri itu melaksanakan hudud.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, banyak proses yang perlu dilalui Kerajaan Kelantan memandangkan undang-undang hudud yang ingin digunakan itu bercanggah dengan beberapa bidang kuasa sedia ada.

“Jalan yang paling mudah untuk Kelantan ketika ini, adalah mendapatkan sokongan Kerajaan Pusat untuk membenarkan negeri membuat undang-undang di bawah kuasa Parlimen di bawah Perkara 76A Perlembagaan Malaysia.

“Pertama, kerajaan negeri perlu sediakan rang undang-undang itu, dibawa kepada Peguam Negara untuk penelitian, kemudian rang undang-undang itu akan di bentang ke Kabinet. Sebaik Kabinet puas hati, barulah di bawa ke Parlimen melalui kuasa Parlimen di bawah Perkara 76A,” katanya, semalam.

Tambah beliau, hudud perlu melalui Parlimen kerana undang-undang itu melibatkan jenayah yang mana kuasanya di bawah Parlimen walaupun negeri ada kuasa dalam bidang agama Islam.

Antara yang disebut dalam Perkara 76A adalah mengenai kuasa Parlimen untuk memperluas kuasa perundangan negeri; (1). Dengan ini ditegaskan bahawa kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang mengenai sesuatu perkara yang disebut satu persatu dalam

Senarai Persekutuan termasuklah kuasa membenarkan Badan-Badan Perundangan Negeri-Negeri atau mana-mana daripadanya, tertakluk kepada apa-apa syarat atau sekatan (jika ada) yang dikenakan oleh Parlimen, untuk membuat undang-undang mengenai kesemua atau mana-mana bahagian perkara itu.
Menurut Nik Ahmad Kamal, selepas rang undang-undang itu dibentangkan di Parlimen, proses seterusnya mendapatkan persetujuan daripada ahli Dewan Rakyat.

“Prosesnya sama seperti yang lain-lain, bacaan kali pertama, kedua dan peringkat jawatan kuasa, dan undian dibuat, di sinilah kita akan lihat sama ada Parlimen menyokong atau tidak.

“Bagaimanapun, bagi tujuan undang-undang ini Kelantan hanya perlu mendapatkan majoriti mudah sahaja bagi membolehkan hudud dilaksanakan.
"Sebaik memperolehi majoriti itu, undang-undang tersebut boleh diguna pakai di negeri mereka,” katanya.
Tambah beliau, Perkara 76A digunakan dalam situasi ini bagi membolehkan Kelantan melaksana Enakmen Hudud, oleh itu undang-undang yang diluluskan itu ialah akta untuk membenarkan Dun Kelantan membuat dan melaksanakan Enakmen itu di negeri Kelantan.
Bagaimanapun, Nik Ahmad Kamal berkata, semasa proses undang-undang itu dibentangkan sudah pasti akan berlaku banyak tentangan daripada pihak yang tidak bersetuju, maka Kerajaan Negeri Kelantan perlu memastikan draf yang dibawa benar-benar lengkap.

“Undang-undang hudud ini bercanggah dengan beberapa bidang kuasa contohnya kanun keseksaan dan Akta Mahkamah Syariah, maka sudah pasti akan ada yang mempersoalkan mengenai perkara itu.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri Kelantan tidak boleh terburu-buru dalam hal ini,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Kelantan telah menetapkan 29 Disember untuk memanggil satu sidang khas Dun untuk membentangkan pindaan kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993.